Sehingga kini mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa hanya sepupu sebelah mak mertua angkat jiran lama pekerja Petronas sahaja yang bising memberikan ulasan dalam isu letupan paip saluran gas Petronas tempohari?
Kenapa tidak kakitangan Petronas sendiri?
Sebabnya polisi Petronas dalam mana-mana krisis, tidak membenarkan mana-mana kakitangannya memberikan sebarang ulasan, kecuali pihak pengurusan tertinggi.
Akibatnya kakitangan itu boleh ditamatkan perkhidmatannya.
Aku menulis kali ini hanyalah untuk memberikan sokongan kepada bekas syarikat yang pernah aku bersama selama hampir 10 tahun.
Aku akan menerangkan secara ringkas dan umum supaya difahami akan betapa ketatnya prosedur keselamatan yang dipraktikkan untuk melaksanakan sebarang kerja dalam mana-mana kawasan operasi industri minyak dan gas, bukan hanya di Petronas, tetapi seluruh dunia.
Apabila ada permintaan untuk melakukan kerja-kerja dalam kawasan operasi samada dari pihak penyelengaraan dalaman mahupun kontraktor, yang pertama wajib ada ialah permit untuk melaksanakan kerja.
Biasa dipanggil Permit To Work (PTW – Bergantung kepada syarikat).
Tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ke kawasan operasi tanpa PTW.
PTW secara ringkasnya ialah perakuan apa kerja yang mahu dibuat, oleh siapa, apa ancaman kepada keselamatan, apa risiko, apa yang perlu dibuat dan PTW ini juga adalah surat perakuan yang akan diambil untuk menjadi bahan bukti utama jika berlaku sesuatu.
Oleh itu hanya beberapa orang sahaja yang boleh masuk ke kawasan operasi tanpa permit iaitu operator, VIP dengan kelulusan pengurusan dan juga penceroboh.
Apabila permit sudah ditandatangani, jika apa-apa berlaku maka operator unit atau kawasan yang memberikan kebenaran permit itu akan ditahan terlebih dahulu.
PTW boleh diibaratkan sebagai ‘sain mati’.
Jika kerja itu melibatkan kerja-kerja yang berisiko tinggi seperti kimpalan yang menghasilkan api yang terbuka, ruang terkurung, penggalian, mengangkat beban yang berat, maka kelulusan permit akan menjadi lebih ketat.
Mungkin tidak cukup dengan penyelia, tetapi perlu pengurusan yang lebih tinggi memberi kebenaran.
Ia akan dikepilkan dengan syarat keselamatan yang lain dan kajian ancaman dan risiko akan dibuat oleh pakar keselamatan.
Ujian mengesan gas di sekeliling tempat yang mahu dilakukan kerja-kerja tinggi risiko itu akan dibuat lebih kerap bagi memastikan kawasan itu benar-benar bebas dari kebocoran gas.
Setelah semua kerja selesai, sebelum diserahkan kembali kepada jabatan operasi, empunya permit mesti memastikan segala peralatan, kebersihan dibuat seperti asal.
Semua pekerja industri merasa malu dan kecewa jika pada satu ketika, berlaku kemalangan dalam kilang (LTI) dan menyebabkan kiraan jam bekerja terpaksa dibatalkan semua kiraannya.
Apalagi setelah berjuta-juta jam bekerja tanpa kemalangan, ia kembali menjadi kosong.
Nama syarikat akan menjadi agak tercemar disamping mungkin terpaksa membayar pampasan.
Sehinggakan semua pekerja dari kalangan operasi apabila di rumah, sentiasa melihat sesuatu yang biasa bagi orang luar industri, tetapi menjadi ancaman keselamatan bagi mereka, dek kerana terbiasa dan waspada dengan kemalangan.
Selain itu, ada jabatan keselamatan yang ditugas untuk memastikan segala pekerjaan dilakukan dengan selamat.
Yang selalu menimbulkan masalah ialah pihak kontraktor yang sering mahu mencari jalan pintas.
Mereka akan cuba memaksa tuan punya kawasan untuk melepaskan kerja mereka sewenang-wenangnya sepertinya kilang minyak dan gas ini tiada peraturan.
Ayat yang sering kami guna secara berseloroh sesama rakan, dia ingat ini kilang kicap?
Tidak cukup dengan kawalan ketat, bagi memastikan semua peralatan beroperasi dengan selamat, ‘preventive maintenance’ yang berkala dirancang dengan begitu sempurna bagi menangani masalah ‘wear and tear’ dan kelangsungan peralatan oleh kumpulan jurutera profesional yang bukan sahaja berpengalaman dalam negeri, malah di peringkat antarabangsa.
Bagi penjagaan paip-paip samada di tempat terbuka mahupun yang terletak di kedalaman beberapa meter dalam tanah akan dipastikan tiada pengaratan berlaku oleh ‘inspection team’ dengan ujian-ujian seperti UT Scan dan lain-lain.
‘Cathodic Protection’ juga salah satu cara bagi memastikan pengaratan dinyahkan dari paip.
Dengan ketebalan paip purata tidak kurang 10mm, ditambah pula gas yang dihasilkan di Malaysia ini ialah ‘sweet gas’ (rendah kandungan sulfur – unsur penyebab pengaratan) menambahkan lagi kekuatan paip dan sangat sukar untuk paip gas pecah kecuali diganggu dengan tekanan atau hentakan yang kuat dari luar.
Untuk kerja-kerja penggalian, layout atau kedudukan untuk paip atau kabel bawah tanah pula akan disediakan untuk dikenalpasti kedudukannya sebelum diberi kebenaran menggali. Ini adalah wajib.
Jadi jika ada kes paip pecah disebabkan penggalian, lebih-lebih lagi jika tiada operator atau penyelia bersama, amat-amat diyakini sesuatu kerja itu dibuat tanpa permit atau menceroboh kawasan operasi.
Dan untuk makluman kepada sesiapa yang bertanya kenapa gas yang bocor itu dibakar dan tidak dipadam?
Kerana itulah cara yang betul untuk melawan gas terbakar.
Tutup semua injap yang bersambung dengan paip terbakar, jika mampu cuba sejukkan kan paip terbabit, kerana jika dipadamkan, nanti gas itu akan menyebar ke kawasan lain dan menjadi ancaman lebih besar.
Apapun mari kita doakan supaya Petronas aset terpenting negara terselamat dari kejahatan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Petronas maju jayaaa
Kemegahan negara kitaa
Semerbak nama seluruh dunia
Petronas maju jayaaa…
Mohd Nasir Abdullah