Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap beristiqamah bersama Islam dalam konsep kehakiman, dengan mendahulukan proses pengampunan, bukannya bersikap mengampu dan menipu.
PAS bukanlah parti sekular yang tidak beragama dan mudah terpengaruh dengan politik Barat penjajah yang berprinsipkan kaedah:
الغَايَةُ تُبَرِّرُ الوَسِيلَة.
“Matlamat menghalalkan cara.”
Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) dalam keadaan yang paling kuat dan berkuasa, sama ada dengan memaafkan (pengampunan penuh) atau meringankan hukuman.
Ahli-ahli PAS yang ditarbiah terus beristiqamah, sekalipun terhadap kalangan yang paling bermusuh dengan PAS. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Firman Allah SWT:
… وَأَن تَعۡفُوٓاْ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۚ وَلَا تَنسَوُاْ ٱلۡفَضۡلَ بَيۡنَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ ٢٣٧
“…Dan kemaafan itu lebih dekat kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu melupakan adanya jasa baik antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Baqarah: 237]
Firman Allah SWT:
خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَٰهِلِينَ ١٩٩
“Jadilah engkau seorang yang pemaaf dan suruhlah orang lain mengerjakan perkara yang ma‘ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” [Surah al-A‘raf: 199]
Mereka yang berada di luar ajaran Islam atau menyertai PAS tanpa mengikuti program tarbiah, sedang dalam kepanasan tidak sabar kerana dendam atau mengejar kebendaan atau menjaga kerusi yang selesa kedudukan pangkatnya.
Bahkan, PAS tidak menganggap pelik adanya titah adendum oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Apatah lagi perbicaraan kes tersebut berlaku semasa pemerintahan baginda Sultan Pahang.
Mereka yang menolaknya, sama ada kerana jahil agama atau kalangan bukan Islam atau dendam dan tidak sabar ketika berkuasa.
PAS tetap menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi, termasuklah terhadap orang yang paling bermusuh dengannya.
Tindakan para pemimpin dan ahli PAS yang mendukung isu bagi meletakkan Islam sebagai contoh kepada semua, walaupun terhadap musuh yang telah membelasah PAS dalam tempoh yang panjang.
PAS tidak bersikap laksana hujan sehari melenyapkan panas setahun.
Konsep adil kepada semua dan mendahulukan kemaafan menjadikan konsep Islam berjaya mengalahkan golongan penjajah yang lebih kuat dan kaya.
Banyak kenyataan tokoh ilmuwan dan politik Barat melabelkan slogan Islam itu lebih bahaya daripada fahaman komunis yang dianggap paling kejam dan penjajah liberal yang paling menipu dan ganas.
Sehingga mencetuskan fitnah Islamofobia dan bahaya gelombang hijau yang ditaja oleh DAP.
Namun, pengaruh Islam mulai masuk ke dalam minda mereka, apabila mereka membaca penulisan mengenai Islam serta mengkajinya dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٦٩
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al-‘Ankabut: 69]
Kini, Islam sedang menembusi benteng penjajah yang menyekat pengaruh Islam masuk ke negara mereka melalui kajian para penyelidik dan ilmuwan mereka. Hal ini menepati firman Allah SWT:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔوا نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“‘Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya.’ (8)
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama lain, meskipun orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 8-9]
PAS yakin dan percaya bahawa isu ini boleh menarik kalangan Melayu Islam agar bersatu bersama Islam.
Perpaduan Melayu Islam dibenci oleh kalangan yang dengki terhadap umat Islam yang bersatu walaupun kebaikannya untuk semua pihak dalam negara.
Termasuk kalangan bukan Islam yang berada di bawah payung rahmat Allah bersama Islam yang telah dinyatakan tujuannya oleh Rasulullah SAW dengan membawa hukum Allah yang adil kepada seluruh manusia.
Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” [Surah al-Anbiya’: 107]
Rasulullah SAW menyertai semua bentuk kerjasama yang berkonsepkan kebajikan dan taqwa kepada Allah, termasuklah berlaku adil terhadap orang yang bersalah kerana zalimnya lebih besar lagi disebabkan kelemahan dan kesilapan manusia yang bertindak secara melampau terhadap semua orang:
… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]
Al-Quran dan hikmah Rasulullah SAW merupakan panduan bagi memandu perjalanan PAS, walaupun tidak diredai oleh manusia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS