Legasi Pemikiran Ekonomi TG Nik Aziz – Bahagian 1

Legasi Pemikiran Ekonomi TG Nik Aziz – Bahagian 1

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Pendahuluan

Penulisan mengenai seseorang tokoh ulama’ biasanya menukilkan ketinggian ilmu dan legasi dakwah ulama’ tersebut, namun penulisan mengenai Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015) (“TGNA”) pasti akan mengiktiraf jasa beliau dalam segenap dimensi kehidupan manusia, meliputi urusan politik, ekonomi, dan sosial.

Penulisan ini bertujuan untuk mendokumentasikan falsafah dan pemikiran ekonomi TGNA sepanjang pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan (1990-2013).

Ia juga bertujuan untuk memberikan gambaran berkenaan legasi dasar-dasar ekonomi TGNA sebagai manifestasi kejayaan seorang ulama’ yang juga pemimpin, yang tidak memisahkan aspek pembangunan fizikal dan rohani, atau dalam erti kata lain, tidak memisahkan urusan duniawi (politik) dengan urusan ukhrawi (agama).

Penulisan ringkas ini mengandungi dua bahagian:

(i) Tinjauan kajian terdahulu dan falsafah pemikiran ekonomi TGNA, dan

(ii) Pelaksanaan dasar ekonomi Negeri Kelantan sepanjang pentadbiran TGNA sebagai Menteri Besar (1990-2013).

Kajian Terdahulu

Kajian berkenaan ekonomi negeri Kelantan adalah sangat terhad. Hal ini kerana kebanyakan pengkaji lebih cenderung untuk mengkaji sistem politik dan sosial di Kelantan berbanding sistem ekonomi.

Terdapat beberapa kajian akademik mengenai dasar ekonomi negeri Kelantan di bawah pentadbiran TGNA sebagai Menteri Besar, antaranya oleh Surtahman dan Norfadzilah (2004) berkaitan falsafah dan pemikiran ekonomi TGNA dalam aspek pentadbiran, pembangunan, kemiskinan, dan muamalat; serta Zakariah Rashid (2003) yang menilai kedudukan ekonomi negeri Kelantan dengan menggunakan rangka kerja analisis ‘shift-share’ wilayah terhadap data-data KDNK dalam tempoh 1980-1995, dan mendapati bahawa Kelantan telah mengalami kesan peralihan wilayah yang negatif dalam tempoh tersebut disebabkan faktor lokasi yang tidak kondusif untuk pelaburan di samping kemudahan infrastruktur (jalanraya, elektrik, air, pelabuhan, lapangan terbang) yang sangat terbatas.

Kajian yang dijalankan oleh Azizah dan Nariman (2005) menggunakan analisa model Anser pula mendapati program Islam dan legislatif yang dilaksanakan dalam pentadbiran di Kelantan memberikan impak yang positif terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Kelantan untuk tempoh 1990 hingga 2004; manakala Ismail dan Shukri (2011) mendapati peningkatan hasil yang berlaku adalah disebabkan oleh pengurusan yang transparen dengan mengambil contoh sistem tender terbuka dalam aktiviti pembalakan.

Kejayaan mengenai program pembasmian kemiskinan di negeri tersebut telah dinilai oleh Syahidah dan Adib (2013) dan mendapati Kerajaan Negeri Kelantan komited dalam mengurangkan kadar kemiskinan berdasarkan kemampuannya dan turut menyimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan telah berjaya menstruktur semula sosio-ekonomi masyarakat yang lebih bebas dan berdikari.

Di samping kajian-kajian di atas, terdapat banyak penulisan dan dokumentari separa-akademik yang diterbitkan di pelbagai media bagi menyorot kejayaan, dan kekurangan, dalam aspek pelaksanaan dasar ekonomi sepanjang pentadbiran TGNA sebagai Menteri Besar di Negeri Kelantan, termasuklah yang direncanakan oleh Abdullah Sudin (2013), Syahir Sulaiman (2013) dan Ubaidillah Alias (2013) di dalam majalah Qiadah edisi 1434H yang diterbitkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Falsafah & Pemikiran Ekonomi TGNA

i) Definisi Ekonomi

TGNA mentakrifkan ekonomi sebagai “segala kekayaan yang terdapat di langit dan di bumi ini dianugerahkan oleh Allah kepada umatnya untuk menguruskan alam ini”. Ini bermaksud semua rezeki yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah SWT, di mana manusia hanya diberi tugas sebagai khalifah untuk menjadi pentadbir di alam ini (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Beliau turut menyatakan bahawa sumber-sumber yang terdapat di bumi adalah mencukupi atau tidak terhad, seterusnya menyangkal definisi ekonomi yang diutarakan oleh ahli-ahli ekonomi Barat yang menyatakan bahawa sumber-sumber pengeluaran (land, labour, capital, entrepreneur) adalah terhad, yang akhirnya telah menimbulkan masalah dalam ekonomi (inequality, inefficiency, monopoly etc.) bagi memenuhi kehendak manusia yang tidak terbatas (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Menurut TGNA, sumber-sumber pengeluaran yang dianugerahkan oleh Allah SWT mencukupi untuk keperluan makhluknya, cuma manusia sahaja yang tidak pandai mengurusnya dengan baik sehingga timbul pelbagai masalah kekurangan sumber dalam ekonomi.

Perkara ini adalah selaras dengan firman Allah SWT:

وَمَا مِن دَآبَّةٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا

“Dan tidak ada sesuatu manusia dan binatang di bumi melainkan Allah jugalah yang memberi rezekinya” (Hud: 6).

ii) Pembangunan

Konsep pembangunan ekonomi di Kelantan berbeza dengan pendekatan ekonomi di negeri-negeri lain. Pembangunan ekonomi Islam yang dilaksanakan adalah bersifat syumul, dengan memberi penekanan seimbangan terhadap pembangunan material dan spiritual rakyat.

Sejak tahun 1990, pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan adalah berdasarkan agenda ‘Membangun Bersama Islam’. Teras kepada dasar ini ialah berpaksikan kepada prinsip ‘Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (“UMI”).

‘Ubudiah merujuk kepada penyerahan diri manusia sebagai hamba Allah SWT, Mas’uliah pula berkait rapat dengan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah selaras dengan tuntutan syariat, manakala Itqan merujuk kepada etika kerja berkualiti tinggi.

Segala dasar dan program Kerajaan hendaklah berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadis serta Ijma’ dan Qiyas.

TGNA menyedari bahawa pembangunan bukan matlamat tunggal yang ingin dicapai tetapi ia merupakan wasilah untuk memperkasakan manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Untuk mencapai matlamat dan objektif pembangunan ekonomi berteraskan Islam, maka strategi yang diambil juga harus berteraskan Islam. Strategi yang diambil oleh Kelantan ialah sentiasa menekankan kepatuhan syariah dalam setiap tindakan dan program yang dilaksanakan demi kebajikan rakyat (Syahidah dan Adib, 2013).

iii) Kemiskinan

TGNA semasa berucap di Dewan Undangan Negeri Kelantan menyatakan: “Membasmi kemiskinan adalah satu perkara yang berada diluar kebolehan manusia kerana ia adalah ciptaan Tuhan yang mesti diterima oleh manusia. Kemiskinan tidak boleh dibasmi tetapi hanya boleh dikurangkan.” (Belanjawan Negeri Kelantan, 1991).

Beliau menyifatkan kemiskinan sebagai satu daripada penyakit manusia yang sentiasa berlaku dalam sesebuah masyarakat, dan menyatakan bahawa “Kemiskinan ialah ketidakupayaan manusia untuk mencapai tahap keperluan individu dan tanggungannya”.

Ini bermaksud mereka tidak berkeupayaan untuk mencapai tahap keperluan paling minima (dharuriyyat) sedangkan nikmat Allah SWT adalah amat banyak dan amat mencukupi untuk memenuhi keperluan seluruh manusia sepanjang masa (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Pandangan beliau ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT:

وَءَاتَىٰكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ

“Dan la mengurniakan kepada kamu daripada setiap apa yang kamu pohon dan jika kamu menghitung nikmat-nikmat Allah nescaya kamu tidak akan terhitung” (Ibrahim: 34)

Menurut TGNA, kemiskinan terdiri daripada dua dimensi iaitu kemiskinan jasmani dan rohani dan Kelantan komited dalam usaha membasmi kemiskinan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan seimbang, walaupun negeri ini menghadapi banyak kekangan dari segi modal dan infrastruktur (Syahidah dan Adib, 2013).

Tambah beliau, “Hanya orang yang mempunyai jiwa yang kosong mudah terdedah kepada bermacam-macam bahaya. Miskin jiwa mempunyai kesan yang lebih berbahaya daripada miskin harta.” (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

iv) Riba’

Menurut TGNA, mengharamkan riba adalah pendirian Islam dan beliau mengingatkan umat Islam kini hendaklah berhati-hati dengan ancaman daripada pihak Barat yang cuba melancarkan perang melalui bidang muamalat misalnya, mereka berusaha untuk menonjolkan sistem ekonomi riba sebagai suatu keperluan dalam perekonomian.

Agenda yang sebegitu halus ini menjadikan sistem kewangan berasaskan riba’ sebagai suatu yang diperlukan demi kemajuan dan pembangunan, dan terus membelenggu ekonomi dunia dan umat Islam (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Ketegasan TGNA terhadap pengharaman riba’ terbukti dengan arahan beliau untuk memindahkan semua akaun simpanan Perbendaharaan Negeri Kelantan daripada bank konvensional (ribawi) kepada bank Islam.

Ujar beliau, “Antara perkara pertama yang ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kita kena buat.” (Syahir Sulaiman, 2013).

Tindakan tegas beliau pada tahun 1990 ini telah menyuburkan usaha mengembangkan institusi kewangan berlandaskan syariat di seluruh negara, sehingga Malaysia kini digelar sebagai hub kewangan Islam antarabangsa.

Dalam hal yang sama, kerajaan negeri Kelantan telah memperkenalkan pembiayaan berteraskan Qardhul-Hasan (tanpa riba’) kepada kakitangan kerajaan, meliputi pembiayaan kenderaan dan perumahan.

Malah, sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Kelantan kini sudah dicontohi oleh pelbagai pihak sebagai alternatif kepada amalan riba’ dan mekanisma yang dikenalpasti oleh kerajaan negeri Kelantan dalam memecahkan belenggu kemiskinan (Surtahman dan Norfadzilah, 2004).

Penutup.

Penelitian di atas adalah sebahagian daripada catitan yang mampu dinukilkan di dalam penulisan serba ringkas ini, bagi menunjukkan ketinggian ilmu dan iltizam yang terbit daripada falsafah dan pemikiran ekonomi TGNA sepanjang pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan.

Penilaian terhadap pelaksanaan dasar dan program ekonomi sepanjang pentadbiran TGNA sebagai Menteri Besar Negeri Kelantan (1990-2013) akan dinukilkan dalam bahagian ke-2 penulisan ini.

Syahir Sulaiman

Ekonomi