Himpunan “Turun Anwar”: Isyarat Kemarahan Rakyat Terhadap Kegagalan Pentadbiran – Muhyiddin

Himpunan “Turun Anwar”: Isyarat Kemarahan Rakyat Terhadap Kegagalan Pentadbiran – Muhyiddin

Mantan Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, hari ini mengeluarkan kenyataan tegas menyeru rakyat Malaysia agar turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung di ibu negara esok.

Dalam kenyataan media yang disiarkan kepada umum, beliau menegaskan bahawa himpunan itu adalah satu bentuk ekspresi rakyat yang sah di sisi undang-undang untuk menyuarakan rasa kecewa dan marah terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mengurus negara.

Muhyiddin mengkritik keras pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai Anwar, dengan menyenaraikan beberapa isu utama termasuk peningkatan kos sara hidup, pengenalan pelbagai cukai baharu, serta pemotongan subsidi yang menekan kehidupan rakyat marhaen.

“Janji Anwar untuk menurunkan beban rakyat tidak tertunai. Malah, rakyat terus dibebani dengan dasar-dasar yang tidak mesra pengguna dan tidak prihatin kepada kesengsaraan golongan bawahan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Muhyiddin, pengumuman terbaru kerajaan mengenai bantuan tunai RM100 serta penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen hanya bersifat sementara dan bersifat kosmetik.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai usaha terdesak Perdana Menteri untuk meredakan kebangkitan suara rakyat menjelang perhimpunan tersebut.

“Ini bukanlah penyelesaian sebenar kepada masalah ekonomi rakyat. Apa yang rakyat mahu ialah kajian semula terhadap pelaksanaan cukai-cukai tambahan dan pemotongan subsidi yang menjerut leher mereka,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyentuh soal kebebasan bersuara yang menurutnya kini semakin terhakis.

Beliau mendakwa kerajaan semakin gemar menggunakan agensi penguatkuasaan untuk menekan rakyat biasa yang menyuarakan kritikan secara sah.

“Ramai rakyat yang kini diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana berani menzahirkan rasa tidak puas hati. Ini mencerminkan penyalahgunaan kuasa dan pencabulan hak-hak yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.

Muhyiddin turut memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia memberikan kerjasama dalam menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung, sambil mengingatkan peserta agar mematuhi undang-undang serta menjaga adab dan tatasusila.

“Perhimpunan ini adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ia mesti dijaga, dihormati dan tidak dicemari oleh sebarang bentuk provokasi,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau sendiri serta rakan-rakan pimpinan Perikatan Nasional akan hadir memberikan sokongan secara langsung.

Dengan seruan “Ayuh, kita turun beramai-ramai esok!”, kenyataan tersebut dilihat sebagai satu amaran kepada kerajaan semasa bahawa gelombang ketidakpuasan rakyat semakin membesar dan tidak boleh dipandang enteng.

Isu Semasa