Dalam usaha mengembalikan semula umat kepada kefahaman Islam mengikut landasan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, setelah ketinggalan zaman disebabkan oleh penjajahan dan kelekaan, maka muncul dua gejala atau dua keadaan yang menjadi gangguan dan merosakkan perjalanan umat untuk kembali semula kepada Islam.
Pertama, pendekatan liberal kerana terpengaruh oleh kemajuan kebendaan Barat yang berfahaman liberal sekularisme.
Kedua, pendekatan ekstrem (melampau) kerana sayang akan agama, namun tanpa bertafaqquh (membina kefahaman dengan ilmunya).
Allah SWT memberikan peringatan dengan firman-Nya:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW menerangkan kepada para sahabat RA sambil memegang sebatang ranting, lalu Baginda menggariskan di atas tanah garisan yang betul dan lurus seraya bersabda:
هَذَا سَبِيلُ اللهِ مُسْتَقِيمًا.
“Garis yang lurus ini ialah satu-satunya jalan Allah yang betul.”
Kemudian, Baginda pun melakarkan cabang-cabang di sebelah-menyebelahnya, lalu bersabda:
هَذِهِ السُّبُلُ، لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.
“Adapun cabang-cabangnya ini adalah yang terpesong dari jalan Allah yang betul. Di setiap kepala cabang itu ada syaitan yang menggoda supaya mengikutinya.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 4437, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud. Lafaz bagi Ahmad]
Dalam ayat yang lain, Allah menamakannya sebagai jalan al-wasat yang disebut juga sebagai wasatiyyah. Firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ … ١٤٣
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu…” [Surah al-Baqarah: 143]
‘Wasat’ atau ‘wasatiyyah’ dalam bahasa al-Quran bererti pertengahan, kesederhanaan, adil, dan saksama, di samping menjadi teladan yang dapat dilihat dengan mudah.
Umat Islam ditugaskan menjadi model atau contoh teladan yang dapat dilihat di tengah-tengah masyarakat manusia dalam pelaksanaan petunjuk Allah kepada makhluk yang tidak sama dengan malaikat yang bersifat rohani yang bersih rohnya tanpa nafsu kebinatangan.
Demikian juga, tidak sama dengan binatang yang tidak berakal dan bernafsu serta berlainan dengan jamadat (makhluk yang tidak mampu bergerak) seperti batu-batan, kayu-kayan, gunung-ganang, dan bukit bukau.
Makhluk manusia dicipta mengikut fitrah, berjasad, mempunyai nafsu dan akal, mempunyai nyawa dan roh, serta hidup bersendiri, berkeluarga, dan bermasyarakat.
Manusia turut dipandu dengan petunjuk wahyu kitab Allah bersama rasul yang dilantik, di samping dikurniakan akal dan pengalaman dalam perjalanan hidup agar nafsu mereka dapat dikawal dan tidak seperti binatang.
Maka, kejadian manusia yang bercirikan tersebut membezakan mereka dengan makhluk yang lain, menjadikan mereka ditugaskan di alam dunia supaya beribadat kepada Allah dengan aqidah yang betul, serta bertugas memakmurkan dunia dengan syariat yang adil kepada seluruh alam yang menjadi amanah besar kepada mereka. Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-gunung. Maka, semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]
Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Maka, Allah menetapkan kemuliaan kepada manusia dengan petunjuk bersama kejadiannya sebegitu rupa. Firman Allah SWT:
۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠
“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Telah ditetapkan sempadan bagi keperluan hidup manusia mengikut ketetapan halal dan haram dalam urusan kehidupan kepada diri mereka serta hubungan berkeluarga, bermasyarakat, dan makhluk yang diuruskan oleh mereka. Firman Allah SWT:
۞قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمۡ عَلَيۡكُمۡۖ أَلَّا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـٔٗاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗاۖ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُم مِّنۡ إِمۡلَٰقٖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ وَإِيَّاهُمۡۖ وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ ١٥١ وَلَا تَقۡرَبُواْ مَالَ ٱلۡيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ أَشُدَّهُۥۚ وَأَوۡفُواْ ٱلۡكَيۡلَ وَٱلۡمِيزَانَ بِٱلۡقِسۡطِۖ لَا نُكَلِّفُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۖ وَإِذَا قُلۡتُمۡ فَٱعۡدِلُواْ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰۖ وَبِعَهۡدِ ٱللَّهِ أَوۡفُواْۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ١٥٢
“Katakanlah, ‘Marilah kubacakan apa-apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua-dua ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan – Kami akan memberikan rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahaminya. (151)
“Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai dia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun dia ialah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.’ (152)” [Surah al-An‘am: 151–152]
Maka, Allah menetapkan panduan menjadi makhluk pilihan Allah yang bersifat wasatiyyah, tidak seperti malaikat yang tiada nafsu dan tidak perlu dikawal daripada melakukan kejahatan, tidak seperti binatang yang tidak berakal sehingga tidak boleh mengawal nafsunya, serta tidak seperti batu, kayu, dan bukit yang tidak bergerak.
Sabda Rasulullah SAW yang menghuraikan sempadan ketetapan Allah kepada manusia:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ، ومَنْ وقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَقَعَ فِيهِ، أَلَا وإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وهِيَ الْقَلْبُ.
“Sesungguhnya, yang halal itu terang dan nyata dan yang haram juga terang dan nyata. Antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (yang mengelirukan) yang tidak diketahui oleh ramai. Maka, sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhah, bermakna dia menjaga maruah dan agamanya. Sesiapa yang jatuh dalam perkara syubhah, bermakna dia jatuh dalam perkara haram, seperti penggembala ternakan yang membawa ternakannya menghampiri sempadan kawasan larangan. Sesungguhnya, setiap pihak yang berkuasa ada sempadannya, dan sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkan. Ingatlah, bahawa dalam jasad manusia itu ada segumpal daging. Jika baik, maka baiklah jasadnya, dan jika buruk, maka buruklah jasadnya. Segumpal daging itu ialah jantungnya.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 52, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Buyu‘, No. 1599, daripada al-Nu‘man bin Bashir]
Allah SWT berfirman kepada umat Islam yang mengikuti petunjuk-Nya iaitu umat yang menjadi contoh terbaik kepada manusia:
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠
“Kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia; menyuruh kepada yang ma‘ruf, mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq.” [Surah Ali ‘Imran: 110]
Maka, terdapat kalangan manusia yang tidak mengikuti sempadan ketetapan kerana meninggalkan petunjuk-Nya dan merosakkan akal mereka sehingga menjadi liberal (bebas) atau ekstrem (melampau) dalam kehidupan mereka, sehingga ada yang mahu menjadi seperti malaikat, binatang, atau alat seperti jamadat (kayu dan batu).
Allah SWT memberikan amaran kepada manusia yang mencipta teori, agama, atau ideologi di luar daripada kemampuan kejadian dan fitrah mereka dengan firman-Nya:
أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١
“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]
Allah telah menetapkan hala tuju (road map) yang betul dalam perjalanan hidup manusia agar jangan memilih peta jalan yang lain, sama ada menyimpang ke kanan ataupun ke kiri.
Sama ada bersifat liberal yang lebih daripada binatang, mahupun ekstrem yang lebih daripada malaikat, ataupun diperalatkan seperti kayu dan batu.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Firman Allah SWT:
قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِيٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةٗ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ ٣٢ قُلۡ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَ وَٱلۡإِثۡمَ وَٱلۡبَغۡيَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ وَأَن تُشۡرِكُواْ بِٱللَّهِ مَا لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ سُلۡطَٰنٗا وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٣
“Katakanlah, ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapakah pula yang mengharamkan) rezeki yang baik?’ Katakanlah, ‘Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) pada Hari Kiamat.’ Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui. (32)
Katakanlah, ‘Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu, dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa-apa yang tidak kamu ketahui.’ (33)” [Surah al-A‘raf: 32–33]
Munculnya agama yang mencipta ajaran manusia menjadi malaikat kepada pendeta, paderi, dan sami sehingga tidak berkahwin atau memakan makanan yang lazat dan berzat.
Ada teori yang menjadikan manusia bebas seperti binatang.
Ada juga yang menjadikan manusia laksana kilang atau alat yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya.
Islam adalah bersifat wasatiyyah dalam semua perkara; jasad, akal, roh, individu, dan bermasyarakat, serta mentadbir makhluk sekeliling manusia.
Kemusnahan berlaku apabila manusia melakukan kerosakan ekstrem atau liberal.
Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Oleh sebab itu, para ulama’ islah dan tajdid menubuhkan jemaah yang diperintahkan oleh Allah pada setiap zaman dan di setiap tempat. Firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat (jemaah atau kumpulan) yang menyeru kepada kebajikan (Islam yang sempurna), menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Ditetapkan dalam Perlembagaan PAS bahawa rujukan tertinggi ialah Kitab Allah (al-Quran), Sunnah, Ijmak, dan Qias yang nyata.
Majlis Syura Ulamak pula dilantik bagi memelihara segala perjalanan dan tindakannya, termasuk memilih cara damai yang wujud dalam sistem demokrasi yang terkawal dengan konsep Islam yang tertinggi.
Perkara ini menjadikan PAS tidak melatah atau tersungkur oleh pihak yang cuba memesongkan perjalanannya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS