Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu balistik ke atas wilayah yang dijajah Israel pada malam Jumaat, sebagai tindak balas terhadap serangan Israel sebelum ini yang membunuh puluhan orang awam, pegawai tentera dan saintis nuklear di Iran.
Dalam satu kenyataan, IRGC menyatakan bahawa Angkatan Bersenjata Iran berjaya mengenai puluhan pangkalan tentera dan risikan di wilayah yang diduduki, termasuk beberapa lokasi pengeluar senjata.
“Imej satelit dan maklumat risikan menunjukkan puluhan tapak strategik telah berjaya disasarkan, meskipun musuh mendakwa berjaya memintas serangan,” menurut kenyataan itu.
Rakaman video yang dirakam oleh penduduk Israel turut menunjukkan kerosakan di beberapa lokasi di Tel Aviv.
Pelabuhan Haifa turut menjadi sasaran.
Pegawai Iran menyatakan bahawa beberapa gelombang serangan baharu akan dilancarkan oleh pasukan Perlawanan yang bersekutu di rantau ini dalam beberapa jam akan datang.
Laporan juga menunjukkan bahawa Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan NATO telah membantu Israel dalam usaha menangkis peluru berpandu Iran, namun usaha tersebut tidak mencapai jangkaan.
Serangan ini berlaku serentak dengan ucapan Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei, yang menegaskan bahawa Angkatan Bersenjata Iran akan menjadikan Israel “tidak berdaya.”
“Sudah pasti, Angkatan Bersenjata Republik Islam akan memberikan tamparan hebat kepada musuh yang jahat,” tegas beliau.
Sebelum operasi dijalankan, Ketua IRGC, Mohammad Pakpour, memberi amaran bahawa tindakan balas Iran akan “membuka pintu neraka” buat Israel, dan menyifatkan serangan itu sebagai “pahit dan menyakitkan.”
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf pula menegaskan bahawa walaupun rejim Zionis memulakan konflik, Iran yang akan menentukan penamatnya.
Seorang pegawai kanan IRGC turut memberitahu media Iran bahawa sekiranya Israel meneruskan tindakan bermusuh terhadap tapak awam, fasa seterusnya bagi tindakan balas Iran akan menyasarkan infrastruktur ekonomi dan sosial rejim Zionis.
Selain bangunan kediaman, kemudahan nuklear utama Iran di wilayah tengah Esfahan yang dikenali sebagai Natanz turut diserang beberapa kali oleh Israel sepanjang hari Jumaat.
Walaupun struktur bawah tanah yang dilindungi tidak berjaya ditembusi, beberapa kerosakan dilaporkan berlaku di bahagian atas tanah.
Sekurang-kurangnya dua jet pejuang Israel jenis F-35 berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Iran.
Seorang juruterbang telah ditangkap.