Malaysia, Ke Arah Mana Madaninya?

Malaysia, Ke Arah Mana Madaninya?

Allah SWT telah menjadikan manusia makhluk yang bercirikan madani secara fitrah atau tabii sebagaimana yang ditulis oleh Ibn Khaldun RH dalam al-Muqaddimah:

الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ.

“Manusia itu secara tabiinya bersifat madani.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun (al-Muqaddimah), hlm. 54]

Bermaksud manusia itu bermasyarakat dan tidak boleh bersendirian bagi memenuhi keperluan kehidupan sehingga mereka wajib berkumpul, bekerjasama dalam keperluan hidup, berilmu, berpengalaman, dan bertamadun.

Manusia juga wajib memiliki panduan dalam hala tuju mereka, bukan sekadar bermasyarakat madani tanpa panduan.

Hal ini demikian kerana, Allah SWT menguji manusia dengan sifat yang ada pada mereka, termasuk madani dalam peranan aspek politik.

Firman Allah SWT:

تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]

Islam menetapkan hala tuju madaninya berdasarkan takrif Islam sebagai al-din, bukan sekadar agama sahaja dalam bahasa lain.

Hanya Islam satu-satunya jalan dan menolak segala jalan yang lain.

Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Satu-satunya jalan ketetapan Allah ialah Islam yang berjenama al-din merangkumi urusan dunia dan akhirat.

Mentadbir urusan dunia juga menjadi amalan yang akan dihisab pada Hari Akhirat kelak.

Bermasyarakat dengan ilmu tanpa hidayah al-din boleh menyesatkan ciri madaninya, meskipun berakal apabila meninggalkan al-din yang menjadi petunjuk Allah.

Walaupun bermadani, pasti menemui kemusnahan.

Firman Allah SWT menceritakan konsep madani tanpa hidayah-Nya:

وَتِلۡكَ ٱلۡقُرَىٰٓ أَهۡلَكۡنَٰهُمۡ لَمَّا ظَلَمُواْ وَجَعَلۡنَا لِمَهۡلِكِهِم مَّوۡعِدٗا ٥٩

“Dan (penduduk) negeri telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.” [Surah al-Kahf: 59]

Zalim bermaksud tidak mengikuti jalan yang betul, seperti membangunkan negara dengan ajaran ciptaan manusia yang lemah dan berilmu tanpa hidayah.

Contohnya, kaum Firaun, ‘Ad, Thamud, dan lain-lain.

Madani mereka mencipta tamadun kebendaan yang hebat, namun dibina di atas kezaliman nafsu dan ilmu tanpa sempadan kemampuan manusia, akhirnya membawa kemusnahan.

Ada juga kezaliman yang dinamakan agama atau teori dan ideologi.

Allah SWT juga menceritakan konsep madani Islam oleh kerajaan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain yang beriman serta memakmurkan dunia dengan keberkatan:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦

“Jika penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahi mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” [Surah al-A‘raf: 96]

Bukan hanya Malaysia sahaja yang bersifat madani, malah termasuk dunia lain juga tabiinya bermadani.

Masalahnya ialah ‘Malaysia Madani’ dijadikan slogan untuk membodohkan dan menipu dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu, di samping hanya sekadar menipu tanpa haluan dan petunjuk.

Slogan itu juga disempitkan sekadar secebis bumi kecil Malaysia di dalam dunia yang luas, menjadikan rakyat laksana katak di bawah tempurung.

Allah SWT menetapkan sifat madani manusia sejak manusia pertama Adam AS, jauh sebelum wujudnya Malaysia, berpandukan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai manusia, sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]

Bermaksud manusia sememangnya bermasyarakat secara fitrah, bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi semua manusia sejak awal kejadian mereka.

Allah SWT meletakkan kemuliaan mereka pada sifat taqwa.

Sifat madani sudah wujud sejak zaman Nabi Adam AS dan keluarganya sehingga berkembang luas membesar ke seluruh pelosok dunia, termasuk yang paling jakun di rimba bersifat madani dengan kadarnya.

Madani diwajibkan mengikuti hidayah Allah yang bersifat taqwa, bukan madani sesat yang memusnahkan umat terdahulu.

Hal ini ditafsirkan oleh firman Allah SWT:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢

“Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik daripada apa-apa yang mereka kumpulkan.” [Surah al-Zukhruf: 32]

Allah SWT mengajar Adam AS ilmu wahyu dan ilmu dunia yang tidak ada pada makhluk yang lain, termasuk malaikat yang paling taat. Firman Allah SWT:

وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِى بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١

“Dan Dia mengajari Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama-nama benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’” [Surah al-Baqarah: 31]

Adam AS dikurniakan ilmu dunia bagi mentadbir alam bumi dengan ciri bermasyarakat madani, lantas menunaikan kewajipan:

إِقَامَةُ الدِّيْنِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِهِ.

“Menegakkan al-din (Islam) dan mentadbir urusan dunia dengannya.”

Maka, urusan dunia termasuk dalam perkataan al-din yang menjadi jenama Islam, berbeza dengan agama dan ideologi yang lain.

Urusan dunia juga termasuk dalam kewajipan manusia, sehingga ilmu yang berkait dengannya menjadi fardu kifayah dan fardu ‘ain yang berhubung kait dengan Islam sebagai rukun masyarakat madani.

Madani yang sebenar ialah Islam wajib berkuasa memerintah urusan manusia.

Rasulullah SAW ialah teladan terbesar pada akhir zaman, ketika manusia dikurniakan kemajuan ilmu sehingga menghubungkan seluruh manusia di alam dunia terkini.

Rasulullah SAW memulakan pembinaan masyarakat madani mengikut acuan Allah SWT, dengan menukar nama kota Taibah kepada nama Madinah yang bercirikan madani yang bertaqwa, bermula dengan membina kekuatan umat Islam dengan perpaduan berlandaskan aqidah atau iman dengan perintah Allah SWT:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]

Rasulullah SAW menyatukan bangsa Arab yang paling berpecah belah, liar, dan ganas sehingga menjadi bangsa yang paling berilmu dan berakhlak.

Daripada kalangan mereka, Baginda membentuk kumpulan pilihan yang menjadi pemimpin mengikut acuan Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]

Kumpulan Islam berkuasa mentadbir masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama bagi melaksanakan keadilan kepada semua yang menjadi amanah terbesar. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Keadilan melibatkan orang bukan Islam dalam masyarakat majmuk berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah SWT tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8 )

Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Perkara ini turut ditegaskan dalam Sahifah Madinah:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ ‌حَدَثٍ ‌أَوْ ‌اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عز وجل، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan sesungguhnya, apa-apa jua yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dengan perjanjian ini adanya perbalahan atau pertikaian yang dibimbangi membawa kerosakan, maka hendaklah diselesaikan dengan Allah ‘Azza wa Jalla dan Muhammad Rasulullah SAW (al-din).” [Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jilid 1, Halaman 504]

Apabila Islam berkembang ke seluruh penjuru dunia sehingga menjadi kuasa besar yang berpengaruh, maka ilmu dunia yang berpandukan akal, kajian, dan pengalaman dikumpulkan, lalu Islam dijadikan panduan berkonsepkan firman Allah SWT:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (1)

Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2)

Bacalah, dan Tuhanmu itulah Tuhan Yang Maha Pemurah. (3)

Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4)

Dia mengajar kepada manusia apa-apa yang tidak diketahuinya. (5)” [Surah al-‘Alaq: 1–5]

Maka, ilmu wahyu dan ilmu manusia yang berhikmah diamalkan berpandukan sempadan Allah Pencipta Alam.

Oleh itu, Islam yang menjadi kuasa besar pada zaman keemasan mengambil manfaat daripada ilmu dan pengalaman semua bangsa berpandukan al-din.

Allah SWT menyebut berkenaan kemusnahan tamadun yang lain dengan firman-Nya:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤

“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6)

(Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7)

Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain. (8 )

Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9)

Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10)

Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11)

Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12)

Oleh sebab itu, Tuhanmu menimpakan ke atas mereka cemeti azab. (13)

Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]

Kini, kita sedang menyaksikan tanda-tanda kemusnahan Tamadun Timur dan Barat disebabkan mereka menolak Islam.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru