Terdapat salah faham dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam berkenaan tajuk di atas.
Pluralisme agama merupakan satu teori atau konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai.
Antara fahaman ini ialah:
Tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain.
Penerimaan kebenaran wujud dalam dua atau lebih agama dengan penekanan aspek-aspek yang diterima oleh agama-agama tersebut.
Menggalakkan kerjasama dan dialog antara agama-agama yang berbeza bagi meningkatkan persefahaman sehingga dianggap semua agama adalah benar dan betul.
Digunakan sebagai istilah untuk merujuk kepada keadaan hidup bersama secara harmoni antara penganut agama yang berbeza.
Islam
Islam menerima konsep tasamuh terhadap agama lain dengan tindakan tidak ada paksaan terhadap sesiapa untuk menganut Islam dan tidak melarang sesiapa untuk beramal dengan ajaran agama masing-masing, tetapi tidak menganggap semua agama adalah sama betul.
Dengan erti kata lain, Islam tetap diyakini satu-satunya agama yang benar.
Hanya penyelesaian Islam yang diterima dan bukan penyelesaian yang lain.
Firman Allah SWT:
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥
“Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”
[Surah Ali ‘Imran: 85]
Firman Allah SWT:
قُلۡ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦
“Katakanlah, ‘Wahai orang-orang kafir! (1)
“Aku tidak akan menyembah apa-apa yang kamu sembah. (2)
“Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. (3)
“Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa-apa yang kamu sembah. (4)
“Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. (5)
“Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku.’ (6)”
[Surah al-Kafirun: 1–6]
Perkataan yang Sama
Adapun kata-kata yang sama atau amalan yang sama dalam kehidupan manusia dari segi sebutan perkataan, bahkan perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh seseorang dengan seseorang lain yang berbeza agama, bukanlah bermaksud melaksanakan teori pluralisme sebagaimana yang disebutkan di atas.
Firman Allah SWT:
قُلۡ يَـٰٓأَهْلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤
“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu (yang sama), bahawa tidak kita menyembah kecuali Allah dan tidak kita mempersekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah!’ Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah, bahawa kami ialah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’
[Surah Ali ‘Imran: 64]
Semua agama percaya kepada Allah dan ada juga yang menyebut perkataan ‘Allah’ dan sama-sama mengaku menyembah Allah, tetapi perlu dihuraikan dan difahami bahawa perkataan ‘Allah’ mengikut ajaran Islam dan bahasa al-Quran ialah Dia sahaja Tuhan, tidak ada lagi tuhan-tuhan yang lain daripada-Nya dan tidak beribadat menyembah yang lain.
Sama sebutannya, tetapi berbeza makna dan tujuannya.
Perkara ini dinyatakan dalam uslub (pendekatan) dakwah apabila memperkenalkan Islam kepada kalangan bukan Islam, termasuk surat Rasulullah SAW kepada Raja Rom yang beragama Kristian.
Jangan disalah tafsir dan disalahfahamkan.
Amalan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa dan berlaku baik kepada mereka adalah kewajipan dalam semua agama, bukan sahaja agama Islam.
Akan tetapi, dalam Islam, ibu bapa tidak boleh dianggap seperti tuhan yang dipuja dalam ibadat atau ditaati secara mutlak.
Firman Allah SWT:
وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ ١٤ وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٥
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua-dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan tempoh menceraikan susunya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua orang ibu bapamu, hanya kepada Aku jua tempat kembalimu. (14)
“Dan jika kedua-dua mereka memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang kamu tidak ada pengetahuan tentangnya, maka janganlah kamu mengikuti kedua-dua mereka, dan bergaullah dengan kedua-dua mereka di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian, hanya kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan beritakan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan. (15)”
[Surah Luqman: 14–15]
Contoh yang lain, Islam mengharamkan amalan rasuah yang sama dengan larangan undang-undang ciptaan manusia, tetapi syariat Islam berprinsipkan aqidah keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat serta adanya perhitungan dosa dan pahala.
Jika terlepas daripada undang-undang syariat, maka pelakunya tidak dibebaskan daripada hukuman dosa di akhirat sekiranya tidak bertaubat.
Adapun undang-undang manusia tidak ada aspek aqidah serta dosa dan pahala.
Jika dibebaskan, maka dianggap selesailah masalahnya.
Di sana, ada perkataan yang sama, tetapi berbeza makna antara daerah dan bahasanya.
Contohnya, perkataan ‘harus’, ada kaum yang menterjemahkannya kepada bebas sama ada hendak melakukannya ataupun tidak.
Ada pula yang menterjemahkannya kepada wajib.
Bagi menjatuhkan hukuman terhadap seseorang, Islam menetapkan suatu kaedah:
ادْرَءُوا الْحُدُودَ بِالشُّبُهَاتِ.
“Tolaklah hukuman hudud (daripada dilaksanakan) dengan adanya syubhah (keraguan).”
[Hadis masyhur yang diriwayatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, No. 876]
Apa yang dimaksudkan dalam kaedah di atas, hukuman yang dinaskan seperti hukuman hudud tidak boleh dilakukan apabila berlakunya kekeliruan terhadap hujah mereka yang melakukannya.
Selain itu, apabila Khalid bin al-Walid RA membunuh tawanan yang menyebut dengan bahasa kaum mereka:
صَبَأْنَا.
“Kami telah menukar agama asal (tanpa mengucap dua kalimah syahadah).”
Maka, Rasulullah SAW telah menegur Khalid RA yang melakukan kesalahan kerana mereka dianggap telah memeluk Islam dengan ucapan itu.
[Rujuk Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 2, Hlm. 429–431]
Maka, jangan sekali-kali bermudah-mudah dalam menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para hakim atau para ulama’ yang diketahui bertafaqquh dalam urusan agama Islam.
Maka, perlu diketahui semua ilmu Islam itu ada fiqh tersendiri seperti fiqh aqidah, fiqh dakwah, fiqh jihad, fiqh politik, dan cabang-cabang yang lain, bukan sahaja fiqh hukum ibadat, muamalat, jinayat, dan lain-lain.
Konsep fiqh ini tercakup dalam firman Allah SWT dalam perkara al-din:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Tidak sepatutnya bagi para Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perjuangan). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka secara faham (tafaqquh) tentang agama dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila kaum itu telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu dapat menjaga diri.”
[Surah al-Tawbah: 122]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS