Melangkaui Label Politik: Seruan Kepada Pendekatan Rasional Dalam Politik Malaysia

Melangkaui Label Politik: Seruan Kepada Pendekatan Rasional Dalam Politik Malaysia

Sebagai seorang yang terlibat dalam cadangan pembentukan blok gabungan baharu di luar kerangka kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini, saya ingin memberi peringatan kepada mereka yang terlalu cepat menjangkakan kejatuhan lawan — ‘jangan kira anak ayam sebelum telur menetas.’

Gabungan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh terus dihumban ke dalam tong sampah politik seolah-olah ia sudah tidak relevan, terutama sekali apabila menyentuh soal sokongan dari kalangan masyarakat Cina dan India.

Saya sengaja tidak menggunakan istilah ‘bukan Melayu‘ kerana ia mengaburkan perbezaan politik dan sosial yang ketara antara kedua-dua komuniti ini.

Dalam politik, tiada yang mustahil—kerana itulah ia sering disebut sebagai ‘the art of the possible’ (seni yang mengurus segala kemungkinan).

Saya sedar sepenuhnya bahawa PN mungkin sedang atau akan berusaha untuk merapatkan jurang dengan masyarakat Cina dan India, khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Justeru itulah wujud cadangan strategi gabungan dua cabang—satu menyasarkan kawasan majoriti Melayu, dan satu lagi mendekati kawasan yang mempunyai kehadiran ketara komuniti Cina dan India.

Penglibatan saya baru-baru ini dengan pihak pembangkang, terutamanya Bersatu dan PAS, adalah untuk menekankan ‘inclusivity’ (kepentingan keterangkuman) dalam usaha meluaskan daya tarikan kepada pengundi Cina dan India.

Tanpa komitmen terhadap keterangkuman dan penghormatan terhadap hak kewarganegaraan komuniti ini, PN tidak perlu bermimpi untuk mendapat sokongan mereka.

PN tidak boleh hanya berada di atas pentas politik dan mengharap sokongan masyarakat Cina dan India akan datang dengan sendiri.

Jalan tengah mesti dicari—yang berasaskan kepada saling menghormati, pengiktirafan terhadap hak, serta visi bersama untuk membina negara yang stabil dan sejahtera.

Jika pemahaman saya tepat, PAS mungkin tidak bercita-cita untuk memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Ini mungkin menjadi sebab mengapa Bersatu lebih sesuai diketengahkan untuk jawatan tersebut, kerana ia dilihat lebih boleh diterima oleh pengundi Cina dan India.

Sokongan terhadap PN dalam kalangan masyarakat bukan Melayu tidak boleh dinilai secara terpisah.

Ia perlu dianalisis dalam konteks yang lebih luas, iaitu kekecewaan yang semakin membara terhadap kerajaan Madani yang sedia ada.

Hakikatnya, rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India mungkin secara tidak langsung membuka ruang kepada PAS dan PN untuk membina semula keyakinan.

Jika dahulu DAP dan PKR boleh bekerjasama dengan PAS, apa justifikasi sikap ‘lebih suci daripada orang lain’ yang ditunjukkan terhadap parti yang sama pada hari ini?

Jika PAS boleh diterima suatu ketika dahulu, kenapa hari ini ia menjadi parti yang harus ditolak mentah-mentah?

Dalam politik—sama ada yang beraliran agama mahupun sekular—semua parti wujud untuk mencapai kuasa dan melaksanakan agenda mereka.

Intipati mesej saya mudah: jangan terlalu percaya secara membuta tuli kepada PN—dan juga jangan terlalu percaya kepada PH.

Sebaliknya, libatkan diri secara kritis dan matang dengan semua aktor politik demi manfaat bersama masyarakat dan negara.

Komuniti Cina dan India mungkin mempunyai kebimbangan yang munasabah terhadap PN, tetapi adakah kerajaan Madani benar-benar telah mengiktiraf dan menangani kebimbangan mereka?

Apa sudah jadi dengan segala janji-janji yang pernah ditaburkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia melangkaui slogan-slogan kosong dan simbolisme politik.

Apa yang diperlukan sekarang ialah pendekatan pragmatik, tawaduk dalam rundingan, dan keberanian untuk melihat masa depan Malaysia dengan lebih luas daripada sekadar kepentingan parti dan kaum.

P. Ramasamy

Kolumnis