Kerap kali apabila berdebat dengan budak-budak Atheist atau non-Muslim mengenai kewujudan Allah Tuhan Sekalian Alam, mereka akan sering bertanya di mana Allah, bagaiamana rupa Allah?
Mereka sering membayangkan Allah itu mestilah ada rupa fizikal, ada bentuk atau sekurang-kurang boleh dilihat dengan mata kepala.
Disebabkan mereka gagal untuk melihat Allah dengan mata kepala mereka, maka bagi mereka Allah tidak wujud.
Bagi mereka Allah adalah khayalan dan imaginasi orang-orang Islam semata-mata.
Bagi orang Islam, bagaimana kita mahu berkhayal atau berimaginasi tentang Allah, sedangkan kita tidak pernah melihat Allah, tidak pernah mendengar, menyentuh atau mendeteksi kewujudan Allah secara fizikal.
Jadi, umat Islam tidak pernah berimaginasi tentang kewujudan Allah.
Umat Islam yakin akan kewujudan Allah melalui iman (faith).
Manusia dan haiwan secara fizikalnya diberi lima pancaindera untuk melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, menghidu dengan hidung, merasai dengan lidah dan menyentuh dengan kulit.
Kesemua pandaindera ini secara fizikalnya dikawal dan ditafsir segala impulsnya oleh otak.
Otak menjadi pusat kepada pemprosesan impuls yang diterima daripada kelima-lima pancaindera tersebut.
Namun, dengan bebanan tugas manusia sebagai khalifah yang akan mengurus dunia serta bertanggungjawab untuk beribadah kepada Allah Tuhan Pencipta Alam ini, manusia dikurniakan dua ‘tools’ yang hebat, iaitu fikiran dan iman (mind and faith).
Dengan adanya dua indera tambahan ini, manusia menjadi jauh lebih berkuasa berbanding haiwan, hatta jika seluruh haiwan bersatu memerangi manusia, manusia tetap boleh menang.
Fikiran dan Iman inilah Allah kurniakan supaya manusia mengakui kewujudan-Nya yang Maha Esa, walaupun lima pancaindera lain tidak akan sekali-kali dapat melihat-Nya.
Manusia mesti menggunakan fikiran dan iman serentak untuk melihat kebenaran Tuhan.
Jika hanya menggunakan akal fikiran semata-mata, mereka akan menjadi Atheist.
Jika mereka menggunakan iman kepercayaan semata-mata, mereka akan terjebak dengan Polytheist dan kepercayaan karut dan mitos.
Bagaimana umat Islam boleh yakin dan percaya kepada kewujudan Allah, sedangkan mereka tidak pernah melihatnya dengan pancaindera mereka dan tidak pula dapat berimaginasi rupabentuknya?
Sebenarnya sangat mudah sekali apabila kita memberi anologi kepercayaan manusia kepada daya tarikan Graviti.
Apa itu graviti?
Daya yang menarik semua objek jatuh ke permukaan bumi, begitu tafsiran mudahnya.
Tapi kenapa orang percaya akan kewujudan graviti?
Adakah kita dapat melihat rupa bentuk graviti?
Menghidu, mendengar atau merasai graviti? Tidak sekali-kali.
Tunjukkan kepada kami, bagaimana rupa graviti dan kenapa kamu percaya akan kewujudan graviti sedangkan kamu tidak pernah melihatnya?
Apabila kita lambung sesuatu objek, kemudian objek itu jatuh ke bawah. Kita mengatakan itulah graviti.
Tunggu. Itu bukanlah graviti.
Apa yang kita nampak adalah objek itu jatuh ke muka bumi. Gravitinya di mana?
Tiada siapa pun yang nampak graviti, tetapi semua orang boleh nampak kesan kepada kewujudan Graviti.
Begitulah adanya Allah, Tuhan yang mencipta sekalian alam.
Kewujudan alam semesta ini dengan aturan galaksi dan planet-planet yang bergerak secara sistematik – tentu sekali merupakan kesan daripada kewujudan Allah.
Sebagaimana jatuhnya objek disebabkan wujudnya graviti, maka kewujudan alam semesta termasuk kehidupan manusia – adalah kerana dicipta oleh Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta.
Bahkan Allah lah yang menciptakan graviti yang tidak mampu dikesan oleh pancaindera manusia.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa