Titah Addendum: Penjelasan PM Lemah, Cetus Lebih Banyak Persoalan, Hakis Keabsahan Kerajaan

Titah Addendum: Penjelasan PM Lemah, Cetus Lebih Banyak Persoalan, Hakis Keabsahan Kerajaan

PAS mendapati penjelasan Perdana Menteri YB. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu

besar yang mendapat perhatian negara sejak awal tahun lepas, iaitu titah Yang Dipertuan

Agong ke-16 yang melega hukuman ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,

bukan sahaja lemah dan mengelirukan, tetapi berpotensi mencetus konflik undang-undang

dan krisis Perlembagaan, selain menghakis keabsahan kerajaan pimpinannya sendiri.

Bercakap dalam satu acara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam, Anwar yang menolak

dakwaan bahawa kerajaan “menyorok” dokumen itu dilaporkan berkata “…surat itu (titah Agong ke-16) dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli

Lembaga Pengampunan. Peguam Negara kemudian, bila Agong ganti, diserah kepada

Istana Negara kerana Agong (ke-17) yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan

Wilayah Persekutuan). Itu keadaan dia. Bukan kita sorok”.

Persoalan pertama yang timbul di sini ialah pemasaan (timing) dan cara Perdana Menteri

membuat kenyataan tersebut.

Jelas bahawa kenyataan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Dato’ Sri Najib untuk mendapat suatu kebenaran (leave) bagi beliau memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi yang memohon dua permohonan (prayer) iaitu:

(i) Untuk mahkamah mengeluarkan suatu perintah mandamus supaya responden-responden (Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara Malaysia, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah

Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan

Malaysia) mengesahkan kewujudan Addendum tersebut;

(ii) Sekiranya Addendum itu wujud, suatu perintah mandamus bagi memaksa (compel) responden-responden supaya menguatkuasakan Titah Addendum itu, iaitu untuk Dato’ Sri Najib menjalani baki hukuman

penjaranya di rumah.

Ini menunjukkan kerajaan sudah tidak mempunyai pilihan melainkan mengakui kewujudan titah itu setelah hampir satu tahun mengelak untuk mengesahkan kewujudannya.

Cara pengakuan itu dibuat oleh Perdana Menteri pula adalah secara bersahaja, iaitu dalam satu acara umum yang tidak berkaitan sama sekali ataupun layak bagi satu isu penting yang membabitkan Duli-duli Yang Dipertuan Agong, Sultan Pahang, Peguam Negara, mahkamah serta hak seorang banduan mengikut undang-undang.

Ini menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri beranggapan perkara tersebut tidak layak

mendapat perhatian khas kerajaan umpama melalui satu kenyataan rasmi daripada beliau

sendiri atau mana-mana kementerian mahupun agensi khusus yang berkait langsung dengannya.

Episod Addendum ini bermula dengan pengakuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB. Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29

Januari 2024 tentang kewujudan titah berkenaan, surat-surat Najib kepada Peguam Negara, kementerian-kementerian dan agensi terbabit berkait isu sama, ucapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada Mac 2024 sehinggalah kepada tiga ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu juga di Parlimen pada 24 Oktober, 9 dan 10 Disember, termasuk semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ), yang kesemuanya berkisar tentang isu sama, kerajaan secara konsisten menangkis persoalan itu dengan pelbagai helah dan alasan yang sama sekali tidak menasabah.

Hakikatnya kerajaan mempunyai peluang dan kesempatan yang begitu banyak untuk

menjelaskan isu ini secara jujur, namun terus memilih untuk tidak menjawabnya sehingga

memaksa Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada

April 2024. Permohonan ini turut disokong oleh dua afidavit sokongan (affidavit-in-support) yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri itu.

Sebagai kerajaan yang kerap bercakap tentang kepentingan tatakelola dan kecekapan

pentadbiran, kegagalannya bertindak balas secara profesional dan telus dalam isu ini tentulah tidak boleh diterima sama sekali. Ia bukan sahaja menyerlahkan sikap “cakap tak serupa bikin” kerajaan, tetapi lebih penting menghakis integriti, malah keabsahan kepimpinan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.

Dalam pada itu, pendirian konsisten peguam kerajaan dalam prosiding semakan kehakiman

Najib di kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk terus berdiam diri

berhubung kewujudan titah berkenaan juga boleh disifatkan sebagai perbuatan

menyembunyikan maklumat penting daripada mahkamah dan boleh ditafsirkan sebagai

“menipu” mahkamah dalam isu yang menjadi pertikaian.

Ini tentulah bercanggah sama sekali dengan penjelasan Anwar bahawa titah berkenaan telah dialamatkan kepada Peguam Negara. Sebagai penasihat undang-undang kerajaan, tidak mungkin Peguam Negara memilih bukan sahaja untuk “menyembunyikan” titah yang

diterimanya secara langsung daripada Yang Dipertuan Agong ke-16 sebelum itu, tetapi terus mendiamkannya di mahkamah.

Jelas bahawa tindakan itu mendedahkan Peguam Negara kepada kesalahan-kesalahan seperti menghalang perjalanan keadilan (perverting the course of justice), menghina mahkamah (contempt of court), salah laku pegawai awam (misconduct in public office), menipu (perjury), salah laku profesional (professional misconduct), menghalang keadilan (obstruction of justice), tafsiran salah (fraudulent misrepresentation), selain pelbagai

tindakan sivil lain yang boleh diambil terhadap beliau dan kerajaan.

Penjelasan Anwar berhubung tindakan Peguam Negara menyerahkan titah berkenaan kepada Yang Dipertuan Agong ke-17 untuk tindakan lanjut kerana kedudukan baginda sebagai pengerusi Lembaga Pengampunan berikutnya pula mendedahkan kerajaan kepada konflik undang-undang dan Perlembagaan berikutan tiadanya peruntukan undang-undang yang membenarkannya.

Semasa titah itu dibuat, Yang Dipertuan Agong ke-16 masih bertakhta dan titah baginda mesti

dilaksanakan sepenuhnya kerana kegagalan berbuat demikian boleh diistilahkan sebagai

perbuatan derhaka terhadap institusi Yang Dipertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan.

Sekiranya Peguam Negara ketika itu berpendapat kuasa Yang Dipertuan Agong untuk memberi pengampunan tertakluk pada nasihat Lembaga Pengampunan, maka beliau sekali lagi bertindak berlawanan dengan peruntukan Perlembagaan mengenai kuasa budi bicara Yang Dipertuan Agong.

Kedudukan ini telah disahkan oleh duluan (precedent) mahkamah dalam kes Superintendent of Pudu Prison lwn Sim Kie Chon (1986) dan kes Karpal Singh lwn Sultan Selangor (1988) yang memutuskan bahawa “Lembaga Pengampunan hanyalah badan penasihat dan Agong tidak wajib mengikuti nasihat tersebut semasa melaksanakan kuasa pengampunan bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan”.

Selain kecamuk pentadbiran dan potensi konflik undang-undang yang dicetuskan oleh

penjelasan Perdana Menteri itu, ia juga secara jelas menimbulkan cemar dan krisis

kepercayaan terhadap institusi-institusi utama negara termasuk institusi Yang Dipertuan

Agong dan konsep Raja Berperlembagaan, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah, Jabatan Peguam Negara, Parlimen, kementerian dan agensi kerajaan.

PAS percaya kesemua kelemahan, kecelaruan dan kecamuk undang-undang yang berlaku dan berpotensi berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri berhubung isu ini, terdedahnya kerajaan kepada tindakan undang-undang oleh pihak-pihak yang berkepentingan, selain sikap sambil lewa dan berlepas tangan beliau dalam menanganinya sejak awal, menimbulkan persoalan besar terhadap kelayakannya untuk kekal sebagai ketua dan pemimpin kerajaan.

Perkara ini turut berlawanan dengan sumpah jawatan yang diikrarkannya untuk menjunjung

Perlembagaan, taat setia kepada Yang Dipertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan, mematuhi undang-undang dan lain-lain seumpamanya semasa mula menjawat jawatan Perdana Menteri ke-10.

Kegagalan Anwar ini juga akan mengheret negara dan masyarakat ke dalam konflik serta

polemik tidak berkesudahan yang mahu dihindari dan menjadi asas serta justifikasi kepada pembentukan “kerajaan perpaduan” hari ini yang didakwa atas saranan Yang Dipertuan Agong ke-16 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lebih dua tahun lepas.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS

Isu Semasa