Cerita Pendek Nuar

Cerita Pendek Nuar

Nuar seorang pemuda bujang, berasal dari ceruk pendalaman Pulau Pinang.

Kampung asal Nuar, hampir tiada penghuni. Jadi Nuar dan keluarganya, ibu dan ayah hidup tiada berjiran.

Ayah Nuar seorang yang malas nak beribadat. Oleh itu, Nuar tidak diajar solat dan sebagainya.

Suatu hari, Nuar mahu keluar dari kampungnya selepas dia meningkat dewasa.

Walaupun berat ibu dan ayahnya mahu melepaskan Nuar, tapi mereka sedar yang masanya sudah tiba untuk Nuar terbang seorang memulakan kehidupan yang baharu.

Nuar memilih Rantau Panjang sebagai destinasi dia mencari rezeki.

Dia diterima bekerja sebagai tukang cuci pinggan sebab Nuar tidak ke sekolah.

Kadang-kadang Nuar ambil upah kerja angkat barang di pasar.

Banyak lagilah kerja yang Nuar buat untuk dapatkan duit.

Kebetulannya Nuar menyewa di sebuah rumah yang dekat dengan Masjid Beijing, Rantau Panjang.

Nuar kekal tak solat dan tak tahu apa-apa pasal agama.

Cuma diingat ayahnya bagitahu dia beragama Islam. Itu sahaja.

Jadi Nuar tiap-tiap hari melihat orang solat dan dengar orang mengaji al-Quran.

Walaupun begitu, Nuar tidak ambil peduli. Yang penting dia kerja, duit masuk.

Sehinggalah pada satu hari, oleh kerana Kelantan ramai orang yang mempunyai ilmu agama, maka ada seorang kawan Nuar, bernama Nasa, menegur Nuar, demo dok smayae ko Nuar?

Nuar diam, tak tahu nak jawab.

Lama kemudian, Nasa berjaya ajak Nuar masuk masjid dan solat.

Alhamdulillah Nuar perlahan-lahan insaf.

Masjid pertama Nuar masuk ialah masjid Beijing.

Dia selalu ke masjid itu sahaja, mujur tempat kerja diapun dekat.

Di kampung Nuar, ayahnya juga telah insaf dan mahu bertaubat.

Pertama dia berpindah ke tempat lain.

Tapi disebabkan tiada kawasan, maka dia hanya berjaya dapatkan rumah dekat dengan perumahan cina sahaja.

Masjid agak jauh tapi tak apalah, nanti bila ada rumah lain, mungkin dia akan pindah lagi.

Tidak lama selepas keinsafan itu, Nuar mahu bercuti, pulang menemui orang tuanya dan ingin memaklumkan dan ajak sekali orang tuanya kembali kepada Islam.

Dia terus ke rumah baharu ayahnya.

Apabila sampai, Nuar penat dan terus tidur selepas saling gembira melihat perubahan masing-masing.

Bila tiba waktu maghrib, ayahnya mengajak Nuar ke masjid.

Nuar yang masih pening-pening, terus mengambil motor dan ayahnya membonceng dari belakang.

Apabila sampai di masjid, Nuar tekejut kerana tiada orang yang datang masjid. Dia sedih melihat situasi begitu.

Kenapa teruk sangat manusia sekarang ni ayah?

Nuar bertanyakan kepada ayahnya dengan sedih.

Ayahnya diam sambil merenung tajam ke arah Nuar.

Kita kena berusaha menyedarkan manusia supaya kembali kepada Allah, tambah Nuar lagi yang sebak hamper mengalir airmatanya.

Kemudian satu ketukan di kepala Nuar singgah dengan keras, datang dari ayahnya.

Kenapa ayah? Apa salah saya?

Ayahnya menjawab, ni tokong bodoh, tokong. Bukan masjid. Memanglah tak ada orang.

Rupanya Nuar tidak kenal reka bentuk masjid yang sebenarnya.

Dia hanya tahu Masjid Beijing yang kelihatan seperti senibina dari China.

Cerita ini macam tak logik kan?

Tetapi betul sebenarnya ada orang Islam tak boleh kenal masjid macam Nuar ni.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis