Terengganu bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan Antarabangsa Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) yang bertujuan memperkukuhkan kesatuan ummah serta memacu kemajuan negeri ke arah kemampanan dan daya tahan ekonomi.
Persidangan ini juga dilihat sebagai platform penting untuk membina rangkaian kerjasama global dalam kalangan tokoh-tokoh utama dunia Islam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, TIS 2024 diadakan dengan matlamat utama untuk memperkenalkan Negeri Terengganu kepada negara-negara luar, khususnya dalam bidang pelaburan, pendidikan, dan kebudayaan.
Beliau menjelaskan, “Walaupun tajuknya berkait dengan persatuan ummah, tetapi ia mempunyai objektif lain antaranya ialah dalam bidang pelaburan, pendidikan dan kebudayaan yang mana kita nak memperkenalkan Negeri Terengganu kepada negara-negara luar.”
Program ini, yang merupakan anjuran bersama Yayasan Perdana, Yayasan Permata Ummah (YPU), Sekretariat SG4 dan Menteri Besar Incorporated (MBI), dijangka akan dihadiri oleh perwakilan dari lima buah negara iaitu Oman, Rusia, Filipina, Turki dan Indonesia.
Program ini dijadualkan berlangsung pada 23 November 2024, bertempat di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong, dengan sesi dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang.
Mengulas lanjut mengenai tema persidangan, Dr. Khalil menjelaskan bahawa TIS 2024 bertemakan “Kesatuan Ummah Ke Arah Kemampanan, Daya Tahan dan Kemakmuran Bersama.”
Beliau berharap persidangan ini dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara negara-negara peserta dalam pelbagai bidang, sekaligus membawa manfaat kepada negeri Terengganu dan negara-negara Islam secara keseluruhan.
“Kita harap ia akan membuka pintu-pintu lain untuk kita terokai lagi selepas daripada ini,” tambahnya.
Ucaptama persidangan akan disampaikan oleh negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia.
Selain itu, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap penaung Yayasan Permata Ummah, turut dijangka akan turut serta dalam majlis tersebut.
Majlis perasmian persidangan akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Khalil juga memaklumkan bahawa acara ini akan turut melibatkan ahli Parlimen dari negeri-negeri SG4 (Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah) serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dari seluruh negara.
Penyertaan dalam persidangan ini adalah terhad, namun pihak penganjur menyediakan siaran langsung bagi membolehkan lebih ramai pihak mengikuti perjalanan persidangan ini.
TIS 2024 dilihat sebagai satu langkah penting bagi negeri Terengganu untuk lebih dikenali di peringkat antarabangsa serta untuk mengukuhkan peranan negeri ini dalam memajukan bidang pendidikan, pelaburan, dan kerjasama antarabangsa, sambil mengutamakan kesatuan ummah yang sejati.