Setelah para penjajah gagal menggunakan kekerasan atau pujukan untuk memurtadkan penganut Islam daripada Islam (agama Allah) yang sempurna, mereka merancang supaya umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang sempurna.
Islam yang telah berjaya menegakkan negara Islam dan membentuk tamadun Islam sehingga menjadi kuasa besar tunggal dunia selama beberapa abad lamanya.
Hal ini demikian kerana, Islam yang berjasa ini bukanlah seperti madani jahiliah yang tidak beraqidah.
Kedatangan Islam ke pelbagai negeri di seluruh dunia menjadi penyelamat yang dialu-alukan, bukan seperti penjajah zalim yang memperhambakan rakyat, serta merompak dan mencuri harta mereka.
Islam berasal daripada perkataan al-din, yang berbeza dengan maksud agama dalam bahasa lain yang tidak memenuhi fitrah manusia bagi melaksanakan keperluan jasmani dan rohani, akal dan nafsu, serta keperluan individu, keluarga, dan masyarakat.
Islam adalah agama yang dianuti oleh semua rasul, termasuk Nabi ‘Isa AS, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran.
Para rasul terdiri daripada kalangan manusia yang dilantik menjadi rasul yang tidak bersifat ketuhanan.
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٨٢ أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥
“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil perjanjian daripada para nabi, ‘Sungguh, apa-apa sahaja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa-apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Adakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengaku.’ Allah berfirman, ‘Kalau begitu, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’ (81)
“Sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)
“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada-Nya menyerahkan diri (Islam) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan sukarela mahupun terpaksa mengikut fitrah, dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan. (83)
“Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa-apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya jua kami menyerahkan diri (menganut Islam).’ (84)
“Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85)” [Surah Ali ‘Imran: 81-85]
Agama Kristian pada zaman mutakhir membawa ajaran daripada kitab Injil yang telah diselewengkan daripada asalnya oleh Empayar Rom dan para paderi yang khianat.
Penyelewengan ini dilakukan melalui Persidangan Nicea selepas Nabi ‘Isa AS diangkat ke langit, bukannya Baginda disalib sebagaimana yang Kristian percayai.
Persidangan Nicea Pertama, atau Persidangan Nikaia Pertama, merupakan majlis perhimpunan para uskup (paderi besar) Kristian yang diadakan di kota Nicaea di wilayah Bithynia yang kini dikenali sebagai İznik di Turkiye.
Persidangan ini diadakan pada tahun 325 Masihi oleh Maharaja Constantinus I dan merupakan usaha pertama untuk mencapai kata sepakat dalam gereja melalui satu perhimpunan yang mewakili seluruh Dunia Kristian.
Ada yang berpendapat bahawa persidangan ini dipimpin oleh Hosius, seorang biskop dari Cordoba.
Antara pencapaian utama persidangan ini ialah kejayaannya menyelesaikan masalah teologi Kristian mengenai sifat ketuhanan Tuhan Anak dan hubungannya dengan Tuhan Bapa dalam kepercayaan Kristian.
Selain itu, dalam persidangan itu juga turut dibina bahagian pertama daripada Pengakuan Nicea, diwujudkan tarikh sambutan yang seragam untuk Paskah (Easter), dan diadakan pengumuman hukum kanun awal.
Persidangan ini dihadiri oleh delegasi dari pelbagai wilayah dalam Empayar Rom, termasuk Britain, serta dari gereja-gereja Kristian yang masih wujud dalam Empayar Sasan.
Para uskup yang mengambil bahagian diberikan perbelanjaan perjalanan pergi dan balik serta kemudahan penginapan.
Para uskup juga tidak melakukan perjalanan bersendirian, sebaliknya masing-masing dibenarkan membawa dua orang paderi dan tiga orang diakon (pembantu paderi), menjadikan jumlah keseluruhan hadirin melebihi 1,800 orang.
Eusebius, seorang sejarawan Kristian, menyebut bahawa kehadiran kumpulan paderi, diakon, dan akolit itu begitu ramai sehingga hampir tidak terkira jumlahnya.
Dalam Manuskrip Syria, disenaraikan nama-nama uskup dari wilayah timur, merangkumi 22 orang dari Coele-Syria, 19 orang dari Palestin, 10 orang dari Phoenicia, 6 orang dari Arab, serta beberapa orang dari Asyur, Mesopotamia, Parsi, dan kawasan lain.
Dalam persidangan ini, berlakunya perbincangan mengenai pertanyaan Arian tentang hubungan antara Tuhan Bapa dan Anak dalam kepercayaan Kristian, penetapan tarikh perayaan Paskah, Perpecahan Meletian dan pelbagai perkara berkaitan disiplin gereja, yang menghasilkan 20 kanun.
Antaranya ialah struktur organisasi gereja yang tertumpu pada penyusunan sistem pentadbiran gereja, piawaian martabat bagi paderi yang berkaitan dengan isu pentahbisan (penyucian) di semua peringkat dan kesesuaian tingkah laku dan latar belakang pendeta.
Selain itu, persidangan ini turut membincangkan norma-norma penebusan dosa dan taubat dalam masyarakat, prosedur penerimaan semula golongan bidaah dan skismatik ke dalam gereja, termasuk isu-isu bila perlu dilakukan penataan semula atau pembaptisan semula, dan akhirnya berkenaan amalan liturgi, termasuk tempat diakon dan amalan berdiri di tempat pemujaan semasa liturgi.
Selain itu, teori pemisahan agama daripada politik juga termaktub dalam Kitab Injil yang telah diubah selepas berlakunya pertarungan antara pihak gereja dengan istana, serta antara pertembungan antara agama dengan sains.
Konsep ini dinyatakan dalam Bible:
“Therefore, render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.”
“Berikan milik Qaisar itu kepada Qaisar; dan milik Tuhan itu kepada Tuhan.” [Matthew 22:21; Mark 12:17; Luke 20:25]
Para paderi yang menentang perubahan ini diburu habis-habisan lalu mereka dibunuh.
Para ilmuwan perbandingan agama telah mendedahkan cerita yang sebenar.
Apabila dilakukan perdebatan secara ilmu, pihak Kristian gagal menolak hujah pihak lawan terhadap mereka.
Sehinggakan, Dr. Zakir Naik yang menghafaz kitab suci semua agama pula diancam kerana mereka gagal menolak hujahnya.
Keadaan ini sepertimana yang dilakukan oleh raja-raja pada zaman dahulu yang memburu lalu membunuh para anbiya’ dan para agamawan yang menjadi pewarisnya, kerana mereka kalah dalam perdebatan. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بَِٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٢٢
“Sesungguhnya, orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang sememangnya tidak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21)
Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai penolong. (22)” [Surah Ali ‘Imran: 21-22]
Mereka menghantar para orientalis seperti Christian Snouck Hurgronje, Lord Cromer dan lain-lain untuk mengkaji Islam dan masyarakatnya dengan tujuan menentangnya.
Ada antara mereka yang memeluk Islam, namun ramai juga yang menjadi pencipta strategi bagi menentang Islam dalam masyarakat mereka melalui sistem pendidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan.
Agenda politik yang mentadbir semua urusan diutamakan secara praktikal, iaitu dengan merampas kuasa berdaulat raja-raja Islam dan pemimpinnya di negeri-negeri Islam yang dijajah dengan meninggalkan kuasa agama.
Malah, kuasa agama yang tidak mempunyai autoriti untuk memerintah dan mentadbir diserahkan kepada raja-raja yang dirampas kuasanya, kemudian diberi kepada kalangan penasihat yang dilantik oleh kumpulan penjajah.
Kuasa agama yang dimaksudkan diletakkan di bawah jabatan agama untuk mengawal pengajian Islam dan aktivitinya.
Bahkan, khutbah Jumaat turut dikawal dengan teks yang telah disediakan, agar Islam tidak difahami dengan sempurna dan cuba menggambarkannya ajaran yang hanya terbatas kepada urusan ibadat dan kekeluargaan semata-mata.
Rasulullah SAW telah memberi amaran dengan sabdanya:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرَ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى، قَالَ: فَمَنْ؟
“Sungguh kamu akan terikut-ikut dengan umat pada zaman dahulu sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta; sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, kamu mengikutinya juga. Lalu para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah! Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?’ Sabdanya, ‘Lalu, siapakah lagi?’” [Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3456, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-‘Ilm, No. 2669, daripada Abu Sa‘id al-Khudri]
Sabda Rasulullah SAW:
لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.
“Demi sesungguhnya akan berlaku nanti, ikatan ajaran Islam (yang teguh) akan dirungkai (dirombak) satu demi satu. Maka, apabila satu demi satu dirungkai menjadikan para penganut Islam berselerak dan berpaut dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Maka, simpulan pertama yang dirombak ialah perkara (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, No. 22160, daripada Abu Umamah al-Bahiliy]
Dalam aspek pelajaran dan pendidikan, penggunaan huruf Arab ditukar kepada huruf Latin bagi melemahkan pengajian agama, khususnya pengajian ilmu al-Quran dan al-Sunnah.
Fahaman yang dinamakan sekularisme inilah yang dijaja ke dalam masyarakat Islam melalui parti-parti politik daripada pelbagai ideologi.
Seterusnya, fahaman ini dilaksanakan oleh pemimpin yang telah dilatih supaya menerima kemerdekaan yang dirancangkan.
Akibatnya, majoriti masyarakat Islam menjadi buta politik, menganggapnya sebagai sesuatu yang kotor, penuh dengan penipuan, dan sebagainya.
Sedangkan politik juga merupakan urusan para anbiya’ dan para ulama’ yang wajib bersifat benar dalam perjuangan mereka.
Bahkan, Allah meletakkan pemimpin yang adil sebagai golongan pertama dalam senarai tujuh jenis manusia yang akan mendapat naungan pada Hari Kiamat kelak.
Adapun mereka yang berzikir dengan khusyuk pula berada di tempat ketujuh.
Menurut sirah, Rasulullah SAW menangguhkan ibadat haji yang wajib dan umrahnya sehingga selepas mendapat kemenangan politik.
Kemenangan ini berjaya dicapai melalui Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) dan Suluh (Perjanjian) Hudaibiyyah.
Hari ini, kita melihat mereka cuba menyekat demokrasi daripada membawa kemenangan kepada Islam melalui pelbagai cara dan pendekatan.
Tujuannya bagi menghalang Islam daripada berjaya memerintah negara secara sempurna..
Media, khususnya media baharu, digunakan untuk memburukkan imej Islam dengan mencari kesalahan agamawan supaya dapat dibesar-besarkan fitnahnya. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ ١٠
“Sesungguhnya, orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” [Surah al-Buruj: 10]
Allah menetapkan hukum bahawa golongan fasiq tidak boleh menjadi saksi dan memegang jawatan, terutama bagi mereka yang menjadikan media sebagai senjata untuk menyebarkan fitnah. Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Surah al-Hujurat: 6]
Negara-negara umat Islam yang kaya dengan sumber manusia dan ekonomi gagal menjadi negara maju dan kuat.
Sehingga mereka terpaksa bergantung kepada negara-negara yang pernah menjajah mereka dan kekal dalam rangkaian kumpulan yang dikawal oleh kuasa besar dengan pelbagai jenama, meskipun telah merdeka.
Para pemimpin politik yang bertanggungjawab melaksanakan tugas mengelirukan umat Islam serta menghalang Islam berdaulat diberikan perlindungan oleh kuasa besar penjajah dan Zionis.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ ١١٨ هَـٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيًۡٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang di luar kalangan kamu menjadi teman kepercayaan kamu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagi kamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh, telah Kami terangkan kepada kamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (118)
“Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahan kamu itu!’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119)
“Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepada kamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)” [Surah Ali ‘Imran: 118-120]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS