Assalamu alaikum dan salam sejahtera. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan semua ahli Yang Berhormat.
Saya mulakan ucapan perbahasan dengan menyebut firman Allah SWT:
وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣
“Demi masa. (1) Sesungguhnya, manusia itu dalam kerugian. (2) Melainkan mereka yang beriman, mengerjakan amal yang soleh, berpesan-pesan dalam perkara kebenaran dan berpesan-pesan agar bersabar menghadapi ujian. (3)” [Surah al-‘Asr: 1-3]
Ayat ini mengemukakan tiga tonggak penting bagi menyelamatkan manusia dalam kehidupan bermasyarakat, individu dan keluarga; iaitu beragama, bermasyarakat dan kebebasan bersuara.
Ketika kita mencapai kemerdekaan dahulu dalam pilihan raya pra-kemerdekaan, telah digubal perlembagaan negara ini oleh Suruhanjaya Reid.
Walaupun suruhanjaya itu tidak mewakili penduduk Malaysia kerana semua dilantik daripada wakil-wakil penjajah, namun ada ahli parlimen daripada parti politik yang ada pada masa itu termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), satu parti pembangkang sahaja, bersetuju meletakkan asas-asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pertama, beragama sebagai syiar kepada beriman.
Kedua, bermasyarakat iaitu menerima masyarakat majmuk.
Ketiga, kebebasan bersuara dalam demokrasi berparlimen. Dalam Islam, amar ma‘ruf nahi munkar.
Tonggak yang tidak boleh dipinda dan diubah.
Tidak dinafikan di sana dalam Perlembagaan Persekutuan ada kelemahan-kelemahan yang perlu direformasikan, diislahkan dan diubah.
Tetapi, tiga tonggak ini sangat penting.
- Islam sebagai Agama Persekutuan
Dalam konsep beragama, kita menetapkan Islam adalah agama Persekutuan.
Dalam masa sama, Perlembagaan juga menjamin kebebasan agama-agama lain yang dianut.
Soalnya, kenapa disebutkan Islam agama negara dan tidak disebutkan agama lain?
Di sini, perlu kita memahami objektif Islam itu yang berbeza dengan takrif agama lain.
Perkataan Islam mesti ditafsirkan mengikut kitab suci al-Quran daripada al-din bukan ‘religion’ atau ‘agama’ dalam bahasa asing, supaya merangkumi segala aspek dan mengatasi masalah kemajmukan masyarakat beragama.
Apa yang tidak ada dalam agama lain.
Islam menjamin keselamatan dan kebebasan hak penganut-penganut agama lain.
Disebut dalam kitab suci al-Quran beberapa ayat. Antaranya firman Allah SWT:
… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ … ٤٠
“…Dan kalau Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang pencerobohan sebahagian yang lain (Allah tidak menjadikan kumpulan Islam itu berkuasa memerintah dan melaksanakan Islam yang sempurna), nescaya dirobohkan rumah-rumah ibadat pelbagai agama; gereja Kristian, kuil Yahudi, masjid-masjid (tempat ibadat orang Islam)…” [Surah al-Hajj: 40]
Dalam sejarah, sering kali apabila satu-satu agama berkuasa akan menekan agama lain.
Namun, Islam mengharamkan paksaan terhadap agama lain.
Konsep tiada paksaan dalam agama diamalkan kerana menganut Islam mesti reda dengan hati yang ikhlas.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ … ١٠٨
“Dan janganlah kamu (orang Islam) memaki Tuhan-tuhan yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana kelak mereka akan memaki Allah secara melampau dengan ketiadaan pengetahuan (mencetuskan salah faham)…” [Surah al-An‘am: 108]
Firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨
“Allah tidak melarang kamu berbuat berbaik orang yang berbeza agama dengan kamu yang tidak bermusuh dan berperang dengan kamu, tidak menghalau kamu dari tanah air kamu, kalau kamu berbuat adil kepada mereka kamu berlaku adil. Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” [Surah al-Mumtahanah: 8]
Bukankah Islam mendahulukan perdamaian walaupun di tengah-tengah peperangan?
Firman Allah SWT:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Anfal: 61]
Perdamaian diutamakan. Ini satu prinsip yang diamalkan dan wajib ditunaikan.
Jika Islam menceroboh dan melanggar prinsip ini, wajib dihukum orang Islam itu.
Walaupun hari ini adanya undang-undang antarabangsa dan sebagainya, kuasa besar penjajah boleh melanggar undang-undang antarabangsa, seperti sarang labah-labah.
Sekiranya orang Islam melanggar peraturan ini dengan menceroboh orang bukan Islam, kerajaan wajib membayar pampasan dan dihukum orang Islam itu. Ini syariat Islam.
Kalau tidak, mereka berdosa selepas meninggal dunia, bukan dari segi undang-undang sahaja.
- Masyarakat Majmuk
Kita menerima masyarakat majmuk pelbagai kaum yang sengaja diwujudkan oleh penjajah.
Ada penduduk asal Bumiputera yang tinggal di sini.
Kemudian, penjajah membawa kaum lain yang dijajah ke negeri lain, seperti India, China dan lain-lain dibawa ke sini.
Seterusnya dilonggokkan menjadi kuli mereka, menjadi pekerja mereka untuk kepentingan mereka, menjadi tentera mereka dan petugas mereka.
Bahkan, dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, statistiknya orang ini paling ramai menjadi korban dan mangsa perang.
Menjadi askar dan dipaksa berperang. Ini yang berlaku.
Islam menerima kewujudan manusia masyarakat majmuk walaupun berlainan bangsa dan negara, tetapi tetap menganggap manusia adalah satu keluarga.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا…
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawwa’) satu keluarga satu sama lain.” [Surah al-Nisa’: 1]
Asalnya satu ibubapa, kemudian berpecah menjadi bangsa-bangsa yang banyak. Asal manusia satu keluarga.
Seterusnya dalam Surah al-Hujurat ayat ke-13 disebutkan lita‘arafu (saling kenal-mengenal antara satu sama lain hidup bermasyarakat).
Tidak mungkin satu bangsa itu boleh hidup bersendirian.
Tidak mungkin satu negeri dalam dunia berakhir dengan negeri lain kerana setiap negeri mempunyai berbagai-bagai hasil dan kebolehan.
Mesti ada tukar menukar antara satu sama lain barulah boleh hidup secara madani, yang ditambah dengan madani yang berakhlak, bermoral dan beriman.
Ini yang penting. Kita menerima hakikat ini kerana inilah yang diajarkan oleh Islam.
3.0 Hak Istimewa Bumiputera dan Melayu
Mengapa Perlembagaan Persekutuan menyebut hak Istimewa Bumiputera dan orang Melayu?
Ini kerana kita menghadapi masalah penyusunan masyarakat yang dicipta oleh penjajah.
Penjajah sengaja membiarkan Pantai Timur, utara (Semenanjung), termasuklah Malaysia Timur, ketinggalan dalam pembangunan.
Seluruh pembangunan berlaku di Malaysia Barat. Penjajah yang buat begitu.
Bila kita mewarisi kemerdekaan jurang ini masih ada, tidak dapat diselesaikan lagi. Masih ketinggalan.
Walaupun Malaysia Timur, Pantai Timur dan utara (Semenanjung) ada hasilnya, tetapi pembahagian hasil itu masih tidak adil.
Oleh sebab itu, kita perlu tegakkan keadilan dalam masyarakat majmuk ini.
Disebut hak istimewa Melayu Bumiputera kerana majoriti yang miskin dan ketinggalan ialah Bumiputera dan orang Melayu.
Majoriti rakyat ini miskin dan ketinggalan dalam pendidikan, ekonomi, dan banyak lagi.
Sedangkan kaum lain lebih maju, kerana mereka duduk di bandar. Ini yang berlaku.
Walaupun disebut hak istimewa Melayu Bumiputera, tetapi mestilah adil untuk semua.
Orang Cina yang miskin, India yang miskin, dan sesiapa sahaja yang miskin, wajib ditolong. Sama! Tak ada beza.
Dalam hal ini kita mesti meraikan titik persamaan antara bangsa-bangsa.
Di sana ada titik persamaan, ada perbezaan. Kalau lapar, sama-sama lapar tidak ada beza agama apa pun.
Tapi makanan halal dan haram berbeza.
Dalam masalah halal dan haram, kita tidak boleh paksa penganut agama lain menghalalkan makanan yang haram.
Tidak boleh dalam Islam. Itu hak mereka.
Agama mereka membenarkan minum arak dan makan daging babi, maka tidak boleh dilarang.
Tetapi jangan jual kepada orang Islam.
Dalam perkara yang berbeza, kita perlu raikan dengan bertasamuh dan bertoleransi, contohnya bahasa yang berbeza.
Kita telah menerima bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi.
Dalam masa sama, bahasa-bahasa lain diizinkan.
Untuk menuntut ilmu boleh kita belajar bahasa-bahasa yang lain, tidak jadi salah untuk menambahkan ilmu tetapi bahasa rasmi mestilah bahasa kebangsaan. Ini utama.
Apa berlaku pada hari ini?
Bercelaru. Kedai-kedai di ibu negara, di bandar-bandar, semua bahasa ada.
Bahasa Melayu kadang-kadang halus saja.
Tulisan bahasa Inggeris besar sedangkan orang Inggeris dah tak ada.
Dalam majlis, orang Putih ada tiga orang saja, orang kita yang ramai, semua boleh bahasa Melayu tapi cakap Inggeris juga.
Selain itu, surat rasmi dan bicara di mahkamah masih lagi dalam Bahasa Inggeris.
Kita lihat negara lain pergi ke PBB, pemimpin-pemimpin berucap dalam bahasa ibunda mereka kecuali negeri yang fikirannya dijajah.
Pemimpin kita tidak, berucap dalam bahasa Inggeris dan bahasa asing. Banyak pemimpin Afrika bercakap bahasa Perancis.
Pemimpin Amerika Latin bercakap bahasa Sepanyol.
Tempat kita pun bercakap bahasa Inggeris juga.
Tetapi negeri yang ada identiti dan jiwa bangsa, mereka bercakap bahasa dia.
Sebab itu kita perlu perkasa bahasa kebangsaan. Ini sangat penting.
4.0 Keadilan Ekonomi
Kita perlu merakyatkan ekonomi.
Dalam ucapan, banyak kenyataan yang menyebut ekonomi kita meningkat, ekonomi kita tinggi bertambah itu dan ini, mata wang kita naik. Tetapi tidak turun kepada rakyat.
Rakyat menghadapi masalah inflasi, masalah pengangguran dan masalah kekayaan berpusing dalam kalangan orang tertentu sahaja.
… دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ … ٧
“…Tidak boleh kekayaan negara ini berkisar dalam kalangan orang kaya tertentu dalam kalangan kamu sahaja…” [Surah al-Ḥashr : 7]
Tidak salah nak jadi kaya dalam Islam.
Boleh kaya sebanyak-banyaknya tetapi kaya yang halal, kaya yang baik, kaya yang bersyukur.
Bukan kaya dengan rasuah, kaya dengan penyelewengan dan kaya dengan menipu.
Tapi kaya sungguh-sungguh. Tunaikan kewajipan bermasyarakat. Turun kepada rakyat.
Masih banyak rakyat yang menganggur.
Kadang-kadang yang menganggur itu golongan yang terpelajar. Lulusan universiti, tetapi tidak dapat kerja kerana kita tidak boleh mewujudkan pekerjaan.
Kita patut wujudkan pekerjaan.
Ibn Khaldun berkata, kalau pekerjaan diwujudkan dengan banyak, akan meningkatkan hasil yang banyak, sehingga tidak payah menaikkan cukai.
Tambahkan hasil negara dengan wujudkan pekerjaan, wujudkan kepakaran dan kemahiran sama ada dibina oleh kerajaan atau swasta dan rakyat dibantu oleh kerajaan. Ini caranya.
Dulu ada subsidi, ada macam-macam bantuan, tetapi bocor tengah jalan.
Zaman feudal sudah habis.
Zaman raja mengaku Tuhan seperti Firaun dan Namrud, zaman kekayaan dan kuasa pada puak tertentu saja.
Islam menghapuskan zaman feudal dengan mewajibkan zakat dan cukai pada orang yang berada (berharta) sahaja.
Orang yang tidak mampu tak dikenakan cukai.
Dalam Islam, orang Islam yang kaya wajib membayar zakat, orang bukan Islam yang kaya membayar jizyah dan kharaj.
Adapun sami-sami dan paderi-paderi tidak bayar cukai. Ini dalam Islam.
Termasuklah orang yang tidak ada kerja dan orang yang miskin tidak dikenakan cukai. Ini dalam Islam.
Orang yang kena bayar cukai ialah mereka yang berada (berharta) dan mampu sahaja.
Masalahnya sekarang semua kena cukai.
Kemudian peluang pekerjaan tidak banyak.
Graduan yang ada kelulusan tinggi bekerja dalam bidang lain.
Yang bahagian pertanian menjadi cikgu, yang bahagian perikanan menjadi petani. Agih tidak menentu. Ini berlaku.
Yang belajar luar negeri dengan biasiswa kerajaan, tidak mahu balik dan mahu bekerja di luar negeri.
Ini satu masalah yang perlu kita atasi.
Kemudian masih ada lagi projek sia-sia, projek membazir dan projek membuang garam di laut.
Tidak ada guna buang garam di laut.
Saya nak tunjuk tempat saya di Terengganu, masalah hakisan pantai perlu ditambak laut.
Dia tambak laut dengan pasir sampai 40 tahun.
Tahun ini angkut pasir tambak laut, datang ombak musim tengkujuh terus hilang. Tahun depan ambil pasir pula.
Saya pergi ke Thailand dan Eropah, mereka boleh pecah ombak Lautan Atlantik dan Pasifik. Mengapa kita jadi sia-sia?
Ini kerana bagi projek kepada kawan-kawan dan kroni.
Ini masalah yang kita hadapi. Selesaikan masalah ini.
5.0 Kebebasan Bersuara
Saya harap satu lagi ialah kebebasan bersuara, saya minta supaya peraturan-peraturan Parlimen ini dikaji semula.
Di samping banyak ‘standing order’ yang tertulis, ada yang dibuat secara spontan.
Bila pembangkang tegur, kita nak marah dan buat peraturan tidak boleh bercakap.
Ini bercanggah dengan amar ma‘ruf nahi munkar dan prinsip demokrasi kecuali dilarang mengucapkan kata-kata lucah dan kata-kata kesat yang tidak perlu disampaikan.
Masalahnya perkara ini tidak boleh bercakap, perkara itu tidak boleh bercakap.
Semuanya kerana hendak selamatkan diri dan tidak boleh menahan marah.
Nabi sebutkan dalam hadis:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ.
“Orang yang hebat bukanlah orang yang tidak dapat cepat marah, orang yang hebat ialah orang yang dapat menahan diri sewaktu dia marah.” [Riwayat al-Bukhari, no. 6114]
Bila dikritik tidak boleh menahan diri, lalu bangun dan buat peraturan tidak boleh bercakap.
6.0 Keadilan kepada Pembangkang
Saya nak minta supaya keadilan berlaku.
Berikan peruntukan kepada parti-parti pembangkang kerana demokrasi ini bukan sahaja untuk kerajaan, tetapi juga untuk pembangkang.
Lepas pilihan raya, semua rakyat adalah sama.
7.0 Persidangan D-8
Saya nak sebut tentang Persidangan D-8, ajak negara Islam yang kita gabung selama ini bersungguh-sungguh.
Saya rasa sangat dukacita kerana Sidang Kemuncak D-8 di Kaherah, Perdana Menteri tidak hadir.
Semua negara lain hantar ketua negara tetapi kita hantar menteri sahaja. Tidak bersungguh.
Adakah kerana bergantung dengan Bank Dunia, IMF ataupun BlackRock? Saya tak tahu la.
Wallahua‘lam.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS