Baru-baru ini, tindakan pihak berkuasa tempatan memasang papan tanda larangan terhadap amalan homoseksual mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Ada yang menyambut baik usaha ini sebagai langkah mencegah kerosakan moral, namun tidak kurang juga yang mengecamnya sebagai tindakan “hate speech”, menyekat hak asasi manusia dan menyemai sikap tidak toleransi dalam masyarakat.
Namun, dalam perspektif Islam, usaha menzahirkan larangan terhadap kemungkaran bukanlah manifestasi kebencian peribadi, tetapi merupakan tanggungjawab syarak yang disandarkan kepada wahyu.
Sejarah membuktikan bahawa umat terdahulu seperti kaum Nabi Lūṭ عليه السلام telah dibinasakan kerana memperjuangkan normalisasi hubungan sejenis secara terbuka dan mencabar hukum Allah SWT.
Homoseksual: Perbuatan Keji yang Dilaknat dalam al-Qur’an
Perbuatan homoseksual bukan sahaja ditegah, malah ia diklasifikasikan sebagai الفاحشة (perbuatan paling keji) dalam banyak ayat al-Qur’an.
Ia merupakan satu perlanggaran nyata terhadap fitrah kemanusiaan yang Allah SWT ciptakan.
Firman Allah SWT:
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةًۭ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ مُّسْرِفُونَ
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas” (Surah al-A‘rāf: 81)
Lebih parah, kaum Nabi Lūṭ bukan sahaja melakukan perbuatan terkutuk ini, malah mereka bermegah, mempertahankan cara hidup tersebut dan menentang mana-mana pihak yang cuba menghalangnya.
Sikap ini amat mirip dengan aktivis LGBT hari ini yang menuntut pengiktirafan dan kebebasan mutlak seperti yang diperjuangankan oleh golongan “Justice For Sisters (JFS), walaupun ia jelas bercanggah dengan nilai moral, agama dan budaya timur.
Papan Tanda: Dakwah Amar Makruf, Bukan Hasutan Benci
Langkah pihak berkuasa memasang papan tanda seperti “Hindari LGBT”, “Lelaki Sejati Bersama Wanita” atau simbol larangan homoseksual bukanlah provokasi kebencian.
Sebaliknya, ia adalah bentuk dakwah umum yang bertujuan mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan mungkar serta mengingatkan umat Islam tentang garis panduan syariah.
Kita melihat bahawa Nabi Lūṭ عليه السلام sendiri telah menegur kaumnya secara terbuka dan berulang kali.
Firman Allah SWT:
أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ
“Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?” (Surah an-Naml: 54)
Oleh itu, pemasangan papan tanda larangan homoseksual adalah lanjutan kepada misi dakwah amar makruf nahi mungkar yang dituntut oleh syarak, bukan seruan kepada permusuhan.
Tanggungjawab Mencegah Kemungkaran
Islam menegaskan bahawa setiap Muslim mempunyai tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran dalam ruang kemampuan masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ رَأَىٰ مِنكُم مُّنكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَٰلِكَ أَضْعَفُ ٱلْإِيمَانِ»
“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan, jika tidak mampu maka dengan lisan, dan jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)
Papan tanda boleh dikira sebagai “lisan kolektif” masyarakat Islam dalam menyuarakan penolakan terhadap perbuatan dosa secara aman, sah dan bertanggungjawab.
Benci Dosa, Bukan Benci Manusia
Islam tidak mengajar umatnya membenci manusia secara semberono.
Tetapi Islam mengajarkan kita untuk membenci dosa, bukan pelaku.
Namun apabila seseorang berbangga dengan dosa dan berusaha menormalisasikannya dalam masyarakat, maka itu adalah satu bentuk kerosakan yang perlu dicegah sebelum menjadi wabak.
Allah SWT berfirman:
فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
“Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-A‘rāf: 103)
Dalam kisah Nabi Lūṭ عليه السلام, Allah SWT menghancurkan kaum tersebut bukan kerana mereka “berbeza orientasi”, tetapi kerana mereka mempertahankan dosa, mencabar agama dan enggan kembali kepada kebenaran.
Kesimpulan
Papan tanda larangan homoseksual bukanlah lambang kebencian yang tidak bertamadun, tetapi simbol dakwah dan kasih sayang terhadap umat – supaya kita tidak mengulangi kesilapan kaum terdahulu yang dihancurkan akibat menolak peringatan.
Ia adalah ikhtiar amar makruf nahi mungkar yang masih dalam ruang undang-undang dan nilai Islam.
Sudah sampai masanya masyarakat Muslim lebih berani mempertahankan kebenaran dan tidak terpengaruh dengan istilah-istilah liberal yang mencairkan prinsip agama atas nama hak asasi.
Dakwah dan pencegahan adalah tanda sayang – bukan benci.