Afghanistan: Perlukan Bantuan, Bukan Kritikan

Afghanistan: Perlukan Bantuan, Bukan Kritikan

Baru-baru ini, Lim Guan Eng, seorang pemimpin veteran DAP, mempertikaikan kunjungan wakil Kementerian Afghanistan ke Malaysia.

Kritikan ini muncul tanpa sebab yang jelas, seolah-olah melupakan penderitaan sebuah negara yang telah dilanda peperangan berpanjangan.

Afghanistan, yang juga dikenali sebagai tanah Khurasan, telah lama menjadi medan perang – dari penjajahan Pax Britannica, serangan Soviet, konflik dalaman, hingga peperangan selama dua dekad dengan Amerika Syarikat.

Peperangan meninggalkan luka mendalam, membentuk watak manusia yang keras dan sering kali tidak bersahabat.

Saya sendiri pernah merasai situasi ini sewaktu menyertai misi kemanusiaan ke Afghanistan.

Pengalaman pertama saya diserang seorang kanak-kanak hanya kerana enggan membeli keropok ringan jualannya amat mengesankan.

Kanak-kanak itu, seperti ramai anak kecil lain di Kabul, adalah mangsa kemiskinan melampau dan konflik tanpa kesudahan.

Pendidikan, yang seharusnya menjadi penyelamat, terhalang akibat situasi ini, membiarkan mereka terus terjebak dalam kitaran kemiskinan.

Ketika mengagihkan makanan asas di Kabul dan kawasan sekitarnya seperti Pochukkari dan Poshman, kami mendapati ramai kanak-kanak dan wanita hidup dalam keadaan sukar.

Namun, mereka tetap menjaga maruah diri.

Perempuan di Kabul tidak sesuka hati berkeliaran tanpa sebab, dan tiada kawasan pelacuran seperti yang sering digambarkan dalam propaganda Barat.

Walaupun hidup dalam kesusahan, mereka memegang teguh prinsip agama dan nilai moral.

Propaganda Barat sering menggambarkan wanita Afghanistan sebagai mangsa diskriminasi, terkurung di rumah, dan tiada kebebasan.

Namun, apa yang saya saksikan jauh berbeza.

Muslimat Afghanistan, termasuk pelajar universiti, kelihatan sopan dan terpelajar.

Malah, kerajaan dan NGO tempatan seperti Jamiatul Islah berusaha keras meningkatkan pendidikan wanita, melatih kader dakwah, dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Walaupun perubahan tidak berlaku sekelip mata, pendidikan adalah kunci untuk membebaskan Afghanistan daripada belenggu kemiskinan dan sekatan antarabangsa.

Sebagai negara yang dikenali kerana pendekatan mesra umat Islam, Malaysia harus mengambil langkah membantu Afghanistan.

Kita telah banyak membantu Palestin, dan kini Afghanistan juga memerlukan perhatian kita.

Bantuan dalam bentuk pendidikan adalah cara terbaik untuk membantu negara ini bangkit semula.

Dengan ilmu, rakyat Afghanistan boleh membina masa depan yang lebih cerah dan memutuskan kitaran penderitaan akibat peperangan yang panjang.

Jangan hanya mengkritik mereka, tetapi hulurkan tangan untuk membantu – kerana itulah nilai yang diajarkan oleh Islam dan nilai kemanusiaan sejagat.

Dr Ustaz Riduan Mohd Nor

Kolumnis