Isu Tarif Tinggi: Tinjauan Dr. Mahathir Dari Sudut Ekonomi Global

Isu Tarif Tinggi: Tinjauan Dr. Mahathir Dari Sudut Ekonomi Global

Dalam satu penulisan yang sinis namun tajam, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, melontarkan pandangannya mengenai dasar tarif tinggi yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap barangan dan perkhidmatan import.

Walaupun bukan seorang ahli ekonomi, Dr Mahathir menilai kesan dasar ini dari sudut logik perdagangan dan impaknya kepada ekonomi Amerika serta perdagangan global.

Menurut beliau, tarif tinggi yang dikenakan ke atas barangan import bukanlah ditanggung oleh pengeksport luar, tetapi sebaliknya oleh pengimport dan pengguna di Amerika Syarikat sendiri.

Ini kerana syarikat-syarikat Amerika terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi apabila membawa masuk barangan dari luar, dan akhirnya kos itu akan dipindahkan kepada pengguna.

“Presiden Trump mungkin menyangka dasar ini akan menyebabkan industri-industri Amerika kembali beroperasi di tanah air mereka.

“Tetapi proses ini bukan mudah dan memerlukan masa yang lama, bahkan kos pengeluaran di Amerika jauh lebih tinggi berbanding di China atau India,” tulis Dr Mahathir.

Beliau memetik laporan Bloomberg yang menyatakan bahawa Apple akan mengambil masa sehingga lapan tahun untuk memindahkan operasinya dari China ke India, dan jika ingin berpindah semula ke Amerika, tempohnya mungkin lebih lama.

Dalam tempoh itu, Amerika masih perlu mengimport – sesuatu yang bercanggah dengan kehendak dasar ekonomi Trump yang mahu semua produk dibuat di dalam negara.

Lebih membimbangkan, menurut Dr Mahathir, ialah kesan jangka panjang kepada pengguna Amerika.

Mereka akan terus membayar harga yang lebih tinggi akibat tarif ini, sekali gus menyebabkan inflasi berterusan.

“Trump kini bercadang untuk ‘menangguhkan’ import iPhone dari China.

“Tetapi hampir semua iPhone untuk pasaran Amerika dibuat di China.

“Jika tarif tinggi dikenakan, ia tidak lagi boleh dijual pada harga asal.

“Ini bukan sahaja merugikan China, tetapi lebih merugikan syarikat Amerika sendiri,” katanya.

Tambah beliau, hakikatnya banyak produk Amerika Syarikat – termasuk yang digunakan di Malaysia dan negara-negara membangun lain – sebenarnya tidak dibuat di Amerika.

Jadi, pendekatan mewujudkan tembok tarif yang tinggi akan memberi kesan domino kepada ekonomi Amerika sendiri, selain memberi ruang kepada negara-negara lain untuk memperluaskan perdagangan antara satu sama lain tanpa sekatan sedemikian.

Dalam nada berseloroh, Dr Mahathir mempersoalkan berapa banyak ‘penangguhan’ (pause) yang perlu dibuat oleh Trump sebelum dapat melihat hasil yang dikehendaki.

Akhir tulisannya, beliau mencadangkan agar Presiden Amerika itu belajar dari pengalaman Malaysia dalam menguruskan tarif dan perdagangan antarabangsa.

Pandangan kritikal ini membuka dimensi baharu dalam memahami kesan dasar proteksionis dalam dunia yang semakin bergantung kepada perdagangan global.

Meskipun dilihat sebagai usaha melindungi industri tempatan, tarif tinggi tanpa pelan jangka panjang yang realistik hanya akan membebankan rakyat sendiri serta menyulitkan pemulihan ekonomi.

Ekonomi