Dr Sam Dari PAS Calon PM Paling Layak

Dr Sam Dari PAS Calon PM Paling Layak

Pemilihan PKR bukanlah pemilihan penting bak melantik seorang Perdana Menteri di Parlimen.

Ia adalah pemilihan antara keluarga mereka sahaja.

Sebuah parti yang sarat dengan kekotoran, tidak layak bercakap untuk menentukan masa depan negara yang bersih.

Presiden mereka hanya bernasib baik naik menjadi PM kerana mendapat tongkat dari Umno, parti yang kotor, korup dan kejahatan menimbun sebelum ini, sebagaimana perakuan, tuduhan dan gelaran dari mulut PMX sendiri sebelum PRU-15.

Seperti yang ramai sudah merasa mual dengan kebisingan PKR berkempen, makin orang berfikir siapa yang sepatutnya menjadi PM Malaysia.

Walau bising dan tidak disukai orang, namun itulah skrip yang mereka mahu tancapkan dalam minda rakyat Malaysia, menjadi buah mulut orang.

Masuk juga dalam perangkap mereka bagi menonjolkan antara mereka, siapa yang layak menjadi PM.

Dibuat-buatlah perbalahan, konon ada konspirasi sesama mereka.

Rakyat yang dikasihi, berfikirlah secara matang dalam menentukan siapa ketua negara, supaya tidak didoktrinkan oleh mereka yang mempunyai agenda tertentu.

Jelas sekali semua rakyat Malaysia sudah tahu yang kedua ini kononnya calon dalam satu pasukan untuk memerintah negara, adalah datangnya dari parti yang pernah menipu rakyat malahan kepada ahli mereka sendiri.

Sehingga sekarang tiada permohonan maaf atau pengakuan kesalahan yang telah mereka lakukan itu kepada pengundi.

Pernah menipu rakyat

Kita terpaksa menyebut penipuan mereka terutama dalam manifesto PRU dahulu.

Sehinggakan rakan mereka sendiri dari NGO seperti Bersih, menyindir PH kerana tidak menunaikan janji-janji mereka, terutama isu integriti bagi mengubah sistem lantikan, tender, pembasmian rasuah yang mereka sendiri katakan korup dahulu.

Kita imbau juga kejahatan sesama mereka dalam memfitnah allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim demi memenuhi tuntutan nafsu mereka.

Ahli ditipu malah, rakan satu pakatan juga terkena tahinya.

Antara Rafizi dan Izzah, tiadalah kurang penipuan mereka.

Izzah pernah berjanji jika PH memerintah akan menghapuskan banyak benda, konon sebagai membebankan rakyat.

Sayangnya, beliau yang kalah PRU, mendapat jawatan besar disebalik janji menghapuskan beban rakyat.

Lebih dari itu, beliau sekarang muncul dengan cita-cita besar untuk menjadi PM Wanita Pertama Malaysia.

Senarai penipuan Rafizi, tidak perlulah kita sebut kerana aku yakin, ia sudah dihafal oleh majoriti rakyat Malaysia.

Kesungguhan PH untuk menonjolkan kedua-dua mereka ini, tidak terhenti disitu sahaja.

Mahu pula diaturkan program debat terbuka.

Tidakkah terfikir kita yang mereka berebut jawatan Timbalan Presiden parti, tetapi mahu berdebat terbuka.

Apa lagi jika tidak kerana mahu seluruh rakyat mendengar ‘formula-formula’ baharu mereka dan bercakap serta berbincang akan hal itu.

Sedangkan kita tahu mereka terkenal sebelum ini kerana ‘formula-formula’ yang gagal dilaksanakan dengan baik.

Bahkan juga banyak ‘formula’ BN diguna pakai semula.

Mereka cuba memaksa rakyat menerima mereka dengan membuat sesuatu yang popular, bukan dengan ikhlas rakyat.

Kenapa Dr Sam lebih layak?

Namun berlainan dengan Dr Sam.

Pernah mendapat sokongan oleh rakyat untuk menjadi PM-11.

Tiada apa-apa kempen PAS ke arah menjadi PM, tetapi rakyat sendiri yang membuat gelombang ketika PRK Kemaman secara tiba-tiba.

Ini jelas menjadi harapan rakyat kerana melihat sendiri kejayaan beliau mengemudi Terengganu, apatah lagi dengan kejayaan menunaikan 20 manifesto PRU-14.

Betapa ia menjadi satu gelombang harapan rakyat Malaysia untuk mempunyai seorang PM yang bijak, amanah, berintegriti yang dibimbing ulamak.

Dr Sam tidak menerima apa-apa pusaka jawatan dari ayahanda beliau kerana beliau naik atas kekuatan dan kebijaksanaan beliau sendiri, bukan kerana kroni.

Dr Sam juga tidak sukakan terlalu banyak publisiti.

Beliau kerja dalam diam, tunjuk hasil.

Berbeza dengan Rafizi dan Izzah dan juga papanya yang sering bising mencari publisiti.

Dr Sam bukan pakar ekonomi, tetapi tahu apa yang patut dilakukan dengan wang yang diamanahkan kepada beliau.

Bahkan pembangkang juga mendapat peruntukan penuh bagi Dun masing-masing.

Tiada berbelit-belit macam royalti, jika itu hak, beliau bagi, senang.

Usai PRK, seranganpun berlaku demi menjatuhkan maruah Dr Sam sebagai seorang manusia.

Dihina, dikekang pergerakan, disekat peruntukan, dituduh sebagai tidak pandai memerintah, mengemis Pusat kerana PKR mahu menaikkan individu yang pernah menipu sebagai PM masa hadapan.

Namun sehingga kini, masih kuat gelombang rakyat yang mahukan Dr Sam menjadi PM.

Sebab itu dalam serangan ataupun ceramah jelajah PKR itu yang diserang Rafizi ialah Sanusi, bukan Dr Sam.

Dibodoh-bodohkan Sanusi, sehingga cerita zaman sekolahnya dikorek-korek.

Tetapi tidak pula mereka menyebut sejarah zaman persekolahan Dr Sam, kerana seboleh-bolehnya nama Dr Sam tidak mahu disebut takut nanti rakyat akan disegarkan semula ingatan mereka bahawa ada seorang lagi calon PM yang lebih layak yang jauh lebih dipercayai ketimbang Rafizi dan Izzah, iaitu Dr Sam.

Oleh itu, kenapa rakyat Malaysia yang bijak mahu berangan untuk melihat Malaysia ini lebih aman dan makmur di bawah pemerintahan Izzah atau Rafizi sebagai PM Malaysia, sedangkan Terengganu, jelas menjadi bukti realistik yang Dr Sam sangat layak mentadbir.

Mengapa kita hendak mempertaruhkan negara kita kepada mereka yang pernah menipu rakyat secara terang-terangan tanpa segan silu dahulu?

Malahan negeri-negeri yang diperintah PAS secara keseluruhannya tiada rekod salah laku pentadbiran semenjak 1959 lagi dan PAS mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen.

Sedangkal itukah kita berfikir untuk berikan kuasa negara kepada orang pernah menipu rakyat?

Nasib baik Pudin tak masuk tanding, kalau Pudin menang, takut dia jadi Putin lepas ni.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis