Kecoh di media sosial mengenai cadangan Kerajaan Madani untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (URA), yang dikatakan memberikan kuasa besar kepada pemaju dan kerajaan untuk mengambil alih hartanah rakyat tanpa persetujuan mutlak pemilik.
Di bawah undang-undang sedia ada, pemaju dan kerajaan memerlukan persetujuan 100% daripada pemilik sebelum sebarang pembangunan semula boleh dijalankan.
Namun, jika RUU ini diluluskan, kadar persetujuan akan dikurangkan kepada:
80% bagi bangunan berusia bawah 30 tahun
75% bagi bangunan berusia lebih 30 tahun
51% bagi hartanah yang dianggap tidak selamat atau terbiar
Persoalan utama yang timbul adalah, apakah nasib baki pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan ini?
Apakah mereka akan dipaksa menyerahkan hak mereka walaupun enggan berpindah?
Lebih membimbangkan, RUU ini berpotensi membuka ruang kepada pemaju untuk mengusir secara halus golongan Melayu dan India berpendapatan rendah dari kawasan bandar.
Realitinya, selepas pengambilalihan hartanah oleh pemaju, adakah mereka akan membina rumah mampu milik dengan harga RM200,000?
Atau adakah hartanah tersebut akan dipasarkan dengan harga setengah juta ringgit atau lebih, yang sudah tentu di luar kemampuan golongan miskin?
Pembangunan Tidak Seimbang dan Jurang Kemiskinan Melebar
Tindakan ini dikhuatiri akan mewujudkan pembangunan bandar yang tidak seimbang.
Kawasan bandar yang berkembang pesat akan didiami oleh golongan kaya, manakala golongan berpendapatan rendah, termasuk Melayu dan India miskin, akan terpinggir ke luar bandar yang kurang membangun.
Akibatnya, peluang pekerjaan dan industri akan lebih tertumpu di bandar, sedangkan mereka yang tidak mampu tinggal di kawasan bandar akan terhalang oleh kos sara hidup yang tinggi.
Lihat sahaja Pulau Pinang – kawasan pulau kini hampir tidak lagi “affordable” bagi golongan miskin.
Adakah ini model pembangunan yang ingin diterapkan ke seluruh negara?
Apakah Jaminan Kampung dan Luar Bandar Tidak Terjejas?
Persoalan lain yang wajar dibangkitkan ialah, apabila bandar sudah diambil alih sepenuhnya oleh pemaju kapitalis, ke manakah hala tuju mereka seterusnya?
Tidak mustahil tanah-tanah kampung di pinggir bandar dan luar bandar pula menjadi sasaran.
Jika ini berlaku, di manakah lagi golongan Melayu dan India miskin dapat bertapak?
Perikatan Nasional tidak menolak pembangunan, tetapi prinsip keadilan harus dikekalkan.
Pemilik hartanah perlu diberikan pilihan yang adil dan tidak boleh dipaksa menyerahkan rumah mereka semata-mata demi keuntungan pemaju.
Jika benar niat pembangunan itu ikhlas, maka hak rakyat untuk memiliki dan mengekalkan harta mereka mesti dihormati.
Ada yang mengaitkan isu ini dengan rampasan tanah oleh Israel di Palestin, tetapi dengan sedikit perbezaan – Israel merampas tanpa persetujuan, manakala Kerajaan Madani mahu merampas dengan “persetujuan” 80%, 75%, dan 51%.
Bak kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming: “Nawaitu!”
Salam hormat,
Ir. Ts. Nurul Islam Mohamed Yusoff