Membangun Lebih Banyak Politik Kenegaraan, Berbanding Politik Kepartian

Membangun Lebih Banyak Politik Kenegaraan, Berbanding Politik Kepartian

Teruja sungguh apabila melihat negarawan ulung Tun M, menghadiri perarakan sambutan kemerdekaan ke 67 Putrajaya baru-baru.

Begitu mencuri perhatian sehinggakan orang ramai seolah-olah tidak memperdulikan tuan rumah sambutan, PMX

Dalam hati saya berkata alangkah indahnya jika Presiden PAS dan pimpinan parti lain dapat hadir bersama pada waktu yang dinanti-nantikan oleh rakyat seluruh negara, meskipun tidak dijemput.

Inilah jiwa dan sifat negarawan, mencerminkan sikap kenegaraan kita berbanding kepartian.

Maaf cakap, PAS agak sedikit menonjolkan kepartiannya berbanding kenegaraan dalam hal ini.

Tidakkah sepatutnya sifat kenegaraan itu menenggelamkan sifat kepartian, tanpa menggadaikan prinsip.

Jika ini dapat dilakukan saya pasti, PAS akan dapat lebih diterima oleh bukan Islam, dan sudah pastinya, bumiputera Sabah dan Sarawak.

Siapakah penasihat PAS kepada tok guru?

Bukalah mata dan bukalah minta.

Mudah-mudahan apa yang telah berlaku akan membuka mata kita semua.

Ramai sebenarnya yang sayangkan PAS, tetapi PAS lebih kepada sedikit ‘kepartian’ berbanding sepatutnya lebih banyak kenegaraan.

Singkaplah Sejarah pimpinan PAS terdahulu seperti Almarhum Dr Zulkifli Muhammad dan Dr Burhanuddin Helmi.

Bekas pemimpin PAS ini begitu terserlah sifat kenegaraannya berbanding kepartian

Dalam ‘Falsafah Kebangsaan Melayu’ 1954 oleh Dr Burhanuddin sebelum beliau menjadi ahli PAS, almarhum pernah menyebutkan:

“Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan.

“Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.”

Dr Burhanuddin adalah seorang tokoh gerakan Islam yang menggunakan pendekatan nasionalis dalam dakwahnya.

Begitu juga tokoh-tokoh PAS peringkat awalan yang lain seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hasan, Tuan Haji Ahmad Badawi dan seangkatan dengannya, menggunakan pendekatan nasionalis yang agak mirip kepada menyokong pemerintah atau parti-parti anak didik pemerintah (penjajah) seperti UMNO dan Parti Negara waktu itu, tanpa menggadai prinsip.

Walaupun akhirnya mereka berpecah mengikut perpecahan dalam UMNO, yang mana kumpulan Tuan Haji Ahmad Fuad menyokong Datuk Onn bersama-sama Parti Negara dan Tuan Haji Ahmad Badawi menyokong Tunku Abdul Rahman bersama-sama UMNO.

Dr Burhanuddin selepas mengambil alih pimpinan PAS, menggunakan pendekatan nasionalis dan kemerdekaan agak menonjol dan bercanggah dengan parti-parti anak didik pemerintah, yang akhirnya jadi pemerintah seperti UMNO.

Pendekatan ini agak sesuai sebagai pembangkang yang terkuat waktu itu, untuk mengaut undi pembangkang.

Kepimpinan Dr Burhanuddin dalam PAS bermula dari tahun 1956 hingga tahun 1969.

Ternyata, pimpinan PAS terdahulu terserlah kenegaraannya berbanding kepartian.

Berfikir jauh ke hadapan dalam membangun sifat kenegaraan berbanding kepartian.

Saya harap tulisan ini tidak menyebabkan saya ‘diserang’ oleh penyokong PAS.

Semua ini untuk kebaikan PAS yang sepatutnya difikirkan oleh penasihat tok guru.

Sama juga apa yang berlaku ketika Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri, melibatkan Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Sepatutnya PAS turut menjemput atau menambahkan lagi dua lagi negeri yang dipimpin oleh bumiputera, Sabah dan Sarawak.

Jika tidak pun bersama dalam satu Pakatan, sekurang-kurang kita memanjangkan jemputan dan memperbaharui imej PAS yang lebih kepada kenegaraan bukan kenegerian dan kepartian.

Ya, tidak dinafikan memang ada wakil parti dari Sabah dan Sarawak. Tetapi itu tidak cukup.

Apa yang ingin dilihat adalah wakil dari Kerajaan negeri.

Panjangkanlah jemputan, sama ada dia datang atau tidak, terpulang.

Sama seperti sambutan kemerdekaan 67 baru-baru ini, sepatutnya Kerajaan hari ini panjangkan jemputan kepada semua bekas PM yang masih hidup, terutama Tun M dan pimpinan parti pembangkang yang lain.

Tetapi nampaknya perkara itu tidak berlaku.

Sangat tidak professional, sentiment kepartian menenggelamkan sentiment kenegaraan.

Kita nak maju macam mana kalau begini perangai mangkok hayun yang dibawa.

Allah Maha Kuasa, kehadiran Tun M telah menenggelamkan sambutan kemerdekaan yang diterajui oleh PMX.

Rakyat lebih memandang kepada kehadiran Tun daripada kenamaan yang lain.

Semua berita tular pasal Tun M, bukan sambutan kemerdekaan Kerajaan hari ini.

Jika pimpinan PAS dan Bersatu ada bersama, bukan sahaja tular, macam nak kiamat Malaysia ini.

Apapun semua masih belum terlambat, Hari Malaysia akan tiba tidak lama lagi, pada 16 September ini.

Saya tidak perlu menasihati lagi.

Lakukanlah terbaik untuk Hari Malaysia, berfikirlah lebih besar bersifat kenegaraan bukan kepartian.

Itu sahaja cara untuk kekal lama dan diterima seluruh lapisan rakyat.

Dr. Mohd Ridhuan Tee

Kolumnis