Janganlah dibunuh anjing dengan sewenang-wenangnya, tanpa belas ehsan. Anjing tetap makhluk, walaupun ia ‘haram’ dimakan.
Anjing ada keistimewaan yang tidak ada pada makhluk lain.
Renungkan 10 sifat ini menurut ulamak terdahulu,
Pertama, anjing sentiasa dalam keadaan lapar, ini adalah sifatnya orang-orang mukmin
Kedua, tidurnya anjing pada malam hari hanya sedikit, banyak berjaga, ini adalah sifat orang yang gemar bangun tengah malam, melaksanakan Tahajud
Ketiga, andai ia dipukul, dibuang dan dimarah oleh tuannya berkali-kali pun, anjing tidak akan merajuk, akan tetap tinggal dan setia, ini adalah sifatnya orang yang jujur dan ingin belajar. Tidak merajuk apabila dimarahi bagi tujuan kebaikan
Keempat, saat anjing mati, ia tidak meninggalkan warisan sedikit pun, ini adalah tanda orang-orang yang zuhud
Kelima, anjing tidurnya ditempat yang rendah, sifat tawaduk, rendah diri, rela atas ketentuan Allah yang ditempatkan di tempat yang rendah, ini adalah sifat orang-orang yang redha
Keenam, diberi makan, dia makan, jika tidak dia hanya memandang sahaja, ini adalah akhlaknya orang Islam, tidak meminta-minta
Ketujuh, andai anjing diusir dan dibaling dengan senjata seperti batu dan kayu, ia tidak marah dan tidak dengki, ini adalah sifatnya para pecinta
Kelapan, jika tempatnya ditempati yang lain, ia akan pergi mencari tempat lain, ini adalah sifatnya orang soleh dan terpuji
Kesembilan, jika dia diberi makanan maka dia akan memakannya sekadar untuk kenyang, ia hanya memakan makanan yang diberikan kepadanya, ini adalah sifat orang-orang yang qanaah
Kesepuluh, jika dia pergi dari suatu wilayah ke wilayah lainnya maka dia tidak membawa perbekalan sedikit pun, ini adalah sifat orang-orang yang bertawakal. Bila berlari ke hadapan, ia tidak akan berpaling lagi, inilah sifat yang orang ingin berjaya. Maju ke hadapan.
Bayangkan dunia tanpa anjing, bagi tujuan keselamatan, bagaimana kita dapat menangkap pembunuh, pencuri, pengedar dadah dan sebagainya.
Menjadi kewajipan kepada pasukan keselamatan untuk memastikan keselamatan negara terjamin.
Allah hanya mengurniakan deria bau yang hebat kepada anjing, tidak pada binatang lain.
Justeru, berpada-pada sikap kita kepada makhluk ini, meskipun ia bernama binatang.
Kadang kala, anjing lebih mulia daripada manusia yang rendah akhlaknya.
Janganlah dibunuh anjing sewenang-wenangnya.
Cerita dalam al-Quran, ashabul kahfi, dan seorang pelacur yang masuk syurga kerana memberikan anjing yang dahaga minum, patut dijadikan teladan untuk kita semua.
10 sifat yang perlu ada pada manusia, pesanan ulamak besar kita, sepatutnya menjadi renungan bersama.
Sikap memusuhi anjing dan makhluk lain dikategorikan ‘haram’ perlu diinsafi, kerana ia tetap makhluk Allah, kecualilah sehingga membahayakan nyawa.
Saya fikir, sepuluh sifat yang dimiliki oleh anjing ini adalah sifat terpuji yang layak dan perlu ditiru orang-oran manusia, terutama orang Islam.
Dengan memiliki sifat ini, nescaya mereka akan selimuti dengan rasa syukur dan menerima ketentuan dari Allah SWT.
Imej Islam akan tercalar jika kita ‘bermusuh’ dengan anjing.
Jika anjing mengadukan kepada Allah suatu hari nanti, hina sangatkah aku menjadi makhlukMu, sehingga aku diperlakukan sedemikian rupa.
Mungkin orang yang melakukan tindakan sedemikian rupa, ada justifikasinya, kita tunggu.
Dr. Ridhuan Tee Abdullah