Isu rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat bukan sahaja membangkitkan persoalan ekonomi dan kedaulatan perdagangan, malah telah memasuki satu medan yang sangat sensitif – iaitu piawaian pensijilan halal negara.
Terbaru, kenyataan dua menteri kanan – Menteri MITI dan Menteri Agama – mendedahkan bahawa antara syarat pengurangan tarif Amerika ialah pelonggaran dalam pelaksanaan kawalan halal oleh Malaysia.
Menurut Menteri MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz, “apa yang telah dipersetujui dengan Amerika Syarikat adalah untuk memudah cara proses pengimportan daging halal Amerika ke Malaysia.”
Tambahnya, proses pensijilan itu akan dilaksanakan oleh badan pensijilan halal Amerika yang telah diiktiraf oleh JAKIM.
Namun, kenyataan lanjut oleh Menteri Agama, Dato’ Mohd Na’im Mokhtar menimbulkan lebih banyak kekeliruan apabila menyatakan bahawa Amerika meminta agar audit piawaian halal – khususnya berkaitan penyembelihan – tidak lagi dilakukan oleh JAKIM, tetapi diserahkan sepenuhnya kepada badan yang diiktiraf oleh JAKIM.
Siapa Tentukan Standard Halal Negara?
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Ir. Ts. Nurul Islam Mohamed Yusoff, dalam kenyataan terbukanya mempersoalkan keputusan kerajaan ini, yang seolah-olah menunjukkan Malaysia tunduk kepada tekanan kuasa besar. Katanya:
“Siapa Amerika sampai nak arah-arah Malaysia buat itu buat ini, jangan buat itu jangan buat ini?
“Sepatutnya Kerajaan Malaysia yang tentukan cara yang sesuai dengan kita, bukan diarah oleh mereka.”
Apa yang lebih membimbangkan, kata beliau, ialah kemungkinan standard halal Malaysia – yang selama ini dikawal ketat oleh JAKIM – akan dicairkan atas nama rundingan perdagangan.
Kekeliruan dalam Fakta – Dua atau Tiga Badan?
Menteri Agama dalam kenyataannya menyebut bahawa hanya dua badan pensijilan halal (Certification Bodies – CB) diiktiraf di Amerika Syarikat.
Namun semakan di laman rasmi JAKIM menunjukkan ada tiga:
1. Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA)
2. Islamic Services of America (ISA)
3. American Halal Foundation (AHF)
Hal ini menimbulkan persoalan sama ada kementerian benar-benar menyemak fakta sebelum membuat kenyataan, atau adakah terdapat perubahan senarai CB yang tidak diumumkan secara telus.
Adakah JAKIM Disisihkan?
Apa yang dibimbangkan oleh Ir. Ts. Nurul Islam ialah, selepas tempoh peralihan audit selama setahun, JAKIM tidak lagi mempunyai kuasa langsung untuk memantau proses pensijilan halal bagi produk Amerika Syarikat.
Jika perkara ini berlaku, maka Malaysia hanya akan menerima laporan dan pengesahan daripada CB tanpa verifikasi sendiri – satu langkah mundur dalam mempertahankan integriti sistem halal negara.
“Cuba bayangkan akan datang, daging dari US yang ada label halal akan berlambak dekat pasaran Malaysia tapi tak terjamin kehalalannya.
“Dan paling sedih, JAKIM tak boleh nak ambil tindakan,” ujar beliau.
Halal Amerika: Satu Rekod yang Bermasalah
Kajian-kajian terdahulu termasuk artikel berjudul “Halal Food Fraud in the USA: Challenges and Solutions” telah mendedahkan pelbagai masalah berkaitan ketelusan dan integriti sijil halal di Amerika.
Terdapat kes pemalsuan sijil, manipulasi pelabelan dan proses sembelihan yang tidak mengikut piawaian syarak.
Jika JAKIM tidak lagi dibenarkan melaksanakan audit secara langsung ke atas CB atau pengeluar produk di sana, bagaimana pengguna Muslim Malaysia boleh dijamin kehalalan makanan yang mereka makan?
Indonesia Boleh, Kenapa Malaysia Tidak?
Lebih menghairankan, Indonesia yang turut terlibat dalam rundingan tarif bersama Amerika, berjaya mengekalkan piawaian halal mereka.
Malah, mulai 2026, semua produk makanan yang diimport ke Indonesia diwajibkan memiliki logo halal Indonesia (BPJPH).
Ini menunjukkan bahawa rundingan dengan Amerika tidak semestinya perlu mengorbankan prinsip pensijilan halal.
Apa yang diperlukan ialah ketegasan dan pendirian yang tidak menggadaikan prinsip agama atas alasan ekonomi semata-mata.
Seruan: Pertahankan Maruah dan Prinsip Syariah
Malaysia masih meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan.
Maka sistem pensijilan halal negara bukan hanya isu teknikal perdagangan, tetapi menyentuh soal prinsip agama yang wajib dijaga.
Kerajaan Madani digesa untuk:
- Menolak sebarang desakan asing yang mahu mencairkan kawalan pensijilan halal Malaysia.
- Memastikan hanya CB yang benar-benar diaudit dan diluluskan JAKIM boleh mengesahkan halal produk luar.
- Memberi penjelasan rasmi yang telus kepada rakyat agar tiada kekeliruan atau manipulasi fakta.
“Tegaslah sikit wahai Kerajaan Madani. Jangan sampai standard halal JAKIM yang terbaik di dunia ni terkorban,” tegas Ir. Ts. Nurul Islam.
Kita menyeru semua pihak – kerajaan, NGO Islam, pengguna Muslim, dan ahli akademik – untuk bersatu mempertahankan integriti sistem halal negara. Ini bukan isu teknikal perdagangan semata-mata. Ini soal syariat, soal maruah umat, dan soal kebertanggungjawaban kepada Allah SWT.