Tahniah Buat Syeikh Usamah al-Rifa’i, Atas Perlantikan Sebagai Mufti Baharu Syria

Tahniah Buat Syeikh Usamah al-Rifa’i, Atas Perlantikan Sebagai Mufti Baharu Syria

بسم الله الرحمن الرحيم

Kepada Mufti Syria, Sahibus Samahah Syeikh Usamah al-Rifa‘i, semoga anda sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT.

Saya mendoakan agar kalian sentiasa dalam keadaan sihat dan afiat.

Moga kalian sentiasa dikurniakan kemuliaan dan kekuatan secara berterusan.

Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan seluruh anggotanya mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan atas kejayaan kalian menumbangkan pihak yang zalim dan melakukan kejahatan sehingga anda dilantik sebagai Mufti Syria yang baharu.

Sesungguhnya, menghadapi cabaran selepas kemenangan itu merupakan ujian terbesar, kerana ujian agar bersyukur itu lebih hebat daripada ujian untuk bersabar. Firman Allah SWT:

وَقَلِيلٞ مِّنۡ عِبَادِيَ ٱلشَّكُورُ ١٣

“…Dan sememangnya sedikit sekali antara sekalian hamba-Ku yang bersyukur.” [Surah Saba’: 13]

Inilah yang dihadapi oleh kumpulan Islam hari ini yang bersama kebangkitan Islam.

Sesungguhnya, jihad ini tidak akan terhenti dengan kekalahan musuh, malah akan sentiasa berterusan dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan halangan yang mengekang kebangkitan Islam sama ada daripada kalangan musuh luar atau kumpulan Ahzab moden.

Begitu juga, kalangan munafiq yang ada di sekeliling kita yang cuba melemahkan generasi muda dalam kalangan umat Islam.

Inilah ujian terbesar yang berlaku sepanjang sejarah bersilih ganti generasi.

Situasi Dunia Islam Dan Cabaran Semasa

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَكُمۡ هُزُوٗا وَلَعِبٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَٱلۡكُفَّارَ أَوۡلِيَآءَۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٥٧

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54)

Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55)

Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir Musyrik itu – menjadi penolong-penolong! Dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. (57)” [Surah al-Ma’idah: 54–57]

Sabda Rasulullah SAW:

‌إِنَّ ‌اللهَ ‌يَبْعَثُ ‌لِهَذِهِ ‌الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا.

“Sesungguhnya, Allah membangkitkan dalam kalangan umat ini pada setiap 100 tahun seseorang yang membawa pembaharuan dalam urusan agamanya.” [Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4291, daripada Abu Hurairah]

Ayat dan hadis yang dinyatakan ini secara jelas menunjukkan bahawa Allah akan sentiasa memelihara agama Islam hingga akhir zaman.

Umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW menghadapi zaman riddah yang melanda bangsa Arab, apabila kuasa besar dunia ketika itu cuba menjatuhkan kerajaan Islam dan melemahkan umat Islam dari segenap penjuru.

Walau bagaimanapun, Allah tetap menjaga agama-Nya dengan melahirkan generasi para sahabat yang dipimpin oleh Abu Bakar al-Siddiq RA sehingga beliau berjaya memerangi riddah, malah kuasa besar Rom dan Parsi juga berjaya dijatuhkan pada zaman pemerintahan para Khulafa’ al-Rashidin.

Selain itu, Allah juga memelihara Islam daripada fitnah perpecahan dalaman umat Islam, dengan lahirnya sebaik-baik generasi sebagaimana yang telah dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُ ‌النَّاسِ ‌قَرْنِي، ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُمْ، ‌ثُمَّ ‌الَّذِينَ ‌يَلُونَهُمْ.

“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada kurunku, kemudian pada kurun berikutnya, kemudian pada kurun berikutnya.” [Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shahadat, No. 2652, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, No. 2533, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]

Setelah itu umat menghadapi zaman yang menyaksikan berlakunya perselisihan dalam perkara furu‘ (cabang) agama antara kepelbagaian mazhab Islam dalam aspek aqidah, fiqh dan tasawwuf.

Maka, antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, serta ada pula yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.

Maka, Allah melahirkan para ulama’ yang berperanan melakukan islah dan tajdid.

Kemudian, umat menghadapi zaman penjajahan Zionis dan pasukan Salib sehingga lahirnya teori sekularisme berserta ideologinya yang cuba memisahkan urusan kehidupan daripada agama.

Bahkan, juga memaksa umat Islam untuk mempelajarinya dan melaksanakannya dalam keadaan umat yang lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Kumpulan penjajah juga berjaya memecahbelahkan umat Islam dan negaranya kepada bangsa-bangsa selepas kejatuhan kerajaan Islam Turki ‘Uthmaniyyah.

Perkara ini berlaku sebagaimana amaran Rasulullah SAW yang dinyatakan melalui sabdanya:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.

“Hampirlah berlakunya beberapa umat yang lain (bukan Islam) berkumpul mengepung kamu, laksana kumpulan yang mengelilingi hidangan dengan rakus atau gelojoh.”

فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.

Maka, seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu sedikit?” Baginda bersabda, “Bahkan, ketika itu kalian sangat ramai, tetapi kalian laksana sampah sarap yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan rasa hebat terhadap kalian daripada perasaan dalam dada musuh kalian dan Allah mencampakkan dalam jantung hati kalian perasaan al-wahn (hina).”

فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: ‌حُبُّ ‌الدُّنْيَا، ‌وَكَرَاهِيَةُ ‌الْمَوْتِ.

Lalu seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud al-wahn (hina) itu?” Baginda menjawab, “Kasih akan dunia dan takut akan mati.” [Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4297, daripada Thawban bin Bujdud]

Sesungguhnya, umat Islam diuji dengan menuruti kalangan Yahudi Zionis sebagaimana yang telah disebutkan oleh firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ كَٰفِرِينَ ١٠٠

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mentaati suatu puak daripada kalangan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.” [Surah Ali ‘Imran: 100]

Sabda Rasulullah SAW:

‌لَتَتَّبِعُنَّ ‌سَنَنَ ‌مَنْ ‌كَانَ ‌قَبْلَكُمْ، ‌شِبْرًا ‌بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، ‌حَتَّى ‌لَوْ ‌دَخَلُوا ‌ فِي جُحْرَ ‌ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى، قَالَ: فَمَنْ؟

“Sungguh kamu akan terikut-ikut dengan umat pada zaman dahulu sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta; sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, kamu mengikutinya juga. Lalu para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah! Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?’ Sabdanya, ‘Lalu, siapakah lagi?’” [Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya’, No. 3456, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-‘Ilm, No. 2669, daripada Abu Sa‘id al-Khudri]

Namun, cahaya Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW tidak akan dapat dipadamkan sekali-kali, kerana masih terdapat banyak sekolah agama dan pusat pendidikan ditubuhkan di seluruh dunia Islam, di samping sumbangan para ulama’ dalam memelihara ilmu Islam dengan kefahaman yang sebenar.

Setelah itu, negara-negara jajahan diberikan kemerdekaan dan kebebasan selepas keluarnya kumpulan penjajah asing dari tanah jajahannya.

Namun, para penjajah telah merancang suatu bentuk penjajahan moden (neo-kolonialisme) melalui penjajahan pemikiran.

Anak tempatan di negara umat Islam yang mendapat pendidikan Barat dan menjadi pengikutnya dilantik menjadi pemerintah dengan usaha meminggirkan Islam daripada pemerintahan negara sehingga menyebabkan agama sekadar aspek ibadat sahaja.

Walau bagaimanapun, penyelesaian dalam pelbagai lapangan kehidupan yang diimport daripada penjajah itu menemui kegagalan, lalu berlakunya kebangkitan Islam di negara-negara umat Islam sehingga agama Islam semakin tersebar ke negara-negara penjajah itu.

Halangan dan sekatan yang dikenakan oleh penjajah hanyalah membangkitkan kesedaran masyarakat Islam untuk kembali kepada Islam.

Umat Islam tetap menghadapi cabaran dari dalam dan luar akibat kejahilan umat terhadap agama dan juga disebabkan perancangan musuh-musuh Islam yang tidak henti memerangi Islam kerana kedengkian dan kedangkalan mereka terhadap Islam.

Cabaran dalaman yang dihadapi oleh umat Islam berpunca daripada sikap ekstrem (tasyaddud) sebahagian pihak dan sikap bermudah-mudah (tasahul) sehingga membawa kepada perbalahan dan perselisihan yang dicela oleh Islam.

Antara sikap ekstrem yang timbul seperti sikap segelintir pihak yang mengkafirkan Ahli al-Qiblah dan umat Islam disebabkan faktor yang menjadi perselisihan agama dan perbuatan bidaah yang tidak menyebabkan seseorang itu menjadi sesat.

Atau disebabkan oleh pegangan sebahagian umat kepada riwayat hadis Ahad atau hadis daif (lemah), malah hadis mauduk (palsu).

Bahkan, sikap ekstrem itu timbul berpunca daripada kejahilan umat kesan penjajahan yang terlalu lama seperti kalangan negara Komunis yang tidak ada para ulama’ dan ilmu Islam tidak sampai kepada mereka, sehingga menyebabkan mereka jahil terhadap perkara asas dalam Islam.

Namun, mereka itu dianggap Muslim kerana masih ada dalam hati mereka kemanisan iman.

Selain itu, antara cabaran dalaman yang dihadapi oleh umat Islam ialah sikap bermudah-mudah dalam perkara agama.

Sehinggakan, ada sebahagiannya yang menganut fahaman liberalisme, pemikiran Islam sekular (sekularisme) dan lain-lain fahaman serta penyelewengan yang menyesatkan mereka daripada jalan yang benar.

Adapun cabaran luaran yang dihadapi seperti kepungan kumpulan Ahzab moden yang tidak akan mengizinkan sekali-kali walau sedikit ruang untuk ditegakkan Islam dalam pemerintahan di mana-mana negara, sekalipun melalui jalan demokrasi dan secara bebas.

Bagi mereka, tidak wujud istilah demokrasi untuk Islam, begitu juga tidak diizinkan berlaku melalui jalan revolusi dan jihad secara ketenteraan.

Sehinggakan, pihak berkenaan akan dilabel sebagai kumpulan pengganas.

Akan tetapi, isu perjuangan Palestin dan bumi Bait al-Maqdis telah menyatukan seluruh Ahli al-Qiblah melainkan pihak yang telah membezakan antara kiblat ibadat menghadap ke arah Kaabah dengan kiblat politik menghadap ke arah negara kuasa besar dunia.

Maka, para ulama’ pewaris anbiya’ berperanan melaksanakan kewajipan memberikan peringatan agar umat tidak terpesong daripada jalan yang benar. Perkara ini ditegaskan oleh firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampaui (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (Allah) yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Para ulama’ berperanan besar memberi peringatan yang tegas, bukan sekadar menyampaikan ilmu dan berdakwah sahaja. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢

“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya).” [Surah al-Tawbah: 122]

Mudah-mudahan, kalian semua sentiasa dalam keadaan baik dan diberkati untuk berkhidmat kepada Islam dan seluruh umat Islam.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Pemimpin