Menjadi CEC DAP, Tidak Mengeluarkan Anda Dari Islam, Tetapi….

Menjadi CEC DAP, Tidak Mengeluarkan Anda Dari Islam, Tetapi….

Sekonyong-konyongnya, timbullah isu berkenaan kafir mengkafir yang pada kebiasaannya akan dimainkan ketika kempen PRU.

Dan mangsanya pastilah PAS yang sering dan tidak pernah kenal erti penat, musuh melagukan irama kafir-mengkafir, Memali, solat dua imam.

Namun agak hairan apabila lagu ini dimainkan di luar waktu PRU.

Bagaikan lagu raya dinyanyikan selepas Syawal atau sebelum Ramadan.

Ia adalah berkenan penafian, kekesalan, rasa kecewa dua AJK CEC DAP yang baharu dinobatkan sebagai ‘duta Melayu’ dalam DAP, YB Syahredzan dan YB Young Syefura setelah dipilih oleh perwakilan DAP, dalam pemilihan parti mereka beberapa hari lalu.

Khabarnya gelaran ‘Othman Wok’, seorang Melayu dari Singapura yang dituduh mengkhianati bangsanya dan ‘Buang’, watak pembelot bangsa dan agama dalam filem Sarjan Hasan, lakonan Salleh Kamil itu, dikalungkan kepada mereka berdua.

Lalu ditonjolkan beberapa keratan tangkap layar tuduhan itu yang datangnya dari seseorang.

Akan tetapi agak lucu kerana kedua-dua penuduh dan tertuduh, jelas berkelahi sesama sendiri dan kita di luar ini memerhatikannya dengan berbagai kaitan yang pada akhirnya, cuba dikait dengan PAS.

Ternyata, untuk menjadi ternama dalam politik, PAS diperlukan sebagai ramuan utama kejayaan bidang politik mereka, samada serang atau sokong PAS.

YB Syahredzan, menyokong DAP tidak akan menjadikan anda murtad atau kafir.

Malah jika memegang jawatan tertinggi DAP sekalipun, anda masih akan menjadi seorang Islam.

Tetapi menyokong parti yang telah diisytiharkan oleh Mufti Pahang bahawa DAP itu kafir harbi, akan menjauhkan anda dari Islam.

Sedang menyertai PAS, akan mendekatkan diri kepada Islam. Apa buktinya?

PAS mempunyai sekumpulan besar ulamak. Adakalanya, ulamak PAS yang telah terbukti keilmuan mereka bersependapat dengan ulamak kerajaan dan adakalanya mereka berselisih.

Ini perkara biasa dalam bidang keilmuan.

Yang utama, ulamak PAS dan kerajaan berusaha menjadikan Malaysia menepati kehendak Islam, melalui ajaran Rasulullah.

Pesan Rasulullah ulamak adalah pewaris para anbiyak.

Tetapi yang pasti, DAP tidak mempunyai ulamak bagi membimbing ahlinya dan pastinya mereka tidak boleh menjadikan agama sebagai panduan dalam mereka berpolitik kerana DAP anti negara berasaskan agama, sebagaimana tegas Lim Kit Siang dahulu.

Sedangkan Rasulullah menjadikan Islam sebagai teras perlembagaan negara dan kehidupan.

Inilah yang memecahkan Pakatan Rakyat, kerana kedegilan DAP.

Adakah LKS lebih mulia dari Rasulullah?

Jelas, politik DAP tidak akan mendapat reda Allah.

DAP terpaksa menjadikan anda dan YB Young Syefura sebagai ‘duta’ kerana kecilnya jumlah Melayu Islam dalam DAP, apatah lagi yang berpangkat.

Setelah gagal mengangkat Zairil Khir Johari sebagai wakil ‘Melayu’ dalam CEC dahulu kerana didapati bukan anak sebenar Khir Johari dan diragui darah kemelayuannya.

Begitu juga Amran Ahmad Nor anak kepada pemimpin tertinggi Melayu dalam DAP serta Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan beberapa lagi Melayu Islam yang keluar meninggalkan DAP kerana kecewa dan mendedahkan wajah sebenar DAP.

Dyana Sofea isteri Zairil, bekas calon DAP Teluk Intan pula terus tenggelam selepas mereka berkahwin.

DAP terpaksa mengangkat ikon lain dan Syahredzan serta Young Syefura menjadi calonnya.

Menjelaskan kepada semua betapa peritnya kedudukan Melayu Islam dalam DAP.

Manakala dalam PAS, undi Melayu Islam adalah undi teras kepada kami.

Tidak akan ada yang percaya apabila ada tuduhan mendakwa PAS sebagai sesat, kecuali musuh politik dan golongan jahat.

Tetapi pengundi segera berwaspada jika DAP mendakwa mahu mempertahankan Islam.

YB Syahredzan juga tidak akan menjadi murtad jika selalu berbohong kepada pengundi dengan tidak menunaikan manifesto PRU.

Beliau juga tidak dianggap bertukar agama seandainya selalu meminum arak, berzina mahupun setiap hari beliau berjudi.

Ia hanya dikira sebagai fasik, atau berdosa besar.

Jadi jelas tuduhan jahat oleh pengguna media sosial itu bukannya datang dari pimpinan PAS yang faham agama.

Namun, YB Syahredzan boleh dianggap terkeluar dari agama jika beliau menghina Islam atau Rasulullah dalam keadaan beliau sedar, tahu dan sengaja melakukan hal itu.

Contohnya, seperti yang dilakukan oleh Harith Iskandar, jika Harith tahu, sedar dan sengaja menghina Islam, maka tidak ragu lagi, dia wajib bersyahadah kembali.

Atau riddah boleh terjadi jika YB Syahredzan tumpang bergurau bersama dengan sekumpulan manusia durjana dalam tangkap layar di X yang mana cuba mempermainkan nama nabi Ibrahim, nabi Ismail dan juga Allah dalam pengsyariatan ibadat haji itu dengan sengaja.

Maka YB tanpa ragu, terkeluar dari Islam.

Kebetulan nama YB dan nama salah seorang manusia celaka dalam tangkap layar itu sama.

Saya yakin bukan sosok yang sama, tetapi mungkin seseorang telah membuat akaun palsu untuk mencalarkan nama YB.

YB sudah buat laporan polis?

Jika belum, saya cadangkan YB buat laporan polis, untuk membersihkan nama YB, sebelum orang menuduh YB mengunjing agama Islam.

Mohd Nasir Abdullah

DAP