Apa yang berlaku apabila sebuah negara yang memiliki senjata nuklear mengebom negara yang tidak bersenjata nuklear — dan dunia hanya berdiam diri?
Serangan Israel ke atas Iran pada Jun 2025 bukan sekadar satu lagi titik panas di Timur Tengah.
Ia adalah serangan strategik terhadap idea kuasa pencegahan umat Islam itu sendiri.
Dengan membunuh saintis Iran yang terkemuka dan menyerang infrastruktur nuklearnya, Israel bukan sahaja menentang seorang pesaing — tetapi menghantar mesej yang menakutkan: tiada satu pun negara Islam akan dibenarkan memiliki alat untuk menuntut kesetaraan kedaulatan.
Sasaran sebenar bukan Iran semata-mata.
Yang menjadi sasaran ialah kemungkinan wujudnya kuasa umat Islam yang yakin diri dan berdikari, yang mampu membentuk rantau ini tanpa perlu bergantung kepada kuasa luar.
Buat pertama kalinya dalam dekad-dekad kebelakangan ini, sebuah negara majoriti Muslim yang memiliki kapasiti pencegahan yang sebenar bertindak balas dengan kekuatan langsung dan terkawal.
Dalam beberapa hari pertama serangan balas, Iran melancarkan lebih daripada 200 peluru berpandu balistik dan kawanan dron, yang mencapai jauh ke dalam wilayah Israel, termasuk Tel Aviv dan Haifa.
Era kekebalan mutlak sudah berakhir.
Sebahagian besar media Barat menggambarkan serangan Israel sebagai tindakan pertahanan.
Ini amat melucukan, kerana hakikatnya jauh lebih membimbangkan: sebuah Israel yang bersenjata nuklear, bertindak tanpa kawalan, telah melancarkan serangan awal terhadap negara yang menandatangani Perjanjian Tidak Penyebaran Nuklear (NPT) dan tidak memiliki senjata nuklear.
Ini bukanlah pertahanan diri atau pencegahan.
Ini adalah monopoli kuasa. Dan monopoli tidak mencari kestabilan; mereka menuntut penyerahan.
Israel kekal sebagai satu-satunya kuasa nuklear yang tidak diisytihar secara rasmi di rantau ini, dan tidak diselia oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), manakala Iran — yang tidak memiliki senjata nuklear — telah menjalani 15 pemeriksaan oleh IAEA pada tahun 2024.
Keunggulan ketenteraan Israel tidak membawa keamanan; sebaliknya ia mengukuhkan ketidakseimbangan strategik yang menjadi punca keganasan berterusan.
Dari Gaza ke Damsyik, Beirut ke Tehran, doktrin Israel tentang serangan awal dan peningkatan konflik dibina atas kepercayaan bahawa dominasinya mesti kekal tidak dicabar.
Dan dominasi itu, pada pandangan Israel, hanya boleh dipertahankan melalui perang dan serangan ketenteraan terhadap mana-mana negara yang dianggap sebagai ancaman.
Dan kepercayaan inilah sebenarnya punca kepada masalah.
Akibat Tragik Ketidakseimbangan Ini: Gaza sebagai Bukti Nyata
Akibat paling tragik daripada ketidakseimbangan kuasa ini terserlah di Gaza.
Kempen genosid dari 2023 hingga 2025 telah meragut lebih 56,000 nyawa rakyat Palestin, termasuk ribuan orang awam dan kanak-kanak.
Seluruh kejiranan telah musnah menjadi runtuhan.
Sistem antarabangsa gagal menghentikan tragedi ini, bukan kerana kekurangan kemarahan moral, tetapi kerana kekurangan kuasa imbangan yang mampu menghadkan tingkah laku Israel.
Dari Osirak di Iraq (1981) dan kemudiannya Perang Teluk yang menghancurkan Iraq, ke Syria (2007) dan Libya selepas kejatuhan Qaddafi, setiap cubaan oleh negara Muslim untuk membina kuasa strategik autonomi telah dihancurkan — sama ada secara ketenteraan atau diplomatik.
Jika Keamanan adalah Matlamat, Keseimbangan Strategik Mesti Jadi Asas
Wilayah ini tidak memerlukan lebih banyak ketidakstabilan terkawal yang dikenakan melalui dron dan serangan udara.
Wilayah ini memerlukan kemunculan kuasa-kuasa Islam yang yakin dan berkemampuan, yang mampu menghalang pencerobohan, mempertahankan kedaulatan, dan menuntut penghormatan bersama.
Ini bukan sekadar soal geografi atau senjata.
Ini adalah tentang menuntut kembali hak untuk menentukan nasib sendiri bagi sebuah tamadun yang selama berdekad-dekad dinafikan peranannya dalam percaturan keselamatan serantau.
Dunia Islam tidak sepatutnya terus menjadi penonton kekal dalam konflik yang menyentuh sejarah, bangsa, dan tempat suci mereka sendiri.
Jika pencegahan (deterrence) hendak dianggap sah dan berkesan, maka ia mesti lahir dari dalam tamadun yang paling terkesan oleh konflik ini.
Tiada kuasa — sama ada Barat atau Timur — yang boleh menggantikan legitimasi yang dibawa oleh kuasa umat Islam yang yakin dan berdikari.
Iran sebagai Simbol Penentangan
Iran, walau dengan pelbagai kompleksiti dalaman, telah menjadi sasaran serangan utama kerana ia mencabar inferiority complex yang dipaksakan kepada dunia Islam.
Kemajuan saintifiknya dan penentangannya terhadap hegemoni Israel dilihat sebagai ancaman eksistensial, bukan kerana apa yang Iran lakukan, tetapi kerana ia mencabar hierarki sedia ada.
Apabila Israel memiliki senjata nuklear, ia dianggap sebagai tindakan pencegahan yang bertanggungjawab.
Tetapi apabila Iran berusaha membina kebebasan strategik, ia serta-merta dilabel sebagai “negara penyangak”.
Tiada Lagi Ruang untuk Standard Berganda
Standard berganda ini tidak lagi boleh diterima.
Kebebasan strategik bukan ekstremisme.
Ia adalah hak kedaulatan paling asas bagi mana-mana negara yang merdeka.
Ada yang berpendapat bahawa kesetaraan kuasa akan mengundang peperangan.
Tetapi sejarah menunjukkan sebaliknya.
Perang Dingin antara A.S. dan USSR tidak pernah menjadi perang terbuka kerana kedua-dua pihak mempunyai keseimbangan kuasa yang menahan mereka daripada serangan.
Sebaliknya, dominasi Israel yang tidak terkawal mengundang sikap petualang — keinginan untuk menyerang dahulu, menentukan peraturan permainan, dan memaksa hasilnya.
Keamanan tanpa keseimbangan bukanlah keamanan. Ia adalah penyerahan bersyarat.
Mengapa Mesti Kuasa Imbangan Itu Berasaskan Islam?
Pengkritik mungkin bertanya: “Mengapa kuasa penyeimbang itu mesti datang dari dunia Islam?”
Jawapannya: kerana penindasan yang berlaku adalah bersifat tamadun.
Pengusiran rakyat Palestin, serangan terhadap program strategik negara-negara majoriti Muslim, dan naratif global yang menggambarkan kuasa umat Islam sebagai sumber ketidakstabilan — semuanya bukanlah kebetulan.
Ia adalah satu corak pem marginalan sistemik yang hanya boleh dicabar secara sah oleh kuasa Islam itu sendiri.
Negara-negara Barat terikat oleh pakatan strategik.
China dan Rusia pula tidak memiliki pertaruhan sejarah, moral atau agama dalam isu ini.
Brazil atau Afrika Selatan mungkin menawarkan solidariti, tetapi mereka bukan sebahagian daripada wilayah ini.
Hanya kuasa Islam yang benar-benar memiliki hak, tanggungjawab dan kaitan yang sah untuk bersuara dan bertindak.
Menghapuskan Standard Berganda Agama
Standard berganda agama mesti dilawan oleh pihak yang setara dari segi agama.
Jika Israel terus mendakwa identiti Yahudi sebagai aset strategik — walaupun digunakan secara salah — maka negara-negara Islam juga mesti menegaskan legitimasi tamadun mereka, bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai peserta yang sah dan sahih dalam membentuk aturan serantau.
Ini bukan seruan untuk penyebaran senjata nuklear.
Ini adalah seruan untuk maruah strategik.
Terlalu lama umat Islam diberitahu untuk melucutkan senjata, tunduk, dan bergantung kepada orang lain.
Formula ini tidak membawa keadilan, dan tidak membawa keselamatan.
Kekuatan pencegahan bukan hak eksklusif Barat atau sekutunya.
Ia adalah hak setiap negara yang ingin hidup dalam kebebasan, bukan ketakutan.
Malaysia dan Suara Dunia Islam
Malaysia, bersama suara-suara bermaruah dari Dunia Selatan, mesti bersuara dengan jelas dan tegas: perang ini bukan sekadar tentang Israel dan Iran; ia adalah tentang hak dunia Islam untuk menentukan masa depannya sendiri.
Beberapa pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah menyatakan dengan tegas bahawa kesenyapan antarabangsa terhadap pencerobohan unilateral Israel mendedahkan standard berganda yang amat dalam.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, misalnya, konsisten dalam mengkritik hipokrasi ini, dan menyeru agar negara-negara Islam tidak lagi dilihat sebagai subjek pasif dalam sistem dunia yang pincang dan berat sebelah.
Antara Dominasi dan Keseimbangan
Ketika abu runtuhan masih menyelimuti Tehran dan Tel Aviv, dunia kini berdepan dengan pilihan yang sangat jelas:
Kembali kepada dominasi sebelah pihak, atau membina keseimbangan baharu di mana keamanan tidak lagi dijaga oleh peluru dan bom, tetapi oleh keadilan dan keseimbangan kuasa.
Penutup: Dari Kepatuhan kepada Kekuatan
Jika dunia benar-benar mahukan kedamaian, ia mesti berhenti menuntut kepatuhan umat Islam, dan mula membina ruang bagi keupayaan umat Islam bertindak sebagai ejen sah dalam urusan dunia.
Hanya dengan mengiktiraf hak umat Islam untuk berdikari dan menentukan nasib sendiri, keadilan dan kestabilan sejati boleh tercapai — bukan melalui ketakutan, tetapi melalui keadilan.
Wan Naim Wan Mansor
Felo Penyelidik & Ketua Editor, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia