Siri 2: Benarkah DAP Sudah Dikuasai Evangelis?

Siri 2: Benarkah DAP Sudah Dikuasai Evangelis?

Golongan Evangelical Christian di Malaysia, adalah lebih mirip kepada golongan Evangelical Christian di Amerika Syarikat.

Sebagaimana golongan Evangelical Christian di Amerika Syarikat yang baru muncul pada kurun ke-18, golongan Evangelical Christian di Malaysia juga sudah tentunya masih baru kemunculannya di negara ini.

Gereja-gereja mereka berbeza daripada tradisi gereja-gereja yang mewarisi aliran tradisi Kristian Klasik seperti Gereja Katolik, Lutheran dan Metodhis.

Gereja-gereja Evangelical Christian tidak terikat kepada sesuatu badan berautoriti, termasuklah mereka tidak mempunyai biskop.

Oleh sebab itu, Gereja-gereja Evangelical Christian mempunyai autonomi dan tidak terikat dengan tradisi gereja-gereja yang sedia ada di Malaysia.

Disebabkan Gereja-gereja Evangelical Christian tidak mewarisi tradisi klasik golongan-golongan Kristian yang lain, tafsiran mereka terhadap Gospel adalah berbeza.

Tafsiran Gereja-gereja Evangelical Christian terhadap Gospel adalah lebih literal dan tidak dikongkong oleh tafsiran autoritatif tradisi klasik aliran Kristian yang sedia ada.

Mereka juga lebih terbuka untuk mengaitkan kandungan Gospel dengan situasi sosial, ekonomi dan politik semasa, tanpa terikat dengan tafsiran tradisi klasik.

Malah, perkataan ‘evangelical’ itu sendiri menggambarkan ajaran Gospel adalah ‘good news’, dengan pengertian lain ia adalah panduan daripada Tuhan untuk manusia.

Dengan sebab itu, tidak sepertimana golongan Kristian yang lain, golongan Evangelis terlibat aktif dengan kegiatan duniawi termasuklah di lapangan politik.

Di Malaysia, penerimaan terhadap Evangelical Christian begitu memberangsangkan.

Dianggarkan daripada keseluruhan gereja-gereja yang ada di Malaysia, tidak kurang daripada 60 peratus adalah Gereja-gereja Evangelical Christian. 

Menurut seorang pendukung Evangelical Christian, Dr Chris Chong, penerimaan yang memberangsangkan ini adalah disebabkan golongan Evangelis lebih mempunyai tekad yang kuat untuk menarik penganut-penganut baru.

Selain daripada itu, kandungan ajaran Evangelical Christian yang praktikal dan kontemporari, serta pendekatan yang lebih moden, menyebabkan lebih ramai yang tertarik dengan aliran ini.

Ajaran Evangelical Christian ini juga lebih dapat menarik golongan muda dan juga masyarakat bandar.

Selain daripada penerimaan yang memberansangkan dari kalangan golongan muda dan bandar, yang ramai menerima aliran Evangelical Kristian ialah kaum Cina.

Malah, menurut Buchanan di dalam bukunya ‘Sang Nila Utama and the Lion of Judah’, aliran Evangelical Christian melihat bangsa Cina sebagai ‘bangsa pilihan Tuhan’ atau ‘the chosen people’ di zaman ini.

Menurut Buchanan lagi di dalam bukunya yang lain, ‘The Armies of God: A Study of Militant Christianity’, Bangsa Cina dikatakan sebagai penganut Kristian yang asal (proto Christian) dan juga keturunan Yahudi yang hilang.

Oleh sebab itu, gerakan global Evangelical Christian menyasarkan untuk menarik lebih 60 juta Chinese Diaspora atau Cina Antarabangsa khususnya di Asia Tenggara.

Bangsa Cina yang menjadi sasaran gerakan global Evangelical Christian ini menguasai ekonomi di negara-negara Asia Tenggara termasuklah dianggarkan menguasai 70 peratus ekonomi Malaysia.

Secara keseluruhan aset yang dipegang oleh Cina Antarabangsa dianggarkan mencecah sehingga USD 2 trillion.

Secara khusus, gerakan global Evangelical Christian menyasarkan untuk mendominasikan Asia Tenggara di bawah projek yang dinamakan ‘Evangelizing the Nanyang’ atau ‘Mengkristiankan Asia Tenggara’.

Oleh sebab itu, ramai pemuka-pemuka gerakan global Evangelical Christian ini mengunjungi negara-negara Asia Tenggara, termasuklah Malaysia.

Kedatangan mereka ke sini, seharusnya menimbulkan keresahan kepada keharmonian Malaysia.

Seperti yang saya terangkan sebelum ini, bukan semuanya penganut Kristian di Malaysia adalah golongan Evangelis.

Demikian juga, bukan semua golongan Evangelis adalah termasuk dalam kategori radikal atau militant seperti yang disebut oleh Buchanan.

Tidak adil untuk kita menghukum penganut Kristian yang lain, dalam menjalankan tanggungjawab agama mereka.

Begitu juga, tidak adil untuk kita menghalang golongan Evangelis untuk beramal dengan ajaran Gospel mereka selama mana mereka mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Yang menimbulkan kebimbangan semua termasuk boleh menggugat kerharmonian masyarakat Malaysia, ialah golongan radikal Evangelical Christian yang digelar oleh Buchanan sebagai Kristian Zionis atau Dominionisme.

Seperti yang dilaporkan oleh banyak pihak golongan radikal Evangelical Christian ini telah mula menyebarkan pengaruh mereka di Malaysia.

Pemuka-pemuka mereka seperti James Goll, George Annadorai, Afeef Halasah, Rabbi Shafira,  dan lain-lain lagi secara terang-terangan telah menyampaikan mesej radikal di dalam gereja-gereja berkaitan Evangelical Christian di negara ini.

Antara mesej radikal yang disampaikan ialah mahu menumbangkan Islam di Malaysia yang dianggap sebagai berhala (menara) berkembar bersama Buddhism.

Selain daripada itu, mesej radikal lain yang disampaikan ialah menggesa supaya negara ini ditakluk dengan ‘Kerajaan Tuhan’.

Penyampaian mesej-mesej seperti ini telah terdedah di dalam media-media sosial secara terbuka.

Menyedari hakikat tersebut, bukan isu golongan Evangelis melakukan penyebaran ajaran Kristian kepada masyarakat Islam yang ingin dibangkitkan di sini.

Penyebaran ajaran Kristian kepada masyarakat Islam sememangnya bertentangan dengan perundangan negara.

Isu yang lebih besar ialah kemasukan gerakan global Evangelical Christian yang radikal ke negara ini, yang terang-terangan boleh menggugat keharmonian masyarakat Malaysia, malah turut melibatkan campur tangan kuasa asing.

Kecenderungan golongan Evangelis di Malaysia untuk terlibat secara langsung dan secara aktif di dalam politik menambahkan lagi kecurigaan umat Islam terhadap golongan Evangelis.

Keterlibatan golongan Evangelis ini pula, ramai yang memilih DAP sebagai wadah termasuklah yang berada di dalam kerajaan sekarang.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja

Siri 1: Benarkah DAP Sudah Dikuasai Evangelis?

Siri 2: Benarkah DAP Sudah Dikuasai Evangelis?

Kolumnis