Terengganu Menuju Hab Inovasi Tenaga Hijau Serantau Menjelang 2030

Terengganu Menuju Hab Inovasi Tenaga Hijau Serantau Menjelang 2030

Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Negeri Terengganu kini melangkah gagah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukannya sebagai hab inovasi tenaga hijau serantau menerusi pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) dan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu 2030 (PITiH2030).

Pelan strategik ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada kepelbagaian sumber tenaga atau pelaburan semata-mata, malah merangkumi pendekatan yang lebih menyeluruh dan progresif.

Fokus utama adalah untuk membentuk ekosistem tenaga hijau yang mampan, sekaligus memposisikan Terengganu sebagai peneraju dalam teknologi hijau di peringkat wilayah dan kebangsaan.

Dr. Ahmad Samsuri menyatakan bahawa usaha ke arah masa depan hijau ini akan didorong oleh tiga teras utama iaitu:

  1. Memperluas kepelbagaian dalam campuran tenaga (energy mix) bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil,
  2. Meningkatkan pelaburan dalam sektor tenaga melalui penglibatan aktif sektor swasta dan teknologi baharu,
  3. Mengukuhkan kerjasama serantau, termasuk melalui konsortium seperti SG4, dalam menjana pertumbuhan bersama di bidang tenaga boleh baharu.

“PITiH2030 bukan sekadar dokumen dasar, ia adalah kompas arah bagi Terengganu ke arah pembangunan yang lestari dan inovatif dalam bidang tenaga hijau,” ujar beliau.

Sebagai negeri yang mempunyai potensi besar dalam sumber tenaga seperti solar dan biojisim, Terengganu dijangka mampu melakar kejayaan sebagai negeri contoh dalam penggunaan teknologi tenaga bersih dan lestari, yang bukan sahaja menjana peluang ekonomi, malah membantu memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

PITiH2030 juga memberi perhatian kepada pembangunan kapasiti, pendidikan tenaga boleh baharu, dan pemerkasaan belia dan komuniti dalam agenda hijau negeri, sejajar dengan wawasan PITAS2030 yang menyasarkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Dengan inisiatif yang berstruktur dan berpandangan jauh, Terengganu kini berdiri sebagai antara negeri terawal yang mempunyai hala tuju jelas dalam transformasi tenaga hijau menjelang tahun 2030, sekaligus membuka jalan untuk kerjasama antara negeri, pelaburan berimpak tinggi, dan kelestarian ekonomi negeri.

Terengganu