Taufan al-Aqsa: Jihad Muktamad Pertahankan Masjid al-Aqsa Dan Bumi Palestin

Taufan al-Aqsa: Jihad Muktamad Pertahankan Masjid al-Aqsa Dan Bumi Palestin

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan operasi ketenteraan Hamas yang dinamakan Taufan Al-Aqsa sebagai peperangan jihad yang muktamad dalam mempertahankan tanah suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Zionis-Israel.

Menurut beliau, buat pertama kali dalam sejarah, pertempuran antara pejuang Islam Palestin dan tentera Zionis berlangsung dalam tempoh yang begitu panjang, kini hampir mencecah sebulan, yang sekaligus membuktikan kekuatan luar biasa yang dikurniakan Allah SWT kepada para pejuang Palestin.

“Kita patut rasa berdosa dengan sahabat-sahabat kita di Palestin. Kita menyaksikan mereka dibunuh, rumah mereka dibom, bangunan dimusnahkan… tapi kita hanya mampu melihat, tanpa berbuat apa-apa. Kita rasa bersalah sangat,” kata beliau dalam ucapan penuh emosi pada Himpunan Solidariti Palestin Lipis 2.0 yang berlangsung di Merapoh semalam.

Beliau turut mengulas secara lantang mengenai penglibatan Amerika Syarikat yang terus menjadi pembekal utama senjata kepada rejim Zionis-Israel, disokong oleh negara-negara Eropah seperti England dan United Kingdom, sehingga menyukarkan usaha komuniti antarabangsa menamatkan pertumpahan darah.

“Bila Jordan bawa usul gencatan senjata ke Majlis Keselamatan PBB, 152 negara sokong. Tapi kuasa veto 14 negara lain tolak, maka berterusanlah pembunuhan dan pengeboman,” katanya kesal.

Menurutnya, sejak dua bulan sebelum operasi Taufan Al-Aqsa dilancarkan, Israel sudah pun merancang peta penjajahan baharu termasuk usaha memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke kawasan padang pasir Sinai di Mesir.

“Netanyahu minta kebenaran dari Mesir untuk halau orang Islam Gaza ke Sinai. Tapi Mesir tak setuju. Satu-satunya laluan keluar masuk ke Gaza cuma Rafah, itulah sebabnya bantuan tersangkut,” jelasnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiga buah kontena bantuan daripada PASRelief yang bernilai RM1.7 juta kini masih menunggu kelulusan di sempadan Rafah, kerana Mesir hanya membenarkan 20 kontena masuk sehari, berbanding keperluan lebih 200 kontena.

Kisah penderitaan rakyat Gaza turut dikongsikan Tuan Ibrahim, termasuk kisah menyayat hati seorang kanak-kanak yang memohon kepada Allah agar segera wafat kerana percaya kematian akan membawanya ke syurga yang penuh makanan dan minuman.

Namun di sebalik penderitaan itu, beliau menegaskan semangat juang rakyat Palestin dan keteguhan pejuang Hamas tidak pernah luntur.

“Ulama sedunia telah keluarkan fatwa bahawa adalah wajib bagi negara-negara jiran Palestin seperti Mesir, Jordan, Syria dan Lubnan membuka sempadan dan membantu rakyat Palestin,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, jika pintu sempadan dibuka, beliau menyeru umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk masuk ke Gaza dan bersama mempertahankan bumi suci tersebut.

Program anjuran PAS Kawasan Lipis dengan kerjasama PAS Gua Musang itu turut berjaya mengumpul sumbangan tunai sebanyak RM8,000 dan sebentuk cincin emas untuk disalurkan kepada rakyat Palestin melalui PASRelief.

Minda Pemimpin