Di sebuah hutan belantara yang luas, terdapat seekor singa yang gagah perkasa.
Singa itu dikenali sebagai Raja Rimba, pemimpin yang ditakuti oleh semua haiwan.
Suaranya yang mengaum mampu menggoncangkan tanah, dan cakar tajamnya cukup untuk merobek kulit binatang paling kuat sekalipun.
Namun, singa itu juga memiliki satu sifat buruk: dia sombong dan sering memandang rendah kepada makhluk lain.
Pada suatu hari, seekor lalat kecil muncul di kawasan singa itu sedang berehat.
Lalat itu bukan lalat biasa. Lalat ini yang berasal dari bangkai seekor seladang yang satu ketika dulu pernah menguasai hutan tersebut.
Walaupun kecil, lalat itu memiliki semangat yang besar dan dendam yang membara terhadap singa.
Lalat itu terbang mendekati singa sambil berdengung.
“Hei, wahai Raja Rimba!” seru lalat itu dengan suara kecilnya, tetapi cukup untuk didengar oleh singa.
Singa membuka sebelah matanya dengan malas.
“Siapa yang berani mengganggu tidurku?” katanya sambil mengaum perlahan.
“Aku, seekor lalat kecil. Aku ingin mencabar tuanku dalam satu pertandingan.”
Singa tergelak besar. “Kamu? Seekor lalat kecil ingin mencabar aku?
“Apa yang boleh kau lakukan?
“Aku boleh menghancurkanmu dengan sekali hentakan!”
Namun, lalat itu tidak gentar. “Kecil-kecil saya, tetapi saya lebih cekap dan licik daripada tuanku.
“Jika tuanku begitu yakin dengan kekuatanmu, mari kita lihat siapa yang lebih hebat.”
Singa, yang tidak mahu mengalah dan memandang rendah kepada lalat, menerima cabaran itu.
“Baiklah, lalat kecil. Apakah bentuk pertandingan ini?”
Lalat tersenyum. “Kita bertanding untuk melihat siapa yang boleh mengalahkan lawannya.
“Jika aku berjaya menewaskan tuanku, saya akan menjadi Raja Rimba yang baru.
“Tetapi jika tuanku berjaya menewaskan aku, tuanku boleh terus berbangga dengan gelaran itu.”
Singa ketawa lagi. “Ini pasti akan menjadi pertandingan paling mudah dalam hidupku!”
Pertarungan Bermula
Singa berdiri tegak, mengaum dengan lantang sehingga menggema di seluruh hutan.
Semua haiwan lain datang menyaksikan pertandingan aneh itu.
Mereka hairan bagaimana seekor lalat kecil berani mencabar singa yang perkasa.
Pertarungan pun bermula. Singa melompat-lompat dan cuba menampar lalat dengan cakarnya.
Namun, lalat itu terlalu pantas. Ia terbang ke sana sini, mengelak setiap serangan singa.
Lalat kemudian mendekati hidung singa dan hinggap di atasnya.
Singa cuba menampar lalat itu, tetapi lalat terbang pergi menyebabkan singa menampar hidungnya sendiri.
“Apa ini, singa? Kau terlalu lambat untuk menangkapku!” ejek lalat itu sambil terbang di sekeliling kepala singa.
Singa menjadi semakin marah.
Dia mengaum dengan lebih kuat, cuba mengusir lalat itu.
Tetapi lalat itu bijak. Ia hinggap di tempat-tempat yang sukar dijangkau oleh singa, seperti belakang telinga dan hujung ekor.
Strategi Lalat
Lalat tidak hanya bergantung kepada kelicikannya.
Ia juga menggunakan kelebihannya untuk mengganggu singa secara psikologi.
Lalat itu mula berdengung di telinga singa, menghasilkan bunyi yang mengganggu.
Dengungan itu semakin lama semakin kuat, sehingga membuatkan singa hilang fokus.
“Aku akan menangkapmu, lalat kecil!” jerit singa sambil cuba mengibas lalat dengan ekornya.
Tetapi semakin singa berusaha, semakin penat dia jadinya.
Lalat terus mengganggu singa, hinggap di hidung, mata, dan bahkan masuk ke dalam telinganya seketika.
Singa melompat-lompat, berguling di tanah, dan mengaum tanpa henti.
Melihat singa yang semakin keletihan, lalat itu tersenyum.
Ia tahu bahawa kemenangan sudah hampir di tangannya.
Kekalahan Singa
Setelah beberapa jam berlalu, singa akhirnya terduduk keletihan.
Nafasnya tercungap-cungap, dan tubuhnya dipenuhi debu akibat berguling di tanah.
Sementara itu, lalat masih terbang dengan penuh tenaga dan terus berdengung mengganggu singa setiap saat.
“Aku menyerah!” kata singa akhirnya.
“Kau menang, lalat kecil. Aku tak sangka makhluk sekecil kau boleh mengalahkan aku, Raja Rimba.”
Lalat hinggap di atas kepala singa dan berkata, “Kekuatan bukan hanya tentang otot dan cakar, wahai singa.
“Kadang-kadang, kecerdikan dan kesabaran lebih penting.
Kau mungkin kuat, tetapi kau terlalu sombong untuk melihat kelemahanmu sendiri.”
Singa mengangguk perlahan.
Dia sedar bahawa kesombongannya telah membawa kepada kekalahannya.
“Kau benar, lalat. Mulai hari ini, aku akan lebih menghormati makhluk lain, tidak kira sekecil mana pun mereka.”
Pengajaran dari Pertarungan
Pertarungan antara singa dan lalat itu menjadi sebuah kisah yang dikenang oleh semua haiwan di hutan tersebut.
Mereka belajar bahawa kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan.
Kadang-kadang, kecerdikan, kelicikan, dan keberanian mampu mengatasi kekuatan yang besar.
Begitulah kisah seekor lalat yang berjaya mengalahkan seekor singa yang angkuh dan sombong.
Namun, persoalannya, adakah lalat-lalat pada masa kini berani mencabar singa, atau hanya terkedu dan kecut mendengar raungan singa?
Kisah ini hanyalah sekadar pelipur lara dan hiburan semata-mata. Ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana individu, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
HY