Isu terkini yang sedang hangat dibicarakan ialah perang ekonomi yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa dan dalam negaranya sendiri.
Keadaan ini berlaku apabila Presiden Donald Trump mengisytiharkan agenda reformasi ekonomi antarabangsa, serta memaksa negara-negara blok Barat dan lain-lain untuk bersamanya berikutan tindakannya menaikkan tarif perdagangan.
Apabila blok Timur menunjukkan reaksi menentangnya, tiba-tiba ia bertukar menjadi perang ekonomi.
Malah, situasi ini juga boleh menjadi pembakar kepada perang politik, bermula dengan perang dingin, seterusnya menggugat keamanan dunia apabila diikuti dengan peperangan bersenjata.
Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat itu telah mengeluarkan kenyataan yang menghangatkan suhu politik global kerana pendirian politiknya yang sangat kontroversi.
Antaranya ialah kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam dengan pengiktirafan terhadap Bait al-Maqdis sebagai ibu negara Israel, serta usahanya mempengaruhi dunia Islam supaya menjalinkan hubungan normalisasi dengan Israel.
Trump juga bertindak terhadap negara-negara Islam dan kumpulan-kumpulan Islam yang tidak menerima proses normalisasi tersebut dan tidak mengiktiraf negara Israel.
Antara langkah yang paling agresif adalah mengadakan sekatan terhadap negara-negara Islam yang menentang Israel dan menyenaraikan kumpulan-kumpulan anti-Israel sebagai pengganas, walaupun kumpulan tersebut menerima proses demokrasi.
Dunia Islam kini menjadi sasaran baharu Amerika Syarikat secara langsung.
Pada abad yang lalu, merudumnya blok Timur apabila negara Soviet berkecai.
Maka, negara-negara blok Timur mula melaksanakan pembaharuan secara pragmatik dengan memperkenalkan ekonomi bebas yang terbatas.
Negara-negara itu masih menjadi saingan kepada Amerika Syarikat dan rakan-rakannya dalam kalangan kapitalis yang ekstrem.
Walaupun negara-negara umat Islam itu sudah merdeka, namun mereka masih diikat oleh negara bekas penjajah dalam pakatan politik, ketenteraan dan ekonomi.
Antaranya, melalui Komanwel dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di samping kumpulan ekonomi Barat seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Kumpulan 20 (G20), Kesatuan Eropah (EU) dan lain-lain.
Pada mulanya, mereka tidak yang memandang serius kepada dunia Islam yang dijajah oleh kedua-dua blok tersebut.
Hal ini demikian kerana, mereka mengikuti teori Francis Fukuyama bahawa hanya ada kuasa tunggal selepas merudumnya blok Komunis.
Pandangan mereka berubah selepas berlaku kebangkitan semula semangat Islam, antaranya kejayaan Revolusi Islam Iran, kemenangan Mujahidin Afghanistan, dan kemenangan beberapa buah parti Islam.
Bahkan, ada yang berjaya mencapai majoriti dan membentuk kerajaan, walaupun kemudiannya dinafikan seperti yang berlaku di Mesir dan Palestin, serta ada yang dinafikan kemenangan besarnya di beberapa buah negara Islam.
Pada masa yang sama, di beberapa negara berlaku pula kemajuan dakwah, sehingga menembusi negara-negara bukan Islam.
Maka, dunia memandang masih adanya pengaruh Islam yang tidak boleh dipandang ringan.
Hal ini demikian kerana, berlakunya kebangkitan Islam dalam kalangan umat yang sedar semula, sama ada secara ilmu atau pemerhatian terhadap kegagalan agama dan ideologi yang lain.
Islam berbeza ajarannya daripada blok Timur yang berideologi sosialis dan komunis, serta blok Barat yang berideologi liberal kapitalisme.
Kedua-duanya berteraskan prinsip kebendaan (materialisme).
Perbezaannya ialah blok Barat mengamalkan konsep ekonomi bebas berteraskan kapitalisme yang membataskan kepentingan masyarakat, manakala blok Timur pula mengutamakan kepentingan masyarakat dengan meletakkan sempadan yang ekstrem terhadap kebebasan.
Adapun Islam pula bersifat wasatiyyah (pertengahan), berprinsipkan iman (aqidah), dan bersifat saksama dalam mengimbangi kebebasan individu dan masyarakat.
Selain itu, Islam juga berwawasan akhirat dan berprinsipkan iman atau aqidah yang mengawal kebendaan dengan tidak menjadikannya matlamat kehidupan manusia. Firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ وَمَا جَعَلۡنَا ٱلۡقِبۡلَةَ ٱلَّتِي كُنتَ عَلَيۡهَآ إِلَّا لِنَعۡلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِۚ وَإِن كَانَتۡ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَٰنَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٞ ١٤٣
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapakah yang mengikuti Rasul dan siapakah yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.” [Surah al-Baqarah: 143]
Ayat di atas, Allah SWT mengisytiharkan Baitullah atau Kaabah menjadi kiblat ibadah dan titik penyatuan umat Islam bagi semua mazhab, yang dinamakan sebagai Ahli Kiblat.
Islam ialah ajaran yang bersifat wasatiyyah dalam segala aspek kehidupan manusia, merangkumi roh dan jasad, ilmu syarak dan akal, serta melibatkan aspek politik, ekonomi dan sosial.
Selain itu, Islam juga berprinsipkan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Dalam hubungan antarabangsa pada masa kini ialah penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang aktif dalam bidang politik, ekonomi dan media.
Antara objektif pelaksanaan Islam pada zaman awalnya dalam aspek ekonomi, sebagaimana firman Allah SWT:
لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ ٤
“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. [1]
“(Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. [2]
“Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan (Allah) Pemilik rumah ini (Kaabah). [3]
“(Tuhan) yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. [4]” [Surah Quraisy: 1-4]
Islam yang berteraskan ibadah kepada Allah sahaja menjadi anutan semua para anbiya’.
Hal ini termasuklah dalam lapangan dakwah, politik, dan ekonomi yang diambil daripada ajaran Islam yang sempurna.
Semua ini diamalkan di negara yang bertitik tolak daripada kabilah Quraisy di Makkah, yang berasal daripada zuriat Nabi Ibrahim AS yang digelar bapa para anbiya’.
Seterusnya, negara ini mula mengadakan hubungan antarabangsa secara menyeluruh melibatkan negara-negara di timur dan barat.
Antaranya, melalui perdagangan antarabangsa dengan menggunakan jalan ke arah timur dan jalan ke arah barat.
Kesannya, Makkah mula mendapat nafas melalui pergerakan ekonominya daripada sumber timur dan barat.
Sistem ini dilaksanakan pada akhir zaman oleh Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW, dalam negara Madinah sehingga berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia ketika itu, iaitu Parsi dan Rom.
Dalam tempoh beberapa abad selepasnya, Makkah terus menjadi tumpuan perdagangan antarabangsa yang aman dan selamat.
Makkah yang dibuka oleh Nabi Ibrahim AS dihuni oleh penduduk yang semuanya menganut Islam.
Maka, Nabi Ibrahim AS membina kiblat yang menjadi tempat bermukimnya kaum Quraisy, yang kemudiannya melahirkan Nabi Muhammad SAW yang diutus kepada seluruh manusia pada akhir zaman.
Islam, seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, berkonsepkan tiga tonggak seperti berikut:
1. Kiblat Islam Dalam Segala Aspek
Konsep beribadah kepada Allah bersimbolkan Kaabah (Rumah Allah) sebagai kiblat dalam segala aspek kejadian manusia berprinsipkan iman (aqidah) dan rukunnya, serta berwawasan akhirat.
Firman Allah SWT:
قُلۡ إِنَّنِي هَدَىٰنِي رَبِّيٓ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ دِينٗا قِيَمٗا مِّلَّةَ إِبۡرَٰهِيمَ حَنِيفٗاۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١٦١ قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢ لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ١٦٣
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya, aku telah ditunjuki Tuhanku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus, dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang Musyrik.’ [161]
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya, sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. [162]
“Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah).’ [163]” [Surah al-An‘am: 161-163]
Berkiblatkan Baitullah (Kaabah Rumah Allah) yang dibina oleh Ibrahim AS menjadi simbol iman dan ibadah dalam segala aspek termasuk aspek ekonomi, politik dan lain-lain. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]
2. Aspek Ekonomi
Islam menetapkan hak individu dan masyarakat dengan jaminan bekalan yang mencukupi, khususnya dalam aspek keterjaminan makanan (food security).
Adapun menguasai perkara lain pula menjadi fardu kifayah.
Islam juga mengamalkan konsep ekonomi berkebajikan dan menjamin kebebasan terhadap hak individu dan masyarakat yang berbeza dengan fahaman kapitalisme dan sosialisme kerana Islam melibatkan semua dan berprinsipkan aqidah, khususnya beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Islam tidak menyekat kekayaan individu seperti komunisme yang lebih berpihak kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, Islam melarang sifat melampau dan perbuatan monopoli seperti kapitalisme.
Islam memberi kebebasan kepada penganutnya untuk mengumpulkan kekayaan yang halal dan berkat.
Namun begitu, Islam mewajibkan konsep berkebajikan yang menyeluruh melalui zakat fitrah (diri), perniagaan, pertanian, ternakan, dan galian kepada kalangan mereka daripada golongan orang kaya.
Ini menjadi satu bentuk ibadah oleh penganut Islam untuk membantu mereka yang berhajat, termasuklah dengan sedekah wajib dan sunat.
Adapun kepada bukan Islam pula, Islam mengambil bayaran jizyah, kharaj, ‘usyur dan lain-lain.
Hal ini penting supaya kekayaan turun kepada semua masyarakat dan memenuhi segala keperluannya.
Islam berbeza dengan kapitalisme yang memberi kebebasan individu yang rakus tanpa sempadan kerana menggalakkan perlumbaan ekonomi dan mengekalkan hak kemasyarakatan yang lemah.
Sebaliknya, Islam membebaskan penganutnya untuk memiliki kekayaan, tetapi dengan ikatan berkebajikan terhadap masyarakat yang diwajibkan.
Di samping itu, Islam turut menetapkan hubungan dagang di peringkat antarabangsa yang telah berjaya menarik negara-negara dari timur dan barat kerana kestabilan politik dan keamanannya.
Hal ini wujud dengan pelaksanaan syariat dan perlindungan keselamatan dengan kekuatan tentera yang mengawal perjalanan hubungan antarabangsa.
3. Aspek Keamanan dan Keselamatan
Islam mewajibkan persediaan pertahanan yang kuat bagi mengekalkan keselamatan negara dan melaksanakan undang-undang yang menakutkan dengan konsep mendidik masyarakat.
Selain itu, Islam juga mendahulukan perdamaian dalam hubungan antarabangsa.
Semua ini dilaksanakan bagi menegakkan sebuah negara yang dijanjikan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
Islam tidak mengamalkan konsep paksaan, sebaliknya mendahulukan keamanan dan perdamaian.
Hari ini, kita melihat Amerika Syarikat berusaha membaiki hubungannya dengan Rusia dan China, serta mendorong kepada gencatan senjata dalam perang antara Rusia dengan Ukraine.
Hal ini demikian kerana, Amerika Syarikat berhasrat menjadi ketua kepada blok Barat yang dahulunya bersifat kolektif, tetapi kini didesak berada di bawah pengaruh kuasa tunggal Amerika Syarikat.
Beberapa negara dalam blok Barat sebelum ini telah menunjukkan tanda-tanda tidak selesa terhadap pendekatan ini.
Reformasi yang dibawa oleh Donald Trump meletakkan negara-negara lain di bawah Amerika Syarikat sebagai kuasa besar tunggal yang memaksa dunia tunduk di bawah satu blok dengan menjajah negara-negara itu.
Tujuannya adalah untuk menghapuskan peperangan dengan peperangan juga, supaya dapat menjadikan Amerika Syarikat sebagai kerajaan kepada satu dunia yang tidak mempunyai blok lagi.
Namun, teori bahawa hanya satu blok sahaja yang menguasai dunia ini bercanggah dengan tabii manusia dan alam sejagat. Firman Allah SWT:
… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١
“…Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Akan tetapi, Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) ke atas semesta alam.” [Surah al-Baqarah: 251]
Islam menerima konsep perbezaan yang wujud dalam kalangan manusia dari segala aspek termasuk ekonomi.
Perbezaan ini bukanlah untuk dipaksa, tetapi untuk tolong-menolong dan bertukar hasil yang berbeza dengan kebolehan yang berbeza.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Firman Allah SWT lagi:
أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢
“Adakah mereka berkuasa untuk membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad)? Kami telah menentukan bagi mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini (sebahagiannya Kami jadikan kaya-raya dan sebahagiannya miskin menderita); dan juga Kami telah meninggikan darjat sebahagian daripada mereka daripada darjat sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka mendapat manfaat daripada sebahagiannya yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpulkan.” [Surah al-Zukhruf: 32]
Dahulunya, dunia hanya mengenali dua blok utama yang terlibat dalam Perang Dingin.
Blok Barat merangkumi negara-negara Eropah Barat, Amerika Syarikat, dan bekas jajahan takluknya.
Blok Timur pula terdiri daripada negara-negara sosialis, termasuk yang menganut fahaman komunis secara ekstrem.
Maka, berlakulah perang ekonomi bersama Perang Dingin.
Konsep baharu yang dibawa oleh Amerika Syarikat cuba memaksa dunia untuk menghapuskan segala perbezaan kononnya atas nama keamanan.
Pendekatan ini bercanggah dengan tabii manusia dan membebankan negara-negara yang mengikutinya, sehingga akhirnya mereka menjadi negara yang dijajah pula.
Apabila kekayaan menjadi sebab mereka melampau dengan menentang negara-negara yang dianggap mencabarnya, hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧
“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi; tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya, lagi Maha Melihat.” [Surah al-Syura: 27]
Dua perang dunia sebelum ini berlaku setelah penjajah Barat ingin memaksa dunia tunduk di bawah kuasa ekonominya yang menjadi konsep semua ideologi ciptaan manusia.
Hal ini demikian kerana, masing-masing mahu menjadi tuhan yang memerintah dunia melalui kebendaan, lalu menjadikan lawannya membalas dengan agresif sehingga mencetuskan peperangan dunia.
Sering kali, negara-negara kecil dijadikan medan peperangan, dan menjadi mangsa perang yang paling besar jumlahnya, khususnya negara yang berpayung di bawahnya.
Akibatnya, yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.
Amerika Syarikat tetap bertindak memaksa negara lain menerima reformasinya secara paksaan dan ganas, sehingga melabelkan negara yang menentangnya sebagai pengganas.
Ketegangan yang berlaku di Asia Barat akibat tindakan Israel yang dibantu oleh Amerika Syarikat melalui bekalan senjata yang bertali arus, menempah risiko tercetusnya peperangan yang lebih besar.
Semua negara yang berpayung di bawah jajahannya akan memikul beban pelaksanaannya melalui peperangan.
Kelihatan negara-negara Islam masih berbelah bahagi.
Ada negara yang mengamalkan konsep Islam Progresif dan Islam Liberal menerima keadaan ini secara terbuka, termasuk negara-negara Islam yang melakukan normalisasi secara terbuka dalam segala aspek.
Namun begitu, ada juga negara yang menjalinkan hubungan secara tersembunyi, khususnya dalam aspek ekonomi, seperti Malaysia yang menjadikan kiblat solat dan hajinya ke arah Rumah Allah (Kaabah di Makkah) tetapi menjadikan kiblat ekonominya ke arah Rumah Putih (White House) di Washington (Amerika).
Hal ini terbukti melalui hubungannya dengan BlackRock di bawah payung Israel, dan menumpang rezeki daripada Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam aspek ekonomi, banyak sumber ekonomi negara Islam dicurahkan kepada blok Barat.
Jika dilihat melalui perang tarif, ada kesan positif dan negatifnya, namun semuanya menyumbang kepada ekonomi Israel yang telah menjadikan Amerika Syarikat sebagai khadamnya.
Hal ini demikian kerana, penentu kemenangan Presiden Amerika Syarikat adalah melalui siapa yang paling kuat menyokong Israel.
Sepatutnya, negara-negara Islam yang kaya dengan sumber bumi dan tenaga manusianya, serta berada di tempat yang paling penting sepanjang laluan antarabangsa – dari Selat Melaka, Laut Merah, Terusan Suez, Selat Gibraltar, Laut Hitam ke Jalan Sutera – mengadakan gabungannya sendiri di samping memperkasakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) yang lemah.
Seterusnya, mengajak negara-negara sahabat dalam benua Asia, Afrika dan Amerika Latin yang telah memutuskan hubungan dengan bekas penjajahnya iaitu Barat.
Selain itu, mengadakan hubungan dengan negara-negara Eropah yang tidak bersama Barat.
Tujuannya untuk membentuk satu blok politik dan ketenteraan bersama yang mampu menjadikan Islam sebagai kuasa besar semula.
Maka, tidak mustahil Islam kembali berkuasa menyelamatkan dunia.
Umat Islam hendaklah mengambil iktibar daripada sikap Rasulullah SAW pada zaman awal Islam dalam menghadapi pertarungan dua kuasa besar Parsi dan Rom dengan berpihak kepada Rom. Firman Allah SWT:
الٓمٓ ١ غُلِبَتِ ٱلرُّومُ ٢ فِيٓ أَدۡنَى ٱلۡأَرۡضِ وَهُم مِّنۢ بَعۡدِ غَلَبِهِمۡ سَيَغۡلِبُونَ ٣ فِي بِضۡعِ سِنِينَۗ لِلَّهِ ٱلۡأَمۡرُ مِن قَبۡلُ وَمِنۢ بَعۡدُۚ وَيَوۡمَئِذٖ يَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٤
“Alif Lam Mim. [1]
“Telah dikalahkan bangsa Rom. [2]
“Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah mengalami kekalahan itu akan beroleh kemenangan. [3]
“Dalam masa beberapa tahun lagi. Bagi Allah jua segala urusan sebelum dan setelah (mereka mendapat kemenangan). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. [4]” [Surah al-Rum: 1-4]
Nilailah sendiri mana yang lebih ganas terhadap dunia Islam – adakah Amerika Syarikat yang sedang berperang di Ukraine menentang Rusia atau China dan Korea Utara yang tidak keras terhadap Islam.
Manakah yang lebih ringan mudaratnya terhadap Islam?
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS