Tentera Darat Iran (Artesh) mengesahkan kejayaan menembak jatuh sebuah lagi jet pejuang F-35 milik rejim Zionis, menjadikan jumlah keseluruhan tiga buah pesawat tempur canggih Israel yang telah berjaya dineutralkan sejak bermulanya konflik pada hari Jumaat.
Menurut laporan daripada wartawan televisyen nasional Iran, pesawat F-35 ketiga itu dipercayai ditembak jatuh di wilayah barat Iran menggunakan sistem pertahanan udara buatan tempatan.
Juruterbang pesawat berkenaan berjaya keluar menggunakan kerusi anjal dan telah ditahan oleh pasukan keselamatan Iran.
Sebelum ini, dua lagi pesawat F-35 Israel telah ditembak jatuh oleh Iran.
Salah seorang juruterbang dipercayai terbunuh, manakala seorang lagi turut ditahan pihak berkuasa Iran.
Kejayaan ini menandakan kegagalan besar sistem senjata dan perisikan Israel dalam menghadapi kekuatan pertahanan Iran yang semakin canggih.
Serangan Zionis Cetus Perang Terbuka
Ketegangan ini meletus selepas Israel melancarkan serangan ke atas kawasan kediaman di Tehran, yang mengorbankan sekitar 100 rakyat Iran, termasuk pegawai tentera kanan dan saintis nuklear.
Selain itu, Israel turut menyasarkan beberapa kemudahan nuklear dan pangkalan tentera Iran di pelbagai lokasi dalam negara.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan lima gelombang serangan peluru berpandu balistik yang memusnahkan atau merosakkan lebih 150 sasaran strategik milik Zionis, termasuk pusat ketenteraan, perisikan dan kilang senjata.
Serangan turut disusuli dengan pelancaran dron kamikaze yang menyerang sasaran-sasaran tambahan di wilayah yang diduduki rejim Zionis.
Laporan terkini menunjukkan Iran masih meneruskan serangan ke atas aset ketenteraan Israel dengan gelombang serangan yang lebih berat dijangka menyusul dalam beberapa jam akan datang.
Kejatuhan F-35 Simbol Kejatuhan Arogansi Teknologi Zionis
Penganalisis ketenteraan melihat kejayaan Iran menembak jatuh jet pejuang F-35 – yang dianggap sebagai simbol keunggulan udara Israel dan Amerika Syarikat – sebagai tamparan besar terhadap kredibiliti ketenteraan rejim Zionis.
Kejayaan ini juga memberi mesej jelas bahawa kekuatan Iran bukan sekadar retorik, tetapi satu realiti yang harus dihormati oleh musuh-musuhnya.
Kos Kerugian Israel: Lebih RM1.16 Bilion
Penganalisis pertahanan menjangkakan kerugian besar kepada Israel susulan kehilangan tiga buah F-35, jet pejuang generasi kelima paling canggih di dunia. Menurut data semasa:
- Kos seunit F-35A dianggarkan sekitar USD 82 juta (±RM388 juta).
- Oleh itu, kehilangan 3 unit F-35 membawa kerugian mencecah sekurang-kurangnya: USD 246 juta (±RM1.164 bilion).
Jumlah ini belum termasuk kerugian operasi, maklumat sulit yang mungkin terbocor, dan nilai strategik ketenteraan yang hilang.