Belajar Kesabaran Dari Alam Dan Kehidupan

Belajar Kesabaran Dari Alam Dan Kehidupan

Di satu kampung kecil di tepi hutan, seorang cucu bernama Hakim duduk bersila di beranda rumah papan bersama datuknya yang dipanggil Atuk Wan. Udara senja yang segar membawa bau tanah lembap dan bunyi unggas yang bersahut-sahutan.

Hakim mengeluh kecil sambil memandang jauh, matanya yang muda mencari jawapan di celahan pepohon pisang yang bergoyang ditiup angin.

“Atuk, kenapa kita kena bersabar dengan orang yang keras kepala? Tak bolehkah kita tinggikan suara saja?” tanya Hakim, nada suaranya penuh kekeliruan.

Atuk Wan tersenyum, garis-garis halus di wajahnya melukiskan pengalaman hidup yang panjang. “Hakim, apa yang kau dapat kalau kau tinggikan suara?”

Hakim terdiam. Fikirannya melayang memikirkan perselisihan faham di sekolah.

Dia cuba menjelaskan pendapatnya kepada rakan-rakan sekelas, tapi akhirnya semuanya hanya menjerit, masing-masing mahu menang.

“Kau pernah dengar tak pasal hujan dan guruh, cucu?” Atuk Wan mula bercerita, pandangannya jauh ke ufuk barat, melihat matahari perlahan-lahan terbenam.

“Hujan itu lembut, tapi tengoklah. Bila dia turun, bunga berkembang, padi subur, tanah jadi lembap. Guruh pula… dia kuat, tapi dia tak mampu tumbuhkan apa-apa. Sekadar menggegarkan langit.”

Hakim memandang datuknya dengan rasa ingin tahu. “Maksud Atuk, kita kena jadi macam hujan?”

Atuk Wan mengangguk. “Betul. Naikkan kata-kata, bukan suara. Biar kata-kata kita lembut, tapi penuh makna, menyuburkan jiwa orang yang mendengarnya.

“Bukan suara yang hanya mengejutkan, tapi tak buat apa-apa. Kau lihat sawah di bawah tu?”

Hakim mengalihkan pandangannya ke sawah yang menguning di kaki bukit.

Teringat masa kecilnya bermain lumpur bersama rakan-rakan, mengutip siput dalam petak-petak sawah, dan memandang kagum hasil padi yang dijaga oleh para petani.

“Setiap butir padi yang kau tengok tu, cucu, tak tumbuh dengan jerit pekik.

“Semua tumbuh kerana air yang meresap perlahan-lahan ke dalam tanah.

“Sama macam hujan yang menyuburkan tanah. Kata-kata yang baik, walaupun perlahan, akan masuk ke hati orang.

“Dan orang akan ingat kau kerana kebaikan, bukan kerana kekasaran.”

Hakim mengangguk perlahan, kata-kata Atuk Wan mula meresap ke dalam hatinya.

“Jadi, Hakim kena berhujah dengan kata-kata yang baik?”

“Ya, cucu. Kerana akhirnya orang takkan ingat apa yang kau jeritkan, tapi mereka akan ingat apa yang kau katakan.

“Macam Atuk masih ingatkan arwah nenek kau dulu. Dia tak pernah tinggikan suara, tapi setiap kata-katanya jadi panduan hidup Atuk sampai sekarang.”

Hakim tersenyum kecil, membayangkan neneknya yang lemah lembut tetapi tegas.

Wajahnya mungkin samar dalam ingatan, tetapi nasihatnya tentang kebaikan dan kesabaran masih segar.

“Apa yang kita ucap, cucu, kalau kena pada tempatnya, akan jadi hujan yang menyuburkan.

“Kalau sekadar kuat tapi tak bermakna, ia hanya jadi guruh yang bising dan dilupakan orang.”

Senja makin merah, dan angin sepoi-sepoi bahasa menyusup masuk ke serambi.

Mereka berdua terdiam, merenungi waktu yang terhampar di hadapan.

Hakim bersyukur masih ada Atuk Wan di sisinya.

Suara tua yang tidak pernah tinggi, tetapi sentiasa memberi makna.

Di waktu yang serba canggih ini, dia tahu, nasihat Atuk Wan akan kekal menyuburkan jiwanya seperti hujan menyuburkan bumi.

Timmy Say

Kolumnis