Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hari ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Dr. H. Almuzzammil Yusuf, M.Si atas pelantikan beliau sebagai Presiden baharu Partai Keadilan Sejahtera (PKS) bagi sesi 2025–2030. PAS turut mengucapkan tahniah kepada H. Mohamad Sohibul Iman, Ph.D atas pelantikan semula beliau sebagai Ketua Majelis Syura PKS bagi tempoh yang sama.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, beliau menzahirkan keyakinan bahawa pelantikan dua tokoh berwibawa ini akan terus memperkukuh hala tuju perjuangan Islam di bumi Indonesia. Katanya, kedua-dua pemimpin tersebut memiliki latar belakang kepimpinan yang berpengalaman serta komitmen yang tinggi terhadap agenda Islam dan pembelaan terhadap rakyat.
“PAS yakin bahawa dengan kepimpinan yang berwibawa, berpengalaman serta komited terhadap perjuangan Islam dan pembelaan rakyat, PKS akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh demokrasi, memperjuangkan keadilan sosial dan membina kekuatan ummah di bumi Indonesia,” jelas Presiden PAS.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat yang terjalin antara PAS dan PKS sejak sekian lama adalah berasaskan ukhuwah Islamiyah, semangat dakwah, serta kesepaduan siasah Islamiyah. Hubungan ini, menurutnya, akan terus diperkukuh demi menghadapi cabaran globalisasi dan meletakkan suara umat Islam di rantau Asia Tenggara pada kedudukan yang bermaruah dan strategik di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama PAS dan PKS tidak hanya bertumpu pada agenda politik semata-mata, tetapi juga melibatkan pertukaran idea, gerak kerja dakwah serta pengukuhan nilai-nilai Islam dalam masyarakat serantau. Kita percaya perjuangan ini akan menjadi saham amal soleh yang membawa kejayaan dunia dan akhirat,” ujar beliau.
Di akhir kenyataan, Presiden PAS mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan keberkatan kepada kedua-dua tokoh serta seluruh kepimpinan dan anggota PKS dalam meneruskan perjuangan Islam di pentas Indonesia yang semakin mencabar dan dinamik.