PAS Selangor menggesa agar kebajikan semua mangsa tragedi letupan dan kebakaran di Putra Heights diberi keutamaan sepenuhnya, selain menuntut satu siasatan telus dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menggemparkan negara itu.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar semua yang tercedera diberikan kesembuhan serta ketabahan menghadapi ujian berat tersebut.
“Kesakitan serta kesusahan yang dialami oleh mereka mestilah dihayati oleh kita semua tanpa mengira kaum, agama dan latar ideologi politik,” katanya.
Beliau turut menyifatkan insiden tersebut sebagai satu tragedi besar yang menggamit simpati seluruh rakyat Malaysia. Beliau memuji komitmen dan pengorbanan semua agensi kerajaan dan swasta termasuk petugas Jabatan Amal Malaysia serta Khidmat Malaysia yang bertugas tanpa mengenal penat lelah sejak hari kedua Aidilfitri.
“Khidmat bakti kalian membuktikan bahawa setiap daripada pegawai kerajaan, sektor swasta, NGO dan rakyat di negara kita mempunyai iltizam dan semangat patriotik yang amat tinggi serta kepakaran yang diiktiraf,” ujar Zurk.
PAS Selangor juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, atas ketelusan dalam mengesahkan adanya kerja pengorekan tanah menggunakan jengkaut dan mesin berhampiran lokasi letupan – dipercayai bagi tujuan penggantian paip kumbahan – yang hanya terletak 30 meter dari titik letupan.
Menurut Zurk, banyak persoalan telah dibangkitkan oleh rakyat berhubung insiden ini, termasuk soal kelulusan kerja tanah, permit tamat tempoh, status kontraktor, pemantauan agensi terlibat serta isu pampasan kepada mangsa. Justeru itu, beliau menegaskan, semua pihak berkaitan perlu tampil memberi penjelasan dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.
“Inilah masanya untuk kita meneliti semula dasar dan prosedur yang sedia ada. Kerajaan wajib menunjukkan kepimpinan sebenar yang berteraskan empati dan tanggungjawab terhadap keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
PAS Selangor turut menyeru orang ramai agar terus membantu mangsa tragedi sama ada melalui sumbangan kewangan, sokongan moral, atau sekurang-kurangnya dengan doa agar mangsa diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Tragedi yang berlaku baru-baru ini itu mengakibatkan kecederaan kepada puluhan orang serta kerosakan teruk ke atas harta benda, termasuk rumah dan kenderaan penduduk sekitar Putra Heights.