Tanpa syak dan ragu, kenyataan sepintas lalu Pesuruhjaya PAS Perak berhubung nama ‘Yeoh’ ketika mengaitkan nama Menteri Belia dan Sukan itu ialah satu kesilapan fakta yang jelas. Ia sangat dikesali dan tidak wajar berlaku.
YB Haji Razman bertanggungjawab sepenuhnya, nyata sekali beliau telah memohon maaf dan Menteri berkenaan juga telah menyatakan akan menghantar surat peguam.
Jika perbicaraan kes saman berlangsung, kita serahkan kepada pihak mahkamah nanti untuk menentukan berapakah kadar kerosakan yang dialami oleh Menteri Belia dan Sukan itu.
Walau bagaimanapun, ketika membaca cadangan seorang profesor seni bina agar PAS mengadakan kursus kepada ahli-ahlinya berkenaan nama orang Cina, saya terharu sangat-sangat sehingga hampir-hampir menitiskan air mata.
Betapa sayang dan kasihnya ahli akademik ini kepada PAS sehingga membuat cadangan yang begitu baik, namun agak ketinggalan dari sudut fakta dan data.
Profesor bercakap seolah-olah PAS jahil sungguh seratus peratus dengan adat dan budaya kaum selain Melayu di Malaysia.
Barangkali beliau tidak pernah berkunjung ke Kelantan melihat silang budaya yang sangat harmoni terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina seperti sekarang.
Barangkali pada pengetahuan beliau, kaum Melayu, Cina dan India di Kelantan contohnya hidup seperti makhluk asing, tidak bertegur satu sama lain, apatah lagi kunjung mengunjung mengenali budaya masing-masing.
Boleh jadi kerana beliau mengkaji seni bina bangunan melibatkan kayu, simen dan ukiran, beliau tertinggal mengkaji tentang manusia.
Hanya beberapa kenyataan daripada beratus ribu ahli PAS yang salah, ia tidak boleh menggambarkan PAS secara keseluruhan.
Jika begitu adakah ketika Menteri DAP, Nga Kor Ming menyatakan satu ungkapan yang bukan hadis tetapi disebut sebagai hadis, ia merupakan kejahilan DAP secara keseluruhan tentang hadis Nabi?
Kenapa saya tiba-tiba membangkitkan tentang DAP?
Kerana profesor yang menggunakan gelaran ahli akademik ini ialah seorang ahli DAP yang mengisytiharkan penyertaan ke dalam DAP di atas prinsip Islam.
Saya merujuk di pautan ini: https://dapmalaysia.org/sertai-dap-atas-prinsip-islam/.
Justeru, saya nasihatkan barangkali daripada menggunakan nama ahli akademik, gunakan sahaja gelaran AHLI DAP, ia lebih sesuai dan manis dibaca.
Oleh yang demikian, apabila profesor ini menyarankan kepada PAS untuk mencontohi perjuangan Rasulullah SAW, cadangan itu sangatlah bagus.
Namun persoalannya, apakah ahli DAP ini sendiri berusaha membawa perjuangan DAP mengikuti perjuangan Rasulullah SAW?
Atau tanggungjawab mengikuti perjuangan nabi itu hanyalah tanggungjawab PAS dan bukan ahli DAP yang muslim?
Mari kita semak kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang kemudiannya disifatkan bukan mewakili parti.
Antaranya kenyataan ahli DAP Pahang, Michael Cheah pada tahun 2019 yang didakwa mengeluarkan komen menghina Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
DAP mengeluarkan kenyataan itu merupakan pandangan peribadi dan bukan mewakili parti.
Tuan Profesor yang budiman tidak mengeluarkan gesaan agar DAP membuat kursus kepada ahli bagaimana menghormati institusi diraja. Rujuk: https://www.sinarharian.com.my/…/hanya-pendapat….
Apabila Teresa Kok mengeluarkan kenyataan berhubung pensijilan halal, Perdana Menteri kata itu kenyataan yang tidak relevan dan tidak perlu.
Tiada pula tuan profesor menggesa DAP mengadakan kursus kepada ahlinya bagaimana mengeluarkan kenyataan yang perlu. Ia boleh dirujuk di: https://www.hmetro.com.my/…/kenyataan-teresa-hanya….
Ketika MP Beruas Datuk Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan berhubung keanggotaan wakil bukan Islam di dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, Setiausaha Agung DAP menyatakan bahawa itu satu kekhilafan dan tentunya tidak mewakili parti.
Tiada pula tuan profesor menyatakan DAP patut mengadakan kursus kepada ahli-ahli parlimennya bagaimana mengeluarkan kenyataan yang tiada khilaf. Rujuk: https://www.sinarharian.com.my/…/cadangan-koo-ham-satu…—anthony-loke.
Banyak lagi jika mahu digali satu persatu, namun sebagai pakar seni bina, proses gali menggali ini tentunya salah satu bidang kepakaran tuan profesor.
Sekali lagi, kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak itu ialah satu kesilapan yang tidak wajar berlaku, tetapi mengaitkan dengan PAS secara keseluruhannya bukanlah satu perkara yang telus apatah lagi dalam dunia akademik, kecuali tuan profesor mahu bercakap dalam laras bahasa politik.
Apabila tuan profesor menyebut pula tentang Islam dan disiplinnya, saya sangat kagum dan takjub dengan kehebatan dan ketinggian pemahaman tuan profesor.
Cumanya saya tiba-tiba terbaca salah satu nukilan tulisan tuan profesor yang dinukilkan di banyak lokasi. Antaranya ialah di pautan https://blog.limkitsiang.com/…/siblings-of-the-same…/ yang menyatakan:
“With respect to the third point, I hold to the personal view that all religious faiths are brethrens or siblings, Islam being the youngest in the family.
“Christianity and Judaism, I view as older brothers with Hinduism being the eldest to my knowledge.
“The reformative ideas of Buddhism stems from Hinduism and can be considered part of the same family of religions.
“I can’t understand why Muslims hate to be viewed in this manner.
“My article on Malay-Muslims and the Perfect Religion Syndrome explains much of this view.”
Atau izinkan saya menterjemahkannya secara bebas, dan perbetulkan saya jika saya silap :
“Berkenaan dengan poin ketiga, saya berpegang pada pandangan pribadi bahwa semua KEYAKINAN AGAMA ADALAH SAUDARA, dengan Islam sebagai yang termuda dalam keluarga tersebut.
“Saya memandang Kristian dan Yahudi sebagai kakak yang lebih tua, sementara Hindu—sepengetahuan saya—adalah yang tertua.
“Gagasan reformatif dalam Buddhisme berakar dari Hinduisme dan dapat dianggap sebagai bagian dari keluarga agama yang sama.
“Saya tidak mengerti mengapa umat Islam tidak suka dipandang dengan cara seperti ini.
“Artikel saya tentang Melayu-Muslim dan Sindrom Agama Sempurna menjelaskan banyak hal terkait pandangan ini.”
Tuan profesor, jika inilah pemahaman tuan dalam agama, saya rasa tuan merupakan orang yang terakhir layak bercakap tentang Islam selepas semua orang layak bercakap tentangnya.
Maafkan saya sekali lagi, dan sebenarnya pandangan profesor ini tentang Islam lewat isu-isu lain boleh dicari sendiri dan difahami di mana hujung jatuhnya bagi pengkaji idea liberal, pluralisme dan sekular.
Kecuali tulisan tersebut bukanlah tulisan tuan, mohon buat pembetulan kerana ia telah disebarkan belasan tahun lepas.
Saya ingin menulis lagi sebenarnya lebih panjang, tapi saya berhenti di sini kerana mahu memenuhi jemputan kawan-kawan berbangsa Tionghoa di rumah terbuka Tahun Baru Cina.
Selamat membaca, tuan profesor merangkap ahli parti DAP.
Ahmad Fadhli bin Shaari
Ketua Penerangan PAS Pusat