Perjalanan perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak dapat disangkal lagi sebagai sebuah episod panjang yang penuh onak dan duri.
Bermula daripada pengasasannya oleh ulama di Gunung Semanggol pada tahun 1948 sebagai Hizbul Muslimin, parti ini membawa misi besar untuk menegakkan pemerintahan Islam di bumi Tanah Melayu.
Namun, tekanan penjajah melalui Ordinan Darurat 1948 telah memendekkan hayat Hizbul Muslimin, memaksa para pendukungnya menyusun langkah baharu.
Pada 24 November 1951, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu ditubuhkan, menyambung kesinambungan perjuangan Islam yang tersendat.
Dengan matlamat membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British dan mengangkat martabat Islam, PAS mula menyertai medan politik tanah air.
Dalam persidangan perwakilan, PAS dengan tegas mempertahankan kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal, mendesak agar bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi, serta memastikan Islam menjadi teras penting dalam pemerintahan negara merdeka.
Walaupun berbeza pendirian dengan UMNO dan MCA dalam beberapa isu seperti pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing dan pelantikan suruhanjaya bebas untuk menggubal perlembagaan, PAS tidak sesekali menjadi penghalang kepada usaha meraih kemerdekaan.
Bahkan, PAS menyokong penuh rombongan Tunku Abdul Rahman ke London pada 1953 bagi menuntut pilihan raya di peringkat Persekutuan.
Desakan bersatu oleh pelbagai pihak akhirnya memaksa British mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pertama pada 1955, di mana PAS turut bertanding setelah didaftarkan secara rasmi sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP).
Menyemai Benih Perjuangan Selepas Merdeka
Selepas meraih kemerdekaan, PAS terus mengukir sejarah apabila berjaya menawan dua negeri, Kelantan dan Terengganu, pada Pilihan Raya Umum 1959.
Kemenangan ini membuktikan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar PAS yang berasaskan Islam dan mempertahankan hak Melayu.
Namun, PAS tidak terlepas daripada tekanan politik.
Ramai pemimpinnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pendokongnya diintimidasi, dan hak mereka dinafikan.
Era 1980-an menyaksikan gelombang besar kebangkitan Islam, dipacu oleh kepimpinan tokoh seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Karisma dan wibawa beliau menjadi daya penarik kepada anak muda untuk menyertai PAS dan mendukung perjuangan politik Islam.
Teras Perjuangan: Tarbiah, Dakwah, dan Siasah
Sebagai gerakan Islam, PAS tidak hanya berkisar pada politik, tetapi turut menjadikan tarbiah dan dakwah sebagai tunjang perjuangan.
Perpaduan antara elemen-elemen ini menjadikan PAS sebuah model gerakan Islam yang diakui oleh gerakan-gerakan Islam lain di dunia, khususnya di Asia Barat.
Tokoh-tokoh besar seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Prof. Zulkifli Mohamad, Dato’ Asri Muda, Ustaz Fadzil Noor, dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah mencorakkan hala tuju PAS dan meninggalkan legasi yang sukar dilupakan.
Nama-nama mereka akan terus dikenang sebagai pemimpin yang telah mengorbankan masa, tenaga, dan jiwa demi memastikan kelangsungan perjuangan Islam di Malaysia.
PAS Kini: Dari Tradisi ke Profesionalisme
Kini, selepas 73 tahun, PAS berdiri megah sebagai parti politik dengan Ahli Parlimen dan ADUN teramai di Malaysia.
Ia menjadi parti pilihan anak muda, di samping menampilkan kombinasi unik antara agamawan, teknokrat, dan profesional.
Dengan rekod kejayaan yang kukuh, PAS tidak hanya menabur jasa kepada rakyat Malaysia, tetapi juga membawa inspirasi kepada umat Islam di serata dunia.
Dirgahayu PAS
Tujuh dekad melakar sejarah perjuangan, PAS telah melalui pelbagai fasa – dari pahit ke manis, dari kekecewaan ke kemenangan.
Keberanian PAS untuk terus berdiri teguh memperjuangkan Islam dan keadilan di tengah-tengah cabaran politik moden adalah bukti nyata keunggulan gerakan ini.
Dirgahayu PAS, semoga terus menjadi benteng agama dan harapan ummah.
Ulasan dari tulisan Dr. Riduan Mohamad Nor