Brunei Darussalam mencatat sejarah baharu dalam industri maritim dengan pengumuman projek limbungan penyelenggaraan marin dan limbungan penyahtauliahan yang pertama, hasil kerjasama strategik antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan Qaswa Holdings Sdn Bhd.
Beroperasi di Pulau Muara Besar, projek berskala besar ini akan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) serta pemulihan penyahtauliahan (DR) dalam sektor marin, menjadikannya salah satu fasiliti paling lengkap di rantau ini.
Dibina di atas tapak seluas 27 ekar, limbungan ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2026.
Konsortium pembangunnya terdiri daripada Qaswa Holdings sebagai rakan utama tempatan, Dana Modal Pembangunan Strategik Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, dan dua syarikat teknikal antarabangsa – Dongil Shipyard Co Ltd dari Korea Selatan bagi bahagian penyelenggaraan marin, dan CessCon Decom Ltd dari United Kingdom yang mengkhusus dalam perkhidmatan penyahtauliahan.
Kombinasi ini dijangka mewujudkan pusat perkhidmatan marin bersepadu yang menawarkan pelbagai khidmat kritikal untuk industri maritim dan minyak serta gas.
Menurut Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, projek ini memberi Terengganu peluang yang sangat berharga untuk memperluaskan kepakaran serta inovasi dalam sektor minyak dan gas melalui pertukaran teknologi dan kemahiran teknikal.
Tenaga kerja dari Terengganu berpeluang menimba pengalaman berharga di limbungan tersebut, membolehkan mereka menguasai kemahiran industri bertaraf antarabangsa.
Dr. Ahmad Samsuri menekankan bahawa langkah ini akan meningkatkan daya saing Negeri Terengganu di pentas global, memperkukuhkan peranannya dalam sektor minyak dan gas serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan di peringkat negeri dan antarabangsa.
Kerjasama antara EPIC Berhad dan Qaswa Holdings ini bukan sahaja bakal meningkatkan kompetensi sumber manusia Terengganu, tetapi juga berpotensi membuka lebih banyak projek kolaboratif di masa hadapan.
Peluang-peluang tersebut diharapkan membawa masuk pelaburan baharu, mewujudkan peluang perniagaan yang lebih luas, serta menjadikan Terengganu sebagai hab maritim dan minyak serta gas yang kukuh di rantau Asia Tenggara.
Projek di Pulau Muara Besar ini bukan sahaja bermanfaat kepada Brunei dalam jangka panjang, malah akan membawa limpahan ekonomi serta kemajuan kepada Negeri Terengganu.
Dengan visi jauh ke hadapan, Dr. Ahmad Samsuri yakin kerjasama dua hala ini akan memberikan pulangan yang menguntungkan kepada rakyat kedua-dua negara.
“Insha-Allah, projek ini akan membawa manfaat besar kepada semua pihak yang terlibat, dan kita berharap ia akan terus mengukuhkan hubungan Terengganu-Brunei serta memperkasakan lagi sektor maritim dan industri minyak dan gas di rantau ini,” ujar beliau.