Komeng Dahulu Dan Kini

Komeng Dahulu Dan Kini

Kalau dahulu, watak-watak jahat biasa namanya Komeng, macam dalam cerita Nasib Do Re Mi dilakonkan oleh Idris Hashim, ketua perompak.

Dalam filem itu juga, Komeng telah berjaya merompak dan cuba pula untuk menyihir Nora untuk dijadikan pasangannya.

Begitulah gambaran jahatnya watak bernama Komeng ini, sudahlah merompak, kemudian membuat syirik pula dengan berjumpa bomoh.

Akhirnya Komeng ditangkap bersama kumpulannya dan dihukum.

Khairul Mohamad pula dalam filem Juvana, melakonkan watak Komeng, watak budak jahat yang dikenakan hukuman ke sekolah pemulihan akhlak.

Dalam cerita pertarungan tradisional seperti silat pula, ghalibnya penjahat bernama Komeng, tetapi ada gelaran di depannya, Megat Komeng.

Filem Lela Manja, Jins Shamsuddin memegang watak antagonis sebagai Megat Komeng yang dibenci penonton.

Menariknya jalan cerita ini ialah Megat Komeng berdendam dengan pembunuh bapanya yang sebenarnya telah berbuat jahat dahulu dengan orang lain.

Bapanya Megat Sura telah bermukah dengan isteri orang kemudiannya mereka berdua berpakat membunuh si suami itu dan membuang mayatnya.

Apabila diketahui sultan dan mengarahkan untuk menangkap Megat Sura, dia mengamuk dan berlawan dengan pengawal istana dan akhirnya Megat Sura berjaya dibunuh.

Jadi Megat Komeng ingin menuntut bela diatas kematian ayahnya yang dia anggap tidak bersalah sebaliknya konon sebagai seorang yang baik.

Ini hanya cerita dalam filem, aku tidaklah mengambil serius akan hal ini.

Cuma sehari dua ini aku lihat ada berita yang hampir sama dengan cerita Lela Manja ini dan nama Komeng watak jahat itupun ada disebut.

Komeng mengaku bahawa datuk nenek dia adalah komunis, baik, berjasa dan patut disanjung perjuangannya itu kerana turut berkorban untuk negara.

Tetapi Komeng buat-buat lupa yang komunis telah membunuh ribuan anggota keselamatan, orang kampung selain daripada menculik dan menyerang, mencuri makanan, ternakan dan sebagainya pada waktu itu.

Lalu aku sedar bahawa rupanya spesis Megat Komeng benar-benar wujud di alam nyata ini dan memang jahat.

Natang sungguh Komeng…..

Yang tak faham, jangan banyak komeng, baca jerlah.

Kolumnis