Pusingan kedua serangan Iran ke atas sasaran di dalam wilayah Israel telah bermula, dengan media Israel melaporkan letupan besar apabila peluru berpandu Iran kembali menghujani rejim Zionis.
Laporan menyebut bahawa peluru berpandu dilancarkan dari ibu negara Tehran dan Kermanshah, di barat Iran, menyasarkan lokasi jauh di dalam Israel.
Serangan ini menyusuli tindakan balas Iran terhadap pencerobohan Israel ke atas wilayahnya, termasuk serangan ke atas bangunan kediaman orang awam.
Rakaman yang diperoleh daripada penduduk Israel memaparkan peluru berpandu Iran meletup secara langsung di sasaran dan menghasilkan bola api besar yang menerangi langit malam.
Kesan letupan jelas menunjukkan tahap kemusnahan yang tinggi.
Seorang pegawai kanan tentera Iran, Jeneral Ahmad Vahidi, mengesahkan bahawa operasi balas ini dinamakan “Operasi Janji yang Benar 3” (Operation True Promise 3) dan menegaskan bahawa serangan akan diteruskan “selagi diperlukan” demi mempertahankan kedaulatan negara dan memberi pengajaran kepada rejim Zionis.
Pada malam Jumaat, Israel terlebih dahulu telah memulakan serangan ketenteraan menyasarkan ibu negara Tehran dan beberapa bandar utama di Iran.
Menyedari kemungkinan tindak balas yang keras dari Iran, Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel, Israel Katz, telah mengisytiharkan darurat di seluruh Israel.
Serangan tentera Israel turut menyasarkan pimpinan tertinggi tentera Iran.
Jeneral Mohammad Baqeri, Pengerusi Ketua Turus Angkatan Bersenjata Iran, dan Jeneral Hossein Salami, Panglima Tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC), telah terbunuh syahid dalam serangan udara di Tehran.
Sebagai tindakan segera, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei, telah melantik barisan pimpinan tentera baharu pada hari yang sama untuk memastikan kesinambungan arahan ketenteraan dan pertahanan negara.
Menurut Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sa’eed Iravani, serangan Israel telah mengorbankan 78 orang, termasuk pegawai kanan tentera, dan mencederakan 320 yang lain setakat ini.
Sementara itu, sistem pertahanan udara Iran di sekitar pusat bandar Tehran dikerahkan untuk memintas dron dan quadcopter milik Israel yang dilaporkan berlegar-legar di ruang udara malam, termasuk di kawasan kejiranan padat penduduk.
Situasi terus tegang, dan menurut kenyataan rasmi Iran, selagi pencerobohan Israel berterusan, gelombang serangan balas tidak akan dihentikan.
Ayatollah Khamenei sebelum ini memberi amaran tegas bahawa Israel tidak akan terlepas tanpa balasan atas kejahatan yang dilakukan terhadap rakyat dan wilayah Iran.