Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru masyarakat dunia agar bangkit mengatasi rasa takut terhadap Amerika Syarikat (AS) demi menghentikan genosid yang sedang berlaku di Gaza.
Dalam satu kenyataan tegas di platform media sosial X (dahulunya Twitter), tokoh negarawan veteran itu menyatakan bahawa ketakutan terhadap kuasa besar seperti AS tidak seharusnya menghalang negara-negara lain daripada bertindak demi menyelamatkan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
“Kita takut kepada Amerika. Tetapi kita mesti mengatasi ketakutan ini. Terdapat cara untuk menghentikan pembunuhan ini,” tulis beliau dalam hantaran tersebut.
Tun Mahathir turut menegaskan bahawa sokongan padu AS terhadap rejim Israel menjadi penghalang utama kepada tindakan global untuk membantu rakyat Gaza yang sedang menderita akibat serangan tidak berperikemanusiaan.
“Dan dunia tidak dapat berbuat apa-apa. Kenapa? Kerana yang menyokong sepenuhnya genosid oleh Israel ialah rakyat Amerika sendiri. Inilah golongan yang begitu lantang bercakap mengenai hak asasi manusia, kesucian nyawa dan sebagainya,” katanya lagi.
Kenyataan lantang ini mencerminkan kekecewaan mendalam Tun Mahathir terhadap sikap hipokrit kuasa-kuasa besar yang kononnya memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan, tetapi pada masa yang sama menyokong tindakan keganasan yang mencabuli undang-undang antarabangsa dan prinsip moral sejagat.
Beliau juga menyeru agar masyarakat antarabangsa tidak terus membisu dan menyerah kepada tekanan geopolitik, sebaliknya berani mengambil pendirian moral untuk membela nasib rakyat Palestin.
Tun Mahathir sebelum ini sering mengkritik dasar luar Amerika Syarikat dan sikap berat sebelah Barat dalam isu konflik Israel-Palestin.
Beliau juga dikenali sebagai antara pemimpin dunia Islam yang paling konsisten menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Konflik di Gaza telah meragut ribuan nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Namun, tekanan diplomatik untuk menghentikan keganasan masih berdepan dengan kekangan besar akibat kuasa veto dan pengaruh politik negara-negara besar.
Dengan suara lantang seperti Tun Mahathir, harapan untuk melihat tindakan tegas dan bersatu daripada komuniti antarabangsa terhadap kekejaman di Gaza diharapkan tidak akan terus tenggelam dalam lautan ketakutan dan kepentingan geopolitik.