MengIslamkan Masjid Cina Supaya Terpancar Universalitinya, Bukan Mencinakan Masjid Cina

MengIslamkan Masjid Cina Supaya Terpancar Universalitinya, Bukan Mencinakan Masjid Cina

Perkara ini penting dalam memahami erti masjid bersenibina Cina atau apa jua senibina….

Fungsi masjid adalah untuk semua, sebagaimana agama Islam itu untuk semua, bukan hanya untuk satu kaum sahaja, senibina hanya alat bukan matlamat.

Jangan kesampingkan agenda negara meskipun namanya masjid Cina.

Pastikan nama, tanda arah diletakkan dalam bahasa Melayu terlebih dahulu, sebelum bahasa lain.

Jangan sampai bahasa Cina menenggelamkan bahasa kebangsaan atau bahasa negara, kerana masjid itu terletak di Malaysia, bukan negara China.

Pastikan masjid bersenibina Cina, memuncul rasa dan semangat kita berada di Malaysia, negara berbilang kaum yang ada sejarah asal usulnya.

Berperanan untuk memahamikan rakyat Malaysia, terutama berbangsa Cina, terhadap Islam.

Bukannya, merasakan kita berada di negara China atau di Xian.

Hanya dua masjid sahaja kita peru hadirkan keberadaannya di tempat asalnya, walapun kita berada di negara kita, iaitu masjidil haram (kaabah) di Mekah dan masjid Nabawi, di Madinah, di mana terletaknya kaabah dan makam Baginda Rasulullah saw.

Tujuannya, tidak lain untuk mendekatkan diri kita kepada agama Allah swt dan PesuruhNya, baginda Rasulullah saw.

Terdirinya masjid Cina di Malaysia, perlu difahami dalam konteks hidup bernegara, berpandukan perlembagaan iaitu menjadi dakwah sebagai matlamat, bukan menghidupkan semangat ‘kebangsaan’ yang keterlaluan.

Saya cukup bimbang bila wujudnya pemikiran dalam kalangan saudara sebangsa saya, bila ada masjid bersenibina Cina dikatakan lambang atau simbol perpaduan dan keharmonian.

Apakah selama ini masjid bersenibina lain seperti kubah atau selain dari senibinaan di atas tidak melambangkan perpaduan dan keharmonian?

Semuanya berkaitan dengan persepsi, dan cara kita melihat kesejagatan agama Islam.

Kepelbagaian itu adalah warna warni bagi memunculkan rasa bahawa agama Islam itu bersifat universaliti.

Tetapi, perkara yang lebih penting perlu dihadirkan adalah, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Buatlah senibina apapun, Malaysia adalah tanah tumpah airku, hidup dan matiku. Bukan berkiblatkan negara lain.

Lemahnya cara kita berfikir dalam mencapai perpaduan dan keharmonian, terletak pada senibina.

Cetek pemahaman kita dalam menilai erti perpaduan. Senibina hanya alat, bukan matlamat.

Perpaduan tidak boleh dicapai hanya dengan senibina, tetapi jauh lebih besar daripada itu adalah interakasi dan komunikasi.

Asasnya adalah bahasa. Dengan bahasa sahaja kita boleh berinteraksi dan berkomunikasi. Bukan dengan bangunan.

Selalu saya tekankan betapa penting bahasa Melayu dikuasai sepenuhnya oleh semua kaum, kerana ia bahasa perpaduan bagi tujuan interaksi dan komunikasi.

Masjid hanya tempat, alat, bukan matlamat.

Untuk makluman, saya adalah kumpulan pertama (pioneer) bersama-sama sahabat Cina Muslim yang lain menubuhkan Persatuan Cina Muslim Malaysia atau dalam bahasa Inggerisnya disebut, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).

Bermula tahun 1992, sehinggalah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1994.

Singkatan atau akronim MACMA itu sayalah yang memberikan namanya.

Antara matlamat MACMA, selain menjaga kebajikan Cina Muslim, adalah bertindak sebagai jambatan, untuk memahamkan Cina bukan Islam terhadap Islam.

Selain itu, dari segi fizikalnya, antara perjuangan kami untuk membina masjid bersenibinakan Cina seperti masjid di negara China, supaya dapat menampakkan uiversaliti Islam, di samping mendekatkan Cina bukan Islam khususnya, terhadap Islam.

Selepas tertubuhnya MACMA secara rasmi pada tahun 1994, beberapa masjid bersenibina telah dibina, itu adalah antara yang kami perjuangkan.

Antaranya di Kelantan, Melaka, Perak dan terbaharu di negeri Selangor, Bandar Botani, Klang.

Untuk negeri Melaka, masjid bersenibina Cina, bukan perkara baharu, memang sudah lama, berasaskan kepada sejarah hubungan Melaka-China, satu masa dahulu.

Tetapi kecinaan masjid di Melaka itu tidaklah begitu terserlah, berbanding dengan kecinaan masjid-masjid yang muncul selepas itu di negeri luar negeri Melaka.

Terbaharu, sedangkan tular dan hangat diperkatakan adalah, masjid jamek bersenibina Cina di bandar Botanik, Klang.

Telah siap dibina dan telah digunakan bagi tujuan beribadah dan solat jumaat.

Apabila tertegaknya masjid bersenibina di Klang Selangor ini, maka ramailah yang berkata, ia adalah lambang perpaduan dan keharmonian.

Masjid Jamek Cina Muslim Klang, dikatakan akan menjadi simbol baharu keharmonian budaya dan agama di Selangor.

Saya tidak nafikan ia akan menjadi ikonik dan tarikan pelancong, persoalan lebih besar yang perlu difikirkan adalah, di mana agenda hidup bernegara?

Apapun nama dan senibina masjid yang dibina, janganlah sampai mengenepikan bahasa kebangsaan.

Tidak mengapalah senibina itu seratus peratus Cina atau India, atau Siam atau lain-lain.

Tetapi perlembagaan negara jangan dikesampingkan sehingga menampakkan seolah-olah masjid senibina Cina ini terletak di negara China.

Inilah perkara yang selalu kita tersalah pandang.

Sekali pandang masjid baharu yang hebat diperkatakan, seolah-olah semua papan tanda dan signage, semua ditulis dalam bahasa Cina, ayat Quran ditulis dalam kaligrafi Cina.

Proses pencinaannya begitu ketara dan menyerlah. Bahasa Melayu seolah-olah dikesampingkan.

Jika itulah suasana dan persekitarannya, bagaimana orang bukan Cina yang datang ke masjid tersebut untuk memahaminya.

Apakah ia akan menjadi lambang perpaduan dan keharmonian?

Saranan saya, bahasa Melayu, selaku bahasa negara, hendaklah diutamakan, diikuti bahasa lain, meskipun nama masjid Cina.

Jangan kita menjadi lebih kuah dari sudut di sebalik keghairahan menjadikan masjid sebagai lambang perpaduan dan keharmonian sehingga menggadaikan prinsip dan rukun bernegara mengikut acuan perlembagaan.

Masjid ini hendaklah dijadikan sebagai pusat dakwah untuk memahamkan bukan Islam, terutama orang Cina terhadap Islam, bukan menjadi tempat mencinakan Islam.

Binaan masjid itu yang hampir sama Masjid Besar Xi’an di China, sepatutnya satu motivasi baharu kepada Cina untuk menyembangkan syiar Islam dan memahamkan Cina bukan Islam di negara kita, supaya tidak terlalu celupar dalam memperkatakan isu berkaitan Islam.

Sudah tentu kita tidak mahu wujudkan suasana, seolah-olah kita berada dalam masjid di negara China dengan adanya masjid senibina Cina di sini.

Berbeza dengan kedudukan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, meskipun berada di Malaysia.

Dalam kata lain, walaupun kita berada di Malaysia, selalu ingat, atau hadirkan diri, akan keberadaan Masjid Haram di Mekah, terletakknya Kaabah dan Masjid Nabawi, di mana terletaknya makan Nabi, Rasulullah saw.

Tidak menjadi masalah untuk berkhutbah dalam bahasa Cina di masjid Cina, namun pastikan juga bahasa negara digunakan juga.

Paling kurang ada terjemahannya. Jangan menjadi terlampau Cina sehingga mencinakan Islam, sehingga orang Melayu merasa terpinggir di masjid Cina.

Peranan masjid Cina yang sebenar adalah mengislamkan Cina.

Apa yang membimbangkan saya adalah, ada satu pemahaman salah dalam kalangan segelintir nanti sehingga mencinakan masjid tersebut seolah-olah kita berada di negara China.

Dalam memahami erti universaliti, sebenarnya senibina kubah itu sendiri, bukan datangnya dari Arab atau Cina, tetapi bersumber idea asal Moorish Indian.

Peliknya, kita lihat, boleh dikatakan semua masjid ada kubah.

Lagipun pula senibina kubah ini tidak sesuai dengan cuaca di Malaysia, yang menerima banyak hujan dalam setahun.

Kita lihat berapa banyak kubah bocor setiap kali hujan.

Dalam erti kata lain, senibina kubah tidak sesuai di negara yang menerima banyak hujan.

Persoalannya, kenapa semua masjid di Malaysia ada kubah?

Inilah masalah kita dalam memahami Islam sebagai agama yang bersifat universiti.

Apabila saya pergi ke Sumatera Barat, sempat memberikan ceramah, di situ saya terjumpa sebuah masjid bersenibina Minangkabau, memuatkan 30 ribu jamaah, tidak berkubah.

Ini baru betul, memahami Islam, dalam konteks kehidupan bernegara dan suasana di mana kita berada.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis