Kerajaan Negeri Terengganu kini giat memperkukuh kerjasama strategik bersama negeri-negeri Perlis, Kedah dan Kelantan melalui Konsortium SG4 dalam usaha merintis pembangunan industri tenaga hijau di Malaysia.
Inisiatif ini bukan sahaja membuktikan komitmen negeri-negeri Pantai Timur dan Utara terhadap kelestarian alam, malah turut membuka ruang pelaburan bernilai tinggi dalam sektor tenaga boleh baharu.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kolaborasi SG4 ini bertujuan untuk menggabungkan kekuatan aset dan sumber negeri-negeri terlibat, sekali gus mewujudkan sinergi yang mampan dalam membangunkan projek-projek tenaga hijau, khususnya yang melibatkan teknologi solar dan agro-voltaik.
“Gabungan kelebihan dari aspek keluasan tanah dan tahap radiasi solar yang tinggi, khususnya di negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan, memberi potensi besar untuk kita mengorak langkah ke hadapan dalam projek tenaga boleh baharu,” katanya.
Agro-voltaik, iaitu sistem yang menggabungkan pertanian dan penjanaan tenaga solar pada satu kawasan yang sama, dilihat sebagai antara solusi inovatif yang bukan sahaja menyokong kemampanan alam sekitar, tetapi juga berpotensi menjana pendapatan berganda kepada rakyat melalui sektor pertanian dan tenaga.
Dengan kedudukan geografi yang strategik, serta komitmen terhadap pembangunan lestari, Terengganu dijangka mampu menjadi hab utama tenaga hijau di rantau ini melalui projek-projek perintis di bawah Konsortium SG4.
Usaha ini juga dilihat seiring dengan matlamat negara untuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.
Pelabur tempatan dan antarabangsa mula menunjukkan minat terhadap potensi pembangunan di negeri-negeri SG4, sekaligus memperkukuh peluang pekerjaan, inovasi teknologi, dan kebangkitan ekonomi hijau di peringkat negeri.