Jangan Khianati Perjuangan Membebaskan Bumi Palestin

Jangan Khianati Perjuangan Membebaskan Bumi Palestin

Lujnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat memandang serius kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Liga Arab, Mesir, Turkiye dan Kesatuan Eropah dalam Sessi Persidangan Khas Isu Palestin di PBB yang menuntut agar HAMAS meletakkan senjata dan menyerahkan kuasa pemerintahan di Semenanjung Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Kenyataan tersebut juga mengecam operasi ‘Taufan al-Aqsa’ yang dilakukan Hamas dan kumpulan pejuang Palestin ke atas negara haram Israel serta menggesa agar dilaksanakan segera penyelesaian dua negara antara Palestin dan negara haram Israel dalam usaha untuk menghentikan perang dan ‘bencana kemanusiaan’ yang dilakukan regim Zionis Israel di Semenanjung Gaza.

Perlu diingatkan bahawa regim Zionis Israel adalah entiti penjajah yang menjajah bumi Palestin sejak lebih 77 tahun lalu.

Sejak menjajah bumi Palestin, regim Zionis Israel telah melakukan ratusan ‘genocide’ yang telah mengorbankan puluhan ribu warga Palestin dan mengakibatkan ratusan ribu lagi meninggalkan kediaman dan tanah air mereka.

Resolusi Perhimpunan Agung PBB 37/43 mengiktiraf pejuangan untuk kemerdekaan termasuk perjuangan bersenjata menentang penguasaan dan pendudukan asing (penjajahan).

Sejak Palestin dijajah regim Zionis Israel, rakyat Palestin telah mula berjuang menentang penjajahan sama ada secara individu mahupun berorganisasi seperti Hamas, PLO, Jihad Islami dan lain-lain lagi.

Dalam erti kata lain, rakyat Palestin dan organisasinya adalah pejuang kemerdekaan yang berjuang untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan regim Zionis Israel sebagaimana yang termaktub dalam Resolusi PBB.

Pengganasnya adalah regim Zionis Israel yang bermaharajalela membunuh, menzalimi dan kini berusaha mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza.

Berdasarkan sikap dan kenyataan keseluruhan pemimpin negara haram Israel ketika ini, tidak ada petanda jelas bahawa mereka mahukan penyelesaian dua negara.

Mereka bukan sahaja secara terbuka menyatakan mahu menjajah keseluruhan Semenanjung Gaza termasuk mengusir penghuninya, tetapi juga kini sedang berusaha untuk merampas keseluruhan Tebing Barat.

Acapkali regim Zionis Israel mengagalkan usaha rundingan gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang diusahakan serta menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki Semenanjung Gaza hingga berlakunya bencana kemanusiaan yang amat kronik.

Malah regim Zionis Israel dan Amerika Syarikat memboikot Sessi Persidangan Khas Isu Palestin di PBB dengan Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu mengecam keras persidangan tersebut.

Oleh itu amat wajar regim Zionis Israel yang perlu dihalang daripada berterusan melakukan genocide dan bencana kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Mereka perlu dihukum, dikenakan sekatan dan pemimpinnya perlu dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan, bukannya menyalahkan dan menghukum pejuang kemerdekaan yang selama puluhan tahun berusaha keras membebaskan tanah air mereka.

Hanya warga Palestin sahaja yang berhak menentukan masa depan dan hala tuju tanah air mereka.

Mereka juga berhak menentukan siapa yang mereka mahukan untuk menjadi pemimpin mereka tanpa perlu campurtangan daripada mana-mana kuasa dan pemimpin negara asing.

Dunia Islam termasuk Malaysia sewajarnya membantu memerdekakan bumi Palestin tanpa perlu masuk campur isu dalaman Palestin kerana paling utama adalah menamatkan penjajahan regim Zionis Israel ke atas bumi Palestin, dan bukannya mengambil kesempatan dan menjadi tali hayat kepada kelangsungan penjajah regim Zionis Israel.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Bumi Palestin”

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat

Dunia Islam