PAS For All Dan Saling Menghormati

PAS For All Dan Saling Menghormati

Tercetus persoalan oleh beberapa pihak yang menggunakan akal tanpa panduan yang betul.

PAS menjadi sasaran serangan media anti-Islam kerana meletakkan aqidah perjuangannya.

Ramai kalangan yang jahil agama dan buta al-Quran tidak peka bahawa terdapat perbezaan antara fitrah (naluri) tingkah laku semula jadi manusia yang berakal dan beragama dengan binatang dan makhluk lain.

Nalurinya berbeza sehingga bernafsu dan tidak berakal.

Islam ialah agama fitrah manusia yang bernalurikan individualistik, berjasad, dan bermasyarakat madani.

Maka, banyak ajarannya dilihat dari aspek naluri kejadian makhluk, khususnya manusia.

Ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan menetapkan ajaran yang menepati naluri manusia yang mempunyai jasad, akal, nafsu, berkeluarga, bermasyarakat, dan bertamadun, membolehkan mereka mentadbir kehidupan dunia berbagai-bagai makhluk lain di alam dunia, termasuk manusia sendiri.

Malah, Islam juga menetapkan sempadan kehidupan manusia mengikut keperluan naluri kejadiannya.

Berkonsepkan rukun kehidupan diri dan bermasyarakat yang wajib menjaga jasad, nyawa, rohani, akal, keluarga, maruah, dan harta, diperincikan kepada menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah, dan harta yang merupakan keperluan hidup di alam dunia dan menjadi maqasid (tujuan) syariat Islam.

Islam ialah ajaran yang dapat memenuhi semua aspek tersebut yang tidak ada dalam ajaran yang lain.

Aspek agama mewajibkan kepercayaan secara reda dengan ikhlas tanpa paksaan kepada Tuhan dan beribadat kepada-Nya sahaja dengan rela hati tanpa paksaan.

Maka, Islam membawa konsep tiada paksaan dalam beragama dan menyerah diri kepada seluruh ajaran Islam, lalu dibenarkan beragama, termasuk agama yang paling salah mengikut prinsip Islam, khususnya beribadat kepada yang lain daripada Allah.

Maka, Islam tidak membolehkan paksaan beragama Islam terhadap penganut agama lain, pada masa yang sama Islam membenarkan melakukan upacara agama masing-masing tanpa gangguan.

Namun, Islam mengharamkan penganutnya melakukan upacara agama lain dan penganut agama lain juga wajib menghormati hak penganut Islam.

Paksaan beragama itu termasuk tidak boleh melarang perkara halal mengikut agama lain, walaupun diharamkan kepada penganut Islam. Firman Allah SWT:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ … ٢٥٦

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)…” [Surah al-Baqarah: 256]

Dan firman Allah SWT:

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

“Untukmu agamamu, dan untukkulah agamaku.” [Surah al-Kafirun: 6]

Dalam perkara yang wajib dari segi kemanusiaan seperti adil kepada semua manusia, maka Islam mewajibkan berlaku adil kepada semua dalam urusan kehidupan dan diharamkan berlaku zalim terhadap semua.

Inilah konsep “Islam For All”. Firman Allah SWT:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Dalam perkara yang diharamkan dari segi kemanusiaan seperti membunuh yang tidak bersalah, termasuk membunuh diri sendiri, merompak, menyamun harta, menipu, rasuah, mencuri, dan berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, maka Islam mengharamkan terhadap semua tanpa mengira agama kerana diharamkan oleh semua agama, termasuk undang-undang keselamatan jalan raya yang tidak ada perbezaan bangsa dan agama.

Islam pernah mengharamkan upacara Santi (membakar isteri bersama suami) dalam agama Hindu dan korban ratu di Mesir kerana melanggar sifat kemanusiaan, serta semua perbuatan keji dari segi kemanusiaan dan oleh semua agama.

Firman Allah SWT:

۞ قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمۡ عَلَيۡكُمۡۖ أَلَّا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـٔٗاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗاۖ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُم مِّنۡ إِمۡلَٰقٖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ وَإِيَّاهُمۡۖ وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ ١٥١

“Katakanlah, ‘Marilah aku bacakan apa-apa yang diharamkan ke atas kamu oleh Tuhanmu, iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua-dua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan — Kami akan memberikan rezeki kepadamu dan kepada mereka —, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.’ Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahaminya.” [Surah al-An‘am: 151]

Maka, perbuatan tersebut tidak termasuk dalam “PAS For All” sehingga memberikan lesen kebenaran membunuh, zina, rasuah, mencuri, dan sebagainya.

Oleh itu, Islam mengharamkan penganutnya melakukan upacara ibadat agama bukan Islam dan tidak memaksa penganut agama lain melakukan upacara agama bukan Islam kerana konsep tiada paksaan.

Pada masa yang sama, Islam mewajibkan menghormati ibu bapa bukan Islam dalam hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٥

“Dan jika kedua-dua mereka memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti kedua-dua mereka, dan gaulilah kedua-dua mereka di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Aku beritakan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.” [Surah Luqman: 15]

Oleh kerana negara ini telah diislamkan penduduk asalnya, iaitu bangsa Melayu, maka ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Adapun penganut agama lain dibenarkan menganutnya tanpa paksaan memeluk Islam.

Sepatutnya, penganut agama lain menghormati dan menghargai hak yang diberikan kepada mereka.

Malangnya, ada parti yang bersuara melanggar sempadan konsep ini.

Terdapat pula dalam kalangan penganut Islam yang hanyut sesat bersama kerana fahaman sekular yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia yang sesat daripada agama para anbiya’.

Mereka itulah yang diberikan amaran oleh Allah SWT:

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa-apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan bagi memelihara kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa-apa yang Allah turunkan, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allahlah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa-apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48)

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa-apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49)” [Surah al-Ma’idah: 48–49]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru