Sehari dua ini heboh isu berkaitan hubungan menteri-menteri kabinet DAP dengan agama Kristian, sehingga menimbulkan keresahan umat Islam di Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, telah ditempelak oleh pemimpin-pemimpin umat Islam kerana membuat sambutan perayaan Krismas di kementeriannya yang dikatakan turut melibatkan pegawai-pegawai beragama Islam.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pula dibangkitkan semula kandungan buku tulisannya ‘Becoming Hannah’ yang menamakan dirinya sebagai ‘duta Tuhan’.
Berikutan dengan itu timbul semula persoalan, apa kaitan DAP dan Evangelis?
Secara peribadi saya tiada sifat permusuhan dengan penganut-penganut Kristian selama mana mereka tidak memusuhi Islam dan tidak melakukan kezaliman terhadap masyarakat Muslimin.
Malah ijazah PhD saya diperolehi dari sebuah universiti yang asalnya adalah tempat melahirkan para missionari Kristian.
Motto universiti tersebut ialah ‘Gair Duw Gorau Dysg’ atau ‘God’s Word Is The Best Education’.
Jabatan tempat saya menjalankan penyelidikan PhD berkaitan dengan bidang Eco-theology pula, adalah jabatan yang menggabungkan pengajian Teologi Kristian dan pengajian keagamaan lain termasuk agama Islam.
Ketika saya belajar di universiti tersebut, saya mempunyai hubungan yang baik dengan penganut-penganut Kristian di sana.
Pemeriksa Dalam tesis PhD saya adalah seorang tokoh Teologis Kristian yang dihormati di Wales, yang juga graduan Oxford University.
Kematian beliau pada tahun 2019 telah diumumkan secara rasmi oleh Gereja Wales sebagai tanda penghormatan.
Jiran sebelah rumah saya semasa bermastautin di sana adalah seorang missionari dari Korea Selatan yang menyambung PhD di jabatan yang sama.
Hubungan keluarga kami begitu baik, kadang kala mereka datang menziarahi rumah sewa kami.
Jadi, perbezaan agama bukanlah halangan untuk berhubungan.
Bagaimanapun, perkembangan mutakhir kecenderungan pemimpin-pemimpin DAP ke arah Evangelis Kristian sememangnya meresahkan umat Islam di negara ini.
Tuduhan terhadap pemimpin-pemimpin DAP yang dikaitkan dengan gerakan Evangelis bukan baharu, setidak-tidaknya telah dibuat secara bertanggungjawab oleh seorang penulis bernama Iain Buchanan sejak tahun 2015 lagi.
Di dalam bukunya ‘Sang Nila Utama and The Lion of Judah’, Buchanan telah membuat dakwaan yang jelas terhadap pemimpin-pemimpin DAP yang beliau katakan terlibat dengn gerakan Evangelis.
Sehingga kini, DAP masih tidak menjawab secara serius tuduhan buku tersebut.
Saya sendiri pernah menulis rencana pendek pada 18 September 2019, mendesak DAP menjawab tuduhan yang dimuatkan oleh Buchanan di dalam bukunya, atau parti tersebut mengambil tindakan berani memecat pemimpin-pemimpin yang dikatakan terlibat dengan gerakan Evangelis.
Tuduhan Buchanan tersebut amat berat, mengaitkan gerakan Evangelis dengan gerakan pelampau Kristian yang beliau namakan sebagai Zionis Kristian.
Secara langsung, sekiranya pemimpin-pemimpin DAP terlibat dengan gerakan Evangelis, berdasarkan dakwaan Buchanan mereka juga terpalit dengan agenda Zionis Kristian yang bersifat melampau.
Sebenarnya, setahun sebelum Buchanan menulis ‘Sang Nila Utama and The Lion of Judah’, pada tahun 2014, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mendedahkan mengenai ancaman gerakan Evangelis ini.
Di dalam sebuah buku terbitan MAIS setebal 120 mukasurat yang bertajuk ‘Pendedahan Agenda Kristian’, MAIS telah mendedahkan tentang gerakan Evangelis dan mengapa ia merupakan satu ancaman kepada umat Islam di negara ini.
Pada muka surat 100, buku MAIS ini mendedahkan satu resolusi gerakan Evangelis supaya lebih ramai Evangelis terlibat dengan politik di Malaysia, dan ia turut mempersoalkan apa tujuan mereka terlibat dengan politik?
Secara umumnya, aliran-aliran Kristian selain Evangelis tidak terlibat secara langsung dan aktif di dalam politik.
Malah, sekiranya disoroti kepada riwayat hidup Nabi Isa AS atau yang dipanggil sebagai Jesus oleh penganut-penganut Kristian, Baginda tidak pernah terlibat menjadi seorang pemimpin negara.
Demikian juga, di dalam Matthew 22:21, Jesus dikatakan menyebut ‘render unto Caesar the things that are Caesar’s, and unto God the things that are God’s’, yang dijadikan sebagai asas bagi aliran tertentu Kristian untuk tidak terlibat di dalam politik duniawi.
Namun demikian, bagi golongan Evangelis pendirian mereka berbeza, penganut Kristian perlu terlibat dengan politik.
Gerakan Evangelis adalah berasal daripada aliran Evangelical Christian yang tumbuh daripada tradisi Protestanism.
Setakat penelitian saya, perkataan Evangelist, Evangelical dan Evangelicalism digunakan secara bersilih ganti menunjukkan ia adalah dari aliran yang sama.
Pada kurun ke-18, aliran Evangelical Christian memperolehi pengaruh politik yang kuat berikutan dengan terbentuknya negara Amerika Syarikat.
Di Amerika Syarikat, aliran Evangelical Christian ini turut dikenali dengan Christian Right yang memperlihatkan keterlibatan mereka secara langsung dan aktif dengan politik negara tersebut khususnya melalui Parti Republikan.
Pengaruh kumpulan Christian Right ini terhadap politik Amerika Syarikat seterusnya dasar-dasar pentadbiran adalah cukup besar.
Seorang penulis, Frances FitzGerald, di dalam bukunya ‘The Evangelicals: The Struggle to Shape America’ telah mengulas panjang lebar tentang pengaruh golongan ini di dalam menentukan halatuju politik dan polisi pentadbiran Amerika Syarikat.
Salah seorang pendukung Evangelical yang dilihat antara tokoh ilmuan utama mereka masa kini, Wayne Grudem, menulis banyak buku-buku, mengaitkan ajaran Gospel dengan perkembangan politik masa kini, sekaligus menarik golongan Evangelis terlibat dengan politik.
Menyedari hubungan yang rapat antara aliran Evangelical Christian dan politik Amerika Syarikat, maka tidak boleh ditolak aliran ini juga mempunyai pengaruh di dalam dasar-dasar luar Amerika Syarikat yang tidak adil ke atas negara-negara lain.
Menurut Lain Buchanan di dalam bukunya yang lain, ‘The Armies of God: A Study in Militant Christianity’, hubungan Evangelical Christian dan politik Amerika Syarikat sehingga ke suatu tahap telah membawa kepada tindakan-tindakan yang melampau terhadap golongan bukan Kristian.
Berasaskan tulisan Buchanan tersebut, wajarlah kehadiran pengaruh Evangelical Christian di dalam politik Malaysia menimbulkan keresahan.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat