Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia berhubung pembayaran Bonus Raya kepada penjawat awam di Terengganu menggunakan dana yang dipegang oleh Kerajaan Persekutuan telah mencetuskan pelbagai reaksi.
Dalam kalangan penyokong kerajaan pusat, mereka bersorak gembira seolah-olah pemberian itu satu bentuk keprihatinan.
Namun, hakikatnya, bonus tersebut bukanlah ihsan daripada Putrajaya, tetapi datang daripada wang royalti petroleum milik rakyat Terengganu sendiri.
Sebagaimana yang diketahui umum, wang royalti hasil daripada petroleum yang digali di perairan Terengganu sepatutnya menjadi hak mutlak kerajaan negeri.
Namun, wang ini dipegang dan dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, seolah-olah Negeri Terengganu adalah peminta sedekah yang terpaksa menadah tangan untuk mendapatkan haknya sendiri.
Setiap sen yang ingin dibelanjakan perlu mendapat kelulusan daripada Putrajaya, menyebabkan kerajaan negeri terikat dalam menguruskan pembangunan dan kebajikan rakyat.
Persoalan besar yang harus ditanya: Mengapa kerajaan negeri diperlakukan seperti bukan pemilik?
Mengapa wang yang jelas termaktub sebagai hak negeri tidak boleh diuruskan oleh kerajaan negeri sendiri?
Sejarah membuktikan, sebelum ini wang royalti Terengganu disalurkan terus kepada negeri tanpa birokrasi dan sekatan.
Namun, sejak beberapa dekad lalu, dana ini seolah-olah dijadikan alat tekanan politik oleh kerajaan pusat terhadap negeri yang diperintah oleh pihak pembangkang.
Lebih menyedihkan, ada segelintir pihak yang menyokong tindakan ini dan melihatnya sebagai satu kejayaan.
Penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, yang sering memperlekehkan hak negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional, bersorak gembira apabila kerajaan negeri diperlakukan seperti pengemis.
Adakah mereka benar-benar meraikan ‘kezaliman’ yang dilakukan terhadap negeri sendiri?
Bonus untuk penjawat awam hanyalah satu contoh kecil bagaimana hasil negeri dikawal oleh pusat.
Banyak lagi aspek lain, terutamanya peruntukan projek pembangunan yang sepatutnya dimanfaatkan oleh rakyat Terengganu, tetapi perancangan dan keputusannya dikuasai oleh Putrajaya.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, malah turut melambatkan kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Dalam hal ini, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu sedar bahawa kezaliman mereka tidak akan kekal selama-lamanya.
Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran:
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍۢ تَشْخَصُ فِيهِ ٱلْأَبْصَـٰرُ
“Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka bahawa Allah lalai daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia hanya memberi tangguh kepada mereka hingga ke suatu hari yang pada waktu itu mata mereka terbeliak ketakutan.” (Surah Ibrahim: 42)
Lihatlah UMNO sebagai contoh.
Dahulu, mereka berkuasa hampir di seluruh negeri dan menguasai kerajaan pusat dengan begitu dominan.
Namun, kezaliman mereka terhadap rakyat, termasuk menindas negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan mereka, akhirnya memakan diri.
Sedikit demi sedikit, Allah SWT mencabut kuasa mereka.
Bermula dengan kejatuhan Terengganu pada tahun 1999, diikuti oleh kehilangan Kelantan, dan akhirnya ditolak oleh rakyat Malaysia pada tahun 2018.
Walaupun mereka kembali sebagai sebahagian daripada kerajaan melalui gabungan yang rapuh, UMNO hari ini tidak lagi mempunyai kekuatan dan kepercayaan seperti dahulu.
Demikianlah sunnatullah. Kerajaan Madani yang kini mengulangi kesilapan yang sama tidak akan terkecuali daripada menerima nasib yang serupa.
Jika pengurusan dana negeri seperti ini berterusan, tidak mustahil sokongan rakyat akan beralih dan menolak kerajaan pusat dalam pilihan raya akan datang.
Sebagai rakyat Terengganu, kita harus terus menuntut hak kita dikembalikan.
Bukan sekadar menunggu ihsan bonus tahunan, tetapi menggesa supaya hasil negeri diserahkan kembali untuk diuruskan oleh kerajaan negeri, sebagaimana yang sepatutnya berlaku.
Islam mengajarkan prinsip keadilan dan amanah dalam pemerintahan, dan kerajaan yang zalim pasti akan menerima akibat daripada kezaliman mereka sendiri.