Kebakaran Di Palestin Yang Dijajah: Sebuah Peringatan Tentang Projek Penjajahan Zionis

Kebakaran Di Palestin Yang Dijajah: Sebuah Peringatan Tentang Projek Penjajahan Zionis

Israel kini berhadapan dengan krisis ekologi apabila kebakaran hutan besar-besaran melanda kawasan berhampiran Al-Quds yang dijajah.

Selama dua hari berturut-turut, pasukan bomba bertungkus-lumus mengawal api yang marak, yang telah memaksa ribuan penduduk berpindah dan menyebabkan penutupan laluan komunikasi utama.

Kecemasan ini, yang telah menarik perhatian antarabangsa, mendorong Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengisytiharkan darurat dan memohon bantuan antarabangsa.

Walaupun gambar-gambar pasukan bomba memadam api tampak mengharukan, bencana ini seharusnya menjadi isyarat amaran tentang lapisan yang lebih mendalam yang sedang terbakar – dari segi landskap dan sejarah.

Kebakaran ini bukan sekadar fenomena semula jadi, tetapi turut memperlihatkan aspek kolonial yang mendalam pada wilayah tersebut.

Api yang menyala telah membakar – secara simbolik dan literal – sebuah landskap yang dicipta melalui projek yang sejak awal ditujukan untuk mengubah tanah demi tujuan politik, lebih daripada sekadar pertanian atau ekologi.

Hutan-hutan yang kini terbakar bukanlah hasil alam semula jadi tempatan, tetapi adalah hasil campur tangan asing: Dana Kebangsaan Yahudi (Jewish National Fund, JNF) menanam spesies pokok seperti pain dan eukaliptus, yang berasal dari Eropah dan Australia – pokok yang terkenal sangat mudah terbakar dan memerlukan banyak air.

Pokok-pokok ini ditanam di atas runtuhan kampung-kampung Palestin yang dihancurkan semasa Nakbah 1948 – suatu tindakan simbolik yang menyembunyikan keganasan penjajahan Zionis di sebalik tabir kehijauan.

Penghijauan di Palestin yang dijajah merupakan salah satu tonggak utama dalam pembinaan negara Israel, yang digerakkan bukan sahaja atas dasar pertanian, tetapi sebagai alat pembentukan identiti dan kawalan ke atas wilayah.

Perdana Menteri pertama Israel, David Ben Gurion, dalam ucapan sulungnya di Knesset pada tahun 1951, menyeru Zionis untuk “membuat padang pasir berbunga.”

Ungkapan ini telah menjadi mitos pengasas paling ikonik dalam ideologi Zionis, yang bukan sahaja menyeru penciptaan entiti baharu, tetapi juga untuk mencipta semula sebuah “tanah kosong” yang harus diubah oleh tangan manusia – secara khususnya oleh pendatang Zionis.

Melalui penanaman pokok-pokok ini, Ben Gurion bukan sahaja bertujuan mencipta pekerjaan dan menguatkan ikatan emosi pendatang terhadap tanah, tetapi juga untuk membina hubungan simbolik dengan wilayah tersebut.

Penghijauan ini adalah tindakan perampasan tanah, transformasi landskap, dan penciptaan naratif kebangsaan baharu yang menghapuskan jejak rakyat Palestin yang diusir.

Proses ini sesuai dengan salah satu ideologi penjajahan yang paling berterusan dalam sejarah: mitos Terra Nullius, iaitu idea tentang tanah tanpa penghuni – tanah yang didapati kosong dan oleh itu, boleh dijajah.

Menurut mitos ini, Palestin adalah wilayah tidak berpenghuni, gurun yang gersang dan hanya memperoleh nilainya selepas ketibaan pendatang Zionis.

Naratif ini, yang masih wujud dalam wacana kontemporari Israel, berpaksikan pada tanggapan bahawa hanya orang Yahudi yang mampu “menebus” tanah itu dan menjadikannya subur.

Dalam kerangka ini, rakyat Palestin bukan sahaja dihapuskan dari pandangan, malah dianggap tidak mampu untuk mengusahakan tanah mereka sendiri – justifikasi utama penjajahan.

Mitos “menyuburkan padang pasir” ini adalah contoh jelas bagaimana pendatang Zionis menggunakan retorik ketamadunan untuk mewajarkan pengusiran dan pemusnahan komuniti Palestin.

Naratif ini dibina di atas stereotaip orientalis yang menggambarkan Asia Barat sebagai mundur, primitif dan rosak – wilayah yang menurut visi penjajah hanya boleh “dicivilize” oleh orang Eropah (atau dalam konteks ini, Yahudi Eropah).

Dalam masa yang sama, ia adalah satu projek yang bukan sahaja merampas tanah rakyat Palestin, tetapi juga merampas sejarah, identiti dan hak mereka.

Penjajahan Palestin dari sudut kolonial bukan sahaja direalisasikan melalui perampasan tanah, tetapi juga melalui transformasi landskap bagi menghapuskan sebarang kesan kewujudan rakyat Palestin.

Paksi Mujahiddin dan Republik Islam: Penentangan Anti-Kolonial yang Berakar dalam Tatabahasa Islam

Dalam konteks ini, kewujudan politik Republik Islam Iran dan Paksi Mujahiddin (Axis of Resistance) muncul sebagai satu respons anti-kolonial terhadap projek penjajahan Zionis.

Sejak penubuhannya pada tahun 1979, Republik Islam telah menawarkan satu perspektif alternatif kepada naratif hegemonik yang membenarkan kolonialisme Zionis atas nama tamadun dan konsep “penebusan” padang pasir.

Mujahiddin Islam, yang banyak dizahirkan melalui figura Revolusi Islam dan kemudiannya pengukuhan Hizbullah, telah menjadi kekuatan politik utama di rantau ini yang secara terbuka mencabar cita-cita peluasan wilayah Israel.

Wacana anti-kolonial Paksi Mujahiddin ini berasaskan kepada satu tatabahasa Islam yang mengiktiraf perjuangan membebaskan Palestin sebagai sebahagian daripada perjuangan lebih besar menentang struktur kolonial global.

Pendekatan ini bukan sahaja menentang kolonialisme Zionis, tetapi juga dinamika neokolonial yang mencirikan campur tangan kuasa-kuasa asing di rantau ini.

Dalam konteks ini, perjuangan rakyat Palestin merupakan sebahagian daripada penentangan rakyat Asia Barat dan wilayah lain terhadap kuasa-kuasa kolonial yang, dalam usaha mereka untuk menguasai, telah merombak sempadan dan lanskap mengikut kepentingan geopolitik mereka sendiri.

Penentangan Iran terhadap kolonialisme Zionis sangat berkait rapat dengan visi Islam yang memperjuangkan hak menentukan nasib sendiri bagi golongan yang tertindas dan menentang segala bentuk kezaliman.

Wacana Revolusi Islam, dengan penekanan terhadap keadilan sosial, penentangan terhadap kezaliman, dan perpaduan umat Islam, menjadi asas penting dalam membentuk satu gerakan penentangan yang bukan sahaja menolak projek Zionis tetapi juga menentang bentuk-bentuk penindasan yang dipelihara oleh kuasa-kuasa Barat — yang kebanyakannya adalah sekutu rapat Israel — di rantau ini.

Penentangan ini bukan sahaja melawan pendudukan Israel, malah turut mencabar naratif Terra Nullius — iaitu dakwaan bahawa Palestin adalah tanah kosong yang menanti untuk dimajukan.

Sebaliknya, ahli-ahli Paksi Mujahiddin mempromosikan visi anti-kolonial yang mempertahankan hak sejarah rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mendapatkan kembali tanah air mereka.

Perjuangan menentang kolonialisme Zionis juga telah melahirkan satu wacana dekolonisasi yang melangkaui sempadan Palestin.

Paksi Mujahiddin menekankan kepentingan perjuangan bukan sahaja terhadap pendudukan Israel, tetapi juga terhadap struktur kuasa global yang telah mengekalkan dominasi kuasa-kuasa asing ke atas dunia Arab dan Islam.

Visi ini menjadi satu kesinambungan perjuangan anti-imperialis dari perspektif Islam, yang bukan sahaja mempersoalkan penjajahan Palestin tetapi juga campur tangan Barat di konteks geopolitik lain dalam dunia Islam.

Maka, tatkala api membakar hutan-hutan yang ditanam oleh Zionisme, ia mendedahkan satu sejarah yang masih berdegil untuk dilenyapkan — satu perjuangan yang terus hidup dalam penentangan rakyat Palestin dan dalam komitmen mereka yang menentang kolonialisme Zionis.

Palestin