Susulan insiden letupan paip gas yang menggemparkan Putra Heights baru-baru ini, pasukan Khidmat Malaysia Puchong bersama-sama ARMADA Selangor tampil menghulurkan bantuan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari Selangor yang turut terjejas.
Kompleks tahfiz yang terletak kira-kira 250 meter dari lokasi letupan itu mengalami kesan tempias letupan yang mengakibatkan kerosakan pada struktur bangunan serta kotoran yang perlu dibersihkan segera.
Usaha pembersihan tersebut diketuai oleh Ketua ARMADA Selangor, Saudara Afiq Nardin, bersama anggota pasukannya, dengan kerjasama erat pasukan Khidmat Malaysia Puchong.
Kehadiran mereka disambut baik oleh pihak pentadbiran tahfiz yang terkesan dan memerlukan bantuan segera untuk memastikan kelangsungan operasi institusi tersebut.
Menurut salah seorang sukarelawan, kehadiran pasukan ini bukan sahaja meringankan beban warga tahfiz, malah menyuntik semangat solidariti dan prihatin dalam kalangan masyarakat, terutamanya pasca bencana.
Dalam pada itu, pemimpin tempatan PAS menegaskan bahawa kehadiran mereka bukan hanya terhad kepada memberi kritikan terhadap kelemahan kerajaan, tetapi juga disertai tindakan langsung membantu rakyat semampu mungkin.
“PAS bukan hanya mengkritik, tetapi kami terus aktif membantu sedaya upaya, walaupun dengan kemampuan yang terhad. Kritikan kami adalah demi memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya,” ujar seorang jurucakap PAS tempatan yang turut hadir.
Beliau juga menyelar apa yang didakwanya sebagai tindakan menyekat kebebasan bersuara oleh Kerajaan Madani, termasuk intimidasi politik ke atas pempengaruh dan rakyat yang bersuara.
“Zaman Kerajaan Madani ini, rakyat dikunci mulut dan dipaksa menerima bulat-bulat tindakan yang tidak masuk akal. PAS akan terus bekerja dan bersuara demi kepentingan rakyat. Kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dikekang,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, sebarang tindakan yang menindas suara rakyat merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada prinsip keluhuran perlembagaan.
PAS dan sekutunya di bawah Pemuda Perikatan Nasional terus komited membantu rakyat secara langsung dalam lapangan sambil memperjuangkan kebebasan bersuara serta menuntut ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.