Keutamaan Menentang Dosa Sekularisme Yang Lebih Besar Bahayanya

Keutamaan Menentang Dosa Sekularisme Yang Lebih Besar Bahayanya

Al-Quran ialah petunjuk Allah sepanjang perjalanan hidup penganut Islam yang sebenar dan kumpulan Islam yang istiqamah, termasuk dalam menentukan keputusan dan pendirian bagi menghadapi sebarang cabaran dan kelemahan yang terjadi dalam perjalanan kehidupan.

Allah tetap membela orang-orang yang beriman dan murka terhadap sesiapa yang mengkhianati agama-Nya (Islam).

Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨

“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari agamanya (Islam).” [Surah al-Hajj: 38]

Allah menurunkan wahyu atau kebijaksanaan kepada Rasulullah SAW dalam perjalanan perjuangan Islam sejak awal, antaranya peristiwa yang dinyatakan oleh al-Quran yang menjadi petunjuk secara langsung daripada Allah.

Firman Allah SWT:

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّهۡرِ ٱلۡحَرَامِ قِتَالٖ فِيهِۖ قُلۡ قِتَالٞ فِيهِ كَبِيرٞۚ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَكُفۡرُۢ بِهِۦ وَٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ وَإِخۡرَاجُ أَهۡلِهِۦ مِنۡهُ أَكۡبَرُ عِندَ ٱللَّهِۚ وَٱلۡفِتۡنَةُ أَكۡبَرُ مِنَ ٱلۡقَتۡلِۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah, ‘Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan kafir kepada-Nya, (menghalangi masuk) Masjid al-Haram, dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memurtadkan kamu daripada agamamu (Islam), seandainya mereka mampu melakukannya. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalan mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Baqarah: 217]

Ayat ini berkait dengan sebab yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, peristiwa saat pasukan tentera Islam di bawah ketuanya, ‘Abdullah bin Jahsy RA telah melakukan kesalahan disiplin.

Mereka bertindak menyerang musuh pada bulan yang diharamkan berperang semasa permulaan perjuangan Islam yang melibatkan peperangan dengan perintah Allah.

Kesalahan membunuh musuh dan merampas harta mereka merupakan satu bentuk kesalahan yang melampau.

Namun, kesalahan musuh Islam menentang Islam dan menekan penganutnya dengan zalim supaya murtad adalah lebih besar dosanya di sisi Allah.

Islam ialah agama yang berkonsepkan mendahulukan perdamaian, maka Islam menerima adanya bulan yang diharamkan berperang, iaitu bulan Zulqa‘dah, Zulhijjah, Muharram, dan Rajab.

Kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa hukum ini dimansuhkan pada akhirnya, apabila musuh Islam tidak lagi beramal dengannya.

Tiba-tiba, berlaku kesilapan terhadap pasukan ‘Abdullah bin Jahsy yang disebut di atas kerana mereka tidak menyedari bahawa bulan Rajab belum lagi berakhir.

Maka, musuh Islam menjadikan situasi tersebut sebagai isu besar, manakala Rasulullah SAW tidak senang terhadap pasukan itu yang telah membunuh musuh dan merampas harta mereka, sambil menegaskan bahawa tentera Islam telah melakukan dosa besar yang mewajibkan mereka bertaubat dan membayar diat (denda) kepada musuh yang dizalimi.

Allah menurunkan ayat di atas sekali gus mengakui kesalahan dan dosa yang telah dilakukan tentera Islam, namun Allah tetap membela tentera Islam yang melakukannya dengan alasan perjuangan Islam adalah lebih mulia kerana menentang musuh yang melakukan dosa yang lebih besar dan lebih melampau, iaitu menghalau orang-orang beriman keluar dari Makkah, melarang orang-orang beriman memakmurkan Masjid al-Haram, serta memerangi orang-orang beriman dan melakukan fitnah terhadap mereka disebabkan keimanan mereka supaya murtad daripada Islam.

Apa yang dilakukan oleh kalangan musuh adalah lebih besar berkali ganda, kerana akibat kekufuran itu akan membawa kecelakaan di dunia dan balasan azab Neraka pada Hari Akhirat yang berkekalan.

Di sini menunjukkan bahawa dosa orang beriman walaupun dosa yang besar dan salah tetap salah, Allah tetap membuka pintu taubat-Nya.

Hal ini tidak sama dengan orang yang berdosa besar sehingga syirik terhadap Allah, dosa mereka tidak diampunkan sekali-kali dan akibatnya sangat dahsyat di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨

“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” [Surah al-Nisa’: 48]

Firman Allah SWT lagi:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَيَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ ١٣

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberikan pelajaran kepadanya, ‘Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah! Sesungguhnya, mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’” [Surah Luqman: 13]

Semua rasul menjadikan syirik sebagai musuh pertama yang ditentang habis-habisan kerana ia menjadi punca segala kesesatan dan kezaliman.

Maka, kesalahan syirik terhadap Allah dan tindakan menolong kesyirikan atau menyertai pasukannya adalah lebih besar dosanya daripada perbuatan melampau dalam peperangan itu.

Ramai daripada kalangan kita yang menganggap syirik hanyalah dalam perkara menyembah selain Allah pada masa ibadat sahaja, tanpa menyedari bahawa syirik hakikatnya meliputi semua perkara yang menentang dan mencabar milik Allah semata-mata pada Zat, Asma’, Sifat, serta seluruh cara hidup dan perjalanan alam ciptaan-Nya.

Hal ini terkandung dalam konsep Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah, serta Tauhid Asma’ dan Sifat.

Bahkan, ketiga-tiga konsep tauhid ini terkandung dalam Surah al-Fatihah yang menjadi rukun solat.

Apabila ‘Adi bin Hatim RA, seorang paderi sebelum keislamannya datang menemui Rasulullah SAW dalam keadaan memakai salib yang digantung pada lehernya, Rasulullah SAW lalu menyebut firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١

“Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang mereka sekutukan.” [Surah al-Tawbah: 31]

‘Adi berkata:

‌إِنَّا ‌لَسْنَا ‌نَعْبُدُهُمْ.

“Sesungguhnya, kami tidak bersolat menyembah mereka.”

Rasulullah SAW lantas menjawab:

يُحَرِّمُونَ مَا أَحَلَّ اللَّهُ، فَتُحَرِّمُونَ، ويُحِلُّونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ، فَتَستَحِلُّونَ؟

“Kenapa tidak? (Mereka meminda dan menggantikan hukum Allah, iaitu) mereka mengharamkan apa-apa yang telah dihalalkan Allah, lalu kamu mengharamkannya, dan mereka menghalalkan apa-apa yang telah diharamkan Allah, lalu kamu menghalalkannya.” [Riwayat al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, Jld. 7, Hlm. 106]

Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Firman Allah SWT lagi:

فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah’, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!” [Surah al-Baqarah: 79]

Pada zaman kini, teori sekularisme ialah ciptaan manusia daripada kalangan agamawan dan pemimpin Barat yang meminda agama Allah serta perjuangan para rasul dan anbiya’ yang menerima wahyu ajaran yang sempurna daripada Allah.

Fahaman ini telah melahirkan berbagai-bagai ideologi yang mencabar ketuhanan Allah dalam mentadbir alam, termasuk makhluk manusia, sehingga menghilangkan dan merosakkan hak asasi manusia.

Malah, sehingga disamakan dengan hak binatang yang telah ditetapkan sempadan masing-masing oleh Allah Pencipta alam.

Sekularisme dibawa oleh penjajah sehingga menjadi perjuangan kepada parti politik yang berprinsipkan sekularisme dengan pelbagai ideologi yang berkonsepkan syirik terhadap Allah.

Maka, perjuangan menentangnya ialah menentang dosa yang paling besar daripada dosa-dosa lain yang dibuka pintu taubat dan kemaafan.

Adapun dosa syirik ditutup pintu taubatnya oleh Allah.

PAS tetap menghukum salah terhadap mana-mana ahlinya yang salah laku dalam banyak kesalahan, malah ada yang diambil tindakan disiplin dan diberikan amaran.

Namun, PAS tetap tidak berganjak dalam menentukan dosa paling besar yang menjadi musuh pertama adalah lebih diutamakan berbanding kesalahan disiplin.

Di sini menunjukkan bahawa dosa besar syirik sekularisme tidak boleh disamakan dengan besarnya kewajipan perjuangan berasaskan aqidah, kerana syirik tidak ada keampunan daripada Allah.

Inilah panduan al-Quran yang menjadi petunjuk.

Kami tidak melayan sebarang kenyataan yang menunjukkan kejahilan mereka terhadap al-Quran, kerana firman Allah SWT:

خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَٰهِلِينَ ١٩٩ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٠٠

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perkara yang ma‘ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. (199)

Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. (200)” [Surah al-A‘raf: 199–200]

Al-Quran memerintahkan supaya bersabar dan menyelamatkan orang Islam yang buta akan al-Quran sehingga bekerjasama dengan sekularisme, syirik yang besar dan berwala’ kepadanya.

Firman Allah SWT:

فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٩٤ إِنَّا كَفَيۡنَٰكَ ٱلۡمُسۡتَهۡزِءِينَ ٩٥

“Maka, sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah daripada orang-orang yang Musyrik. (94)

Sesungguhnya, Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu). (95)” [Surah al-Hijr: 94–95]

PAS tetap tegas menyalahkan ahlinya yang melampau, namun PAS tetap menentang sekularisme yang menjadi dasar DAP yang merosakkan aqidah kepada sesiapa yang masuk dalam perjuangannya atau berwala’ kepadanya.

Hal ini disebabkan oleh kejahilan murakab yang tidak disedari, bahkan berjuang untuk memerintah negara kita secara langsung dengan memperalatkan penganut Islam yang jahil.

Langkah yang diambil oleh PAS berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8)

Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

PAS memutuskan kerjasama dengan DAP kerana PAS berpegang kepada prinsip aqidah perjuangannya yang menjadi sempadan dan semua isu yang disebut dalam al-Quran ialah teladan yang wajib diikuti.

Maka, PAS tidak tenggelam dalam gelombang politik masyarakat majmuk dalam perjuangannya bagi menegakkan Islam yang adil kepada semua.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru